BAB 4: BENARKAH MUHAMMAD ITU RASULULLAH?
Bahawa
Muhammad itu seorang Rasul dapat dibuktikan melalui beberapa cara. Pertama
berdasarkan berita-berita tentang kedatangan Muhammad seperti yang tersebut
dalam kitab Taurat dan Injil (Old & New Testament). Kedua, berdasarkan
kedudukannya sebagai ‘AI-Sadiq AI-Amin’, yakni seorang yang benar lagi
dipercayai kejujurannya. Dan ketiganya dari ‘Nubuwwah’ Muhammad sendiri, seperti
berita-berita ghaib yang telah disebutkan lebih dulu oleh Baginda tentang bakal
terjadinya, dan kemudiannya benar-benar telah menjadi kenyataan!
1. KEDATANGAN MUHAMMAD YANG DINANTI-NANTIKAN
Diceritakan
bahawa ketika Abdul Mutalib dan bangsawan-bangsawan Quraisy lain mengunjungi
Yaman untuk mengucapkan tahniah kepada Raja Saif Zu-Yazin yang baru saja
menewaskan Habshah dengan bantuan Parsi, beliau dikatakan sangat mengagumi
kebesaran kerajaan Yaman itu. Tetapi oleh Zu-Yazin, dinyatakannya kepada Abdul
Mutalib bahawa apabila diperanakkan seorang anak lelaki dari Tihamah (Makkah),
dan di antara dua belikatnya ada syamah (tahi lalat besar yang dikelilingi oleh
rambut), maka ia akan menjadi pemimpin besar hingga Hari Kiamat. Di sini
Zu-Yazin cuba membayangkan tanda-tanda tentang kedatangan seorang pemimpin
besar dari keturunannya sendiri, yang kebetulan tanda-tanda itu secocok dengan
cucunya Muhammad yang masih kecil. Ini menyebabkan Abdul Mutalib sujud kerana
girang.
Cerita
ini sengaja dipetik buat menunjukkan bahawa berita tentang kedatangan seorang
manusia agung dari keturunan Abdul Mutalib bukannya tidak diketahui oleh bangsa
Arab. Apa lagi jika diselidiki. kitab-kitab Taurat dan Injil, lebih jelaslah
cerita-certta tentang Muhammad itu disebutkan. Dalam Taurat misalnya, terdapat
ayat: “The Lord came from Sinai, and rose up from Seir unto them; he shined
forth from Paran, and he came with 10,000 of Saints” (Book of Deutoronomy
33:2). Ayat ini dengan jelas menerangkan tentang cahaya kebenaran yang memancar
dari tiga arah yang berlainan; dari Sinai, Seir dan Paran. Tentang Sinai, yang
dimaksudkan ialah pengutusan Nabi Musa as. dengan kitab Tauratnya. Dan Nabi Isa
as. dengan kitab Injilnya muncul dari Baitul-laham (Bethlehem). Seir adalah
sebuah kota kira-kira 1.5 km dari Bethlehem yang kini dikenali sebagai ‘Bait
Shair’, iaitu kota pengembala.
Ada pun
tentang Paran, Taurat sendiri mengisahkan perihal Nabi Ibrahim a.s. menempatkan
isterinya Hajar serta anaknya Ismail di suatu tempat yang sunyi sepi, iaitu
padang pasir Paran (Genesis 21:21). Jadi, berdasarkan Taurat sendiri, Paran
merupakan suatu kawasan di Hejaz, kerana di sinilah sebenarnya Hajar dan Ismail
ditinggalkan oleh Ibrahim a.s. Ahli-ahli geografi menegaskan bahawa Paran ialah
kawasan yang terdapat di antara gunung di Makkah, iaitu Abu Qubais, Quiqaan dan
Hira’. Dalam kalangan sarjana dikatakan bahawa Jabal-Nur itulah sebenarnya
gunung Paran setelah datangnya Islam. Tentang 10,000 of Saints’ itu, Prof.
David Benjamin Keldani (kini Abdul Ahad Daud) mengatakan bahawa ianya ditujukan
kepada jumlah pengikut Muhammad s.a.w. yang menakluki Makkah pada 8 H.
Dari
kitab Injil pula, kedatangan Muhammad s.a.w. telah disebut dalam ayat berikut:
“For Moses truly said unto the fathers, a prophet shall the Lord your God raise
up unto you of your brethren, like unto me; him shall ye hear in all things
whatsoever he shall say unto you”. (Acts of Apostles 2:22). Mengenai kalimat
“unto you of your brethren’, ianya bermaksud bahawa seorang Nabi yang akan
diutus adalah dari kalangan saudara Israel (Yaakob), bukannya dari Bani Israel
itu sendiri. Sebenamya Bani Ismaillah saudara Bani Israel tersebut, sebab
Ismail adalah saudara tua dari Ishak, bapa kepada Yaakob, dan Nabi Muhammad
sendiri memangnya jelas dari keturunan Bani Ismail.
Mengenai
kalimat “like unto me” pula, maksudnya ialah bahawa Muhammad menyamai Musa
dalam banyak hal. Antaranya:
1.
Muhammad dan Musa dilahirkan seperti biasa beribu-bapa, sebaliknya Isa hanya
beribu sahaja bahkan diciptakan secara ajaib.
2.
Muhammad dan Musa sama-sama berumahtangga dan berkeluarga, sedangkan Isa tetap
membujang selama hidupnya.
3.
Baik Musa mahupun Muhammad adalah membawa Syariat baru untuk umatnya, sedangkan
Isa hanya sekadar menyambung Syariat Musa. Katanya: “Janganlah kamu sangka aku
datang untuk merombak Taurat, melainkan hendak menggenapkan” (St. Mathews
5:17).
4.
Keturunan Musa dan Muhammad adalah jelas dan pasti; sama-sama dari keturunan
Nabi Ibrahim. Sedangkan silsilah Isa pula kabur, apa lagi menurut dogma
Kristian, Isa adalah anak Tuhan Bapa.
5.
Musa dan Muhammad wafat secara biasa, tetapi Isa menurut dogma Kristian,
dibunuh di tiang salib (St. Marks 15:37).
Dengan
demikian, jelaslah bahawa Nabi yang dikatakan lahir “dari kalangan
saudara-saudara Musa” itu benar-benar ditujukan kepada Muhammad, bukannya Isa.
Jelaslah kebenaran Muhammad sendiri sebagai utusan (Rasul) Allah S.W.T. justeru
berita tentang kedatangannya telah disebut-sebut dengan jelas dalam Taurat dan
Injil, meskipun umat Islam menganggap bahawa isi kandungan kitab-kitab tersebut
sudah banyak berubah.
Sebab
itulah ketika Muhammad dilahirkan, yang mula-mula meyakini bahawa dialah Nabi
yang ditunggu-tunggu ialah kalangan pendita-pendita Nasrani dan Yahudi.
Misalnya ketika Muhammad baru berusia 12 tahun, paderi Buhaira sudah pun
meyakini bahawa Muhammad itulah bakal Nabi. Sebab itu dia berkata kepada Abi Talib
yang datang berdagang ke Sham: “Bawalah kembali anak saudaramu ini, dan jagalah
dia dari bahaya kaum Yahudi. Demi Allah, kalau mereka tahu apa yang aku tahu,
nescaya mereka apa-apakannya, kerana akan terbit daripadanya urusan yang
benar”. Ini menyebabkan Abi Talib bergegas pulang ke Mekah membawa Muhammad.
Dan
ketika Muhammad mula-mula menerima wahyu, orang yang pertama menerimanya ialah
Waraqah bin Naufal, seorang pendita Nasrani yang alim tentang kitab Injil yang
pernah pula menterjemah kitab tersebut ke bahasa Arab. Dikatakan bahawa sewaktu
Khadijah, menemui Waraqah, berkatalah Waraqah: “Quddus! Quddus! Demi Tuhan yang
menguasai diriku, kalaulah benar katamu wahai Khadijah, maka itulah Namus
al-Akbar (Jibril) yang pernah juga datang kepada Musa dulu. Nyatalah bahawa
Muhammad suamimu itu adalah Nabi untuk umat ini. Katakanlah kepadanya agar ia
tetap tegas”.
Demikian
juga ketika Jaafar bin Abi Talib membaca surah Mariam ayat 29-33 di depan Raja
Najasyi di Habshah, terkejutlah pembesar-pembesar istana sambil berkata:
“Kata-kata yang keluar dari sumber yang mengeluarkan kata-kata Jesus Christ!”
Bahkan Raja Najasyi sendiri turut berkata: “Kata-kata ini dan yang dibawa oleh
Musa, keluar dari sumber yang sama”.
Tentang golongan Yahudi pula, merekalah yang sebenarnya sangat
menanti-nantikan kelahiran seorang Nabi baru. Misalnya ketika mereka kalah
dalam pertempuran melawan bangsa Arab Yathrib, selalu benar mereka
melaung-laungkan: “Sudah sampai masanya seorang Nabi akan diutus. Kami akan
mengikut Nabi itu, dan dengan demikian kami akan kuat dan dapat mengalahkan
kamu, seperti dalam peperangan Ad dan Iram”. Malangnya sebaik sahaja orang yang
dinanti-nantikan itu datang, mereka menolaknya kerana musuh-musuh mereka lebih
dahulu menyahut seruan Muhammad, ditambah pula kerana Nabi tersebut bukannya
dari bangsa mereka. “Di kala datangnya apa-apa
yang telah mereka ketahui itu, mereka kafir dengan dia”
(Al-Baqarah: 89). Bagi orang-orang Aus dan Khazraj, pengetahuan mereka tentang
Muhammad adalah dari mulut golongan Yahudi juga. Sebab itu apabila mereka
diseru oleh Muhammad, mereka berkata: “Sungguh inilah Nabi yang pernah
dijanjikan orang-orang Yahudi kepada kita. Jangan sampai mereka mendahului
kita”.
Bagaimanapun
ada juga pemuka Yahudi menyambut seruan Nabi, seperti Abdullah bin Salam
misalnya yang pernah berkata: “Aku dengar darihal Nabi Muhammad dan aku kenal
sifatnya, dan zamannya yang kami tunggu-tunggu. Tatkala dia sampai ke Madinah,
aku bertemu dengannya, lalu aku masuk Islam, dan aku khabarkan kepada bibiku Khalidah,
lalu ia masuk Islam, dan sekalian ahli rumahku pun masuk Islam”. Dan terhadap
kaum Yahudi, Abdullah menyeru:”Hai kaumkul Takutlah kepada Allah dan berimanlah
kepada Nabi Muhammad ini. Demi Allah, kamu sudah tahu yang ia benar pesuruh
Allah, sebagaimana tersebut dalam Taurat namanya dan sifatnya”.
Sebenarnya
cerita tentang kedatangan Muhammad bukannya diketahui oleh Raja Salt Zu-Yasin
dan Raja Najasyi, bahkan juga oleh Heraclius, raja Rom dun Mugaugis, pembesar
Rom di Mesir. Tentang Mugaugis misalnya, beliau melayan dengan baik perutusan
Nabi kepadanya ketikai termeterainya Perjanjian Hudaibiah pada 6 H. Dengan
mengirim berbagai-bagai hadiah, beliau mengakui yang dia percaya tentang
kedatangan seorang Nabi. Cumanya dia tersasul kerana disangkanya kedatangannya
ialah di Sham!
Demikianlah
beberapa anekdot tenting kepercayaan umum sekitar bakal lahirnya seorang
manusia agung; seorang Nabi baru yang takdirnya akan menamatkan siri-siri
kerasulan di muka bumi ini.
2. MUHAMMAD SEBAGAI AS-SADIQ AL-AMIN
“Sesungguhnya aku telah
tinggal bersamamu beberapa lama sebelumnya (sebelum AI-Quran diturunkan).
Apakah kamu tidak memikirkannya?” (Yunus: 16).
Jika
tadinya Taurat dan Injil sendiri telah menyebut-nyebut tentang kedatangan
Muhammad, dan dengan itu membuktikan kebenarannya sebagai Rasulullah, maka
dengan lahirnya Muhammad kebenaran tersebut tidak dapat dipertikaikan lagi.
Pengakuan tentang kebenarannya tidak lain kerana peribadi dan sirahnya
(perjalanan hidup) sendiri, yang sejak belum diutuskan sebagai Rasul lagi sudah
terkenal dengan jolokan ‘AISadiq Al-Amin,’ iaitu orang yang benar lagi
dipercayai.
Ketika
usianya 25 tahun, Muhammad turut membawa barang-barang dagangan Khadijah binti
Khuailid ke Sham. Terhadap saudagar-saudagar lain, Khadijah cuma sanggup menyerahkan
barang-barangnya sekadar muatan dua ekor unta sahaja, tetapi terhadap Muhammad
yang terkenal kerana amanahnya, tanpa ragu-ragu dia menyerahkan barang-barang
perniagaannya kepada baginda yang dibawa oleh 4 ekor unta. Dan ketika taKdir
menetapkan yang kedua-duanya akan hidup bersama, Khadijah mengatakan: ‘Wahai
sepupukul Sesungguhnya saya cinta padamu; pertama kerana kita berkeluarga,
kedua kerana engkau dipandang tinggi oleh masyarakat bangsamu, ketiga kerana
sifat amanahmu, keempat kerana baik budi pekertimu dan kelima kerana sifat
kebenaranmu”.
Pada
suatu ketika Abdullah bin Abil-Huma’, seorang rakan seperniagaannya berjanji
untuk menemuinya di suatu tempat, tetapi dia sendiri terlupa janjinya itu.
Sampai tiga hari tiga malam Nabi menunggunya dI situ, hinggalah pada hari
keempatnya kebetulan dia melintasi tempat Itu, Nabi masih berada di situ.
Sungguh sesal dia di atas kelupaannya itu, tetapi dengan senyum Nabi
mengatakan: “Janganlah difikirkan sangat, mungkin saya yang bersalah. Saya
telah berjanji akan menunggu tuan di sini sampai tuan datang, kerana itu saya
mesti penuhi janji saya”.
Apabila
Muhammad berusia 35 tahun, berlakulah perselisihan diantara suku-suku Quraisy
tentang siapakah yang sepatutnya mengangkat Hajar al-Aswad dan meletakkan di
tempatnya. Setiap anggota qabilah cuba menegakkan haknya dengan mengangkat
sumpah yang terkenal dengan name La’qatud-dam, iaitu sumpah mencecah darah
dengan melukakan tangan masing-masing. Sampai lima hari mereka menghadapi
kebuntuan, sehinggalah hari keenamnya apabila mereka menerima cadangan Abu
Umaiyah AI-Mughirah agar diserahkan penyelesaiannya kepada siapa yang mula-mula
memasuki Masjid Al-Haram melalui pintu Bani Syaibah. Kebetulan yang memasukinya
ialah Muhammad, hingga dengan riang gembira mereka berseru: “Inilah dia
Muhammad Al-Amin, orang yang kami tunggu, kami sekalian rela dengan
keputusannya”.
Sewaktu turunnya ayat: “Beri
ingatlah terhadap kaum kerabatmu yang dekat” (AI-Syu’ara: 214). Nabi
lantas mengundang keluarga Abdul Mutalib di Bukit Safa dan berseru: “Bagaimana
pendapatmu sekalian jika kuberitahu kamu bahawa di kemuncak bukit ini ada
pasukan berkuda hendak menyerang kamu. Percayakah kamu?” Maka jawablah mereka:
“Ya, engkau tidak pernah disangsikan. Belum pernah kami engkau berdusta”.
Ketika
surat Nabi sampai kepada Heraclius, raja Rom di BaitulMaqdis, ia memanggil
orang-orang Arab Makkah yang kebetulan berdagang di situ. Kepada mereka
Heraclius menyoal apakah mereka menuduh Muhammad pernah berdusta sebelum ia
mengaku menjadi Nabi, mereka menjawab ‘tidak’. Mendengarnya Heraclius lalu
berkata: “Orang yang tidak berdusta kepada manusia, tidak bisa jadi berdusta
atas nama Allah”.
Heraclius
hanyalah seorang daripada musuh-musuh besar Nabi yang turut mempercayai sifat
kebenaran Nabi. Selain beliau, Abu Jahal yang juga musuh ketat Nabi turut
mengakui: “Kami tidak dustakanmu, ya Muhammad, tetapi kami menolak agama yang
engkau bawa”. Demikian juga pendapat Al-Nadhir Al-Harith, musuh Nabi
juga:”Adalah Muhammad di antara kamu seorang anak muda yang paling disukai dan
paling besar amanahnya, tetapi apabila ia membawa kepada kamu apa yang ia bawa,
maka kamu katakan dia ahli sihir. Demi Allah, dia bukanlah ahli sihir”.
Kepercayaan
musuh-musuh Muhammad terhadap kejujurannya bukan hanya sebelum kerasulannya,
bahkan selepasnya juga. Kerana sifat amanahnya itulah mereka sanggup
menyerahkan barang-barang kepunyaan mereka kepada baginda untuk dijaganya.
Sampailah berlakunya Hijrah, barulah barang-barang tersebut diserahkannya
kembali kepada pemiliknya masing-masing yang mana termasuk musuh-musuh Islam
juga!
3. NUBUWWAH MUHAMMAD
Jika sebelum kerasulannya Muhammad sudah terkenal sebagai
seorang yang benar lagi dipercayai, maka selepas kerasulannya ‘Nubuwwah’ itu
sendiri semakin menguatkan kebenaran risalahnya. Yang dimaksudkan dengan
‘Nubuwwah’ ialah berita-berita ghaib atau ‘ramalan-ramalan’ tentang masa depan
sesuatu dan tepatnya berita-berita ghaib itu dengan kenyataan dengan sendirinya
membuktikan kebenaran Muhammad sebagal Rasulullah. ‘Tuhan Yang Maha Mengetahui yang ghaib, dan Dia tidak menyatakan
kepada seorang pun tentang yang ghaib itu, kecuali kepada Rasul yang
diredhai-Nya” (Al-Jin: 26-27). Dan
Muhammad sendiri pun mengakui bahawa tidaklah dia mengetahui yang ghalb,
kecuali apa yang diwahyukan kepadanya(Al-An’am: 50).
Di antara contoh-contoh Nubuwwah tersebut ialah mengenai
kerajaan Rom Timur (Byzantine). Kerapkali apabila kaum musyirikin menentang
kaum Muslimin di Makkah, mereka mengatakan bahawa bangsa Rom yang mempunyai
kitab Injil telah dikalahkan oleh Parsi yang beragama Majusi. Dengan itu mereka
yakin dapat mengalahkan kaum Muslimin, kerana kaum Muslimin juga dari ahli
Kitab. Dari peristiwa ini turunlah ayat: “Telah
dikalahkan kerajaan Rom, dan mereka setelah dikalahkan itu menang dalam
beberapa bidh’i lagi” (Al-Rum: 24). Ketika turun ayat ini, Rum baru saja dikalahkan,
iaitu antara tahun 614-615 M. Tetapi tujuh tahun kemudian, mereka dapat merebut
kemenangannya kembali. Alangkah tepatnya ayat Al-Quran tersebut, sebab kalimat
“bidh’i” itu bermaksud di antara 3-9 tahun!
Lantaran
keyakinannya tentang kebenaran firman Allah S.W.T. itulah maka Abu Bakar berani
bertaruh dengan Ubayy bin Khallaf yang berakhir dengan kemenangan Abu Bakar.
Sebenarnya pertaruhan ini bukannya perjudian, sebab judi berdasarkan
keuntungan, sedangkan tindakan Abu Bakar itu semata-mata berasaskan
keyakinannya yang penuh terhadap kebenaran Al-Quran.
Sewaktu
berlakunya peristiwa pemboikotan terhadap keluarga Bani Hashim, Rasulullah lalu
memberitahu pakciknya Abu Talib bahawa surat perjanjian yang mereka
(ketua-ketua Quraisy) gantungkan di Kaabah itu sudah dimakan anai-anai, kecuali
nama Allah. Lalu keluarlah Abu Talib ke masjid dan menyampaikan kepada kaum
Quraisy kenyataan Muhammad itu. Katanya: “Anak saudaraku itu tidak pemah
berdusta. Marilah kita periksa. Kalau dia betul, hendaklah kamu berhenti
daripada memboikot kami. Tetapi kalau ia berdusta, aku akan serahkannya buat
kamu membunuhnya”. Tawaran Abu Talib itu disambut baik, lalu mereka pun menuju
ke Kaabah untuk melihat surat perjanjian itu. Alangkah terkejutnya mereka
kerana mendapatinya tepat sepertimana perkataan Muhammad. Mustahil Muhammad
dapat mengetahuinya, kerana surat itu ditaruh dalam Kaabah di suatu tempat yang
tersimpan dan berkunci, sedang kuncinya pula dipegang oleh kaum Quraisy sendiri!
Selepas
peperangan Badar yang membawa kekalahan kaum musyrikin, bertekadlah Umair di
depan Safwan untuk membunuh Muhammad, kerana anaknya telah ditawan. Ketika dia
menemui Nabi di Madinah, dia menyatakan maksud kedatangannya cuma tentang
urusan anaknya tersebut. Mendengarnya Nabi memaksa Umair agar memberitahu
maksud sebenar kedatangannya, namun jawapannya tetap sama. Akhirnya Nabi pun
berkata: ‘Tidak, tetapi engkau dan Safwan duduk di pinggir Kaabah dan kamu
beromong-omong begini dan begitu…” Di saat ini juga Umair masuk Islam, sambil
berkata: “Dahulu kami dustakanmu tentang khabar yang datang kepadamu dari
langit, tetapi dalam urusanku tidak ada yang hadir melainkan aku dan Safwan”.
Salah
seorang tawanan Nabi ialah Abbas bin Abdul Mutalib, pakciknya sendiri. Ketika
Nabi meminta agar dibayar wang tebusannya, dia lalu membayarnya sambil berkata
kepada Nabi: “Sesungguhnya engkau telah jadikan daku seorang miskin dalam
bangsa Quraisy seumur hidupku”. Maka bersabdalah Nabi: “Bagaimana boleh jadi?
Padahal engkau tinggalkan beberapa harta benda kepada Ummul-Fadhl, dan engkau
berkata kepadanya: Kalau aku mati, engkau jadi perempuan yang kaya”. Lantaran
terkejut, Abbas pun berkata: “Demi Allah! Tidak seorang pun yang tahu hal ini!”
Ketika
berlakunya peperangan Muktah di Sham, Nabi yang berada di Madinah berkata
sambil berlinangan air matanya: ‘Telah mati Zaid, telah mati Jaafar, telah mati
lbnu Rawahah, lalu panji-panji itu diambil oleh suatu pedang dari pedang-pedang
Allah” (maksudnya Khalid Al-Walid). Sesudah peperangan datanglah berita seperti
yang dikhabarkan tersebut! Siapakah yang memberitahu kejadian-kejadian di
negeri Sham yang begitu jauh dari Madinah kalau bukan Tuhan yang mengutusnya
sebagai Rasul?
Nabi
juga menyatakan bahawa puterinya Fatimah adalah orang yang mula-mula sekali
akan menyusuli kewafatannya kelak. Dan benar sekali kerana 6 bulan selepas
kewafatan baginda, Fatimah pun meninggal. Dengan kematiannya barulah Ali bin
Abu Talib membaiat Abu Bakar sebagai Khalifah. Tentang Ali, Nabi pernah mengatakan
bahawa dia akan mati terbunuh ketika berpuasa dengan suatu pukulan di kepala
sewaktu sedang sujud. Memang benarlah Nabi kerana Ali telah terbunuh dengan
pukulan pedang oleh Abdul Rahman bin Muljam ketika beliau sedang mengerjakan
sujud pertama dalam solat Subuh pada bulan Ramadan.
Mengenai
kejadian-kejadian yang bakal menimpa putera-putera Ali, iaitu Hassan dan
Hussain, turut juga disebut-sebut oleh Nabi. Terhadap Hassan, Nabi mengatakan:
“Sesungguhnya anakku Hassan ini (akan menjadi) seorang ketua, dan mudah-mudahan
Allah akan damaikan dengan perantaraannya antara dua golongan yang besar dari
kaum Muslimin”. Demikianlah yang terjadi kemudiannya, apabila Hassan yang
mengganti ayahnya telah menyerahkan jabatan Khalifah kepada Muawiyah di Kufah
pada tahun 661 M. Ada pun mengenai Hussain, juga telah diberitahu oleh Nabi
yang dia akan dibunuh secara kejam di Kufah. Dan itulah yang terjadi apabila
Hussain bersama penyokong-penyokongnya telah diserang oleh angkatan Ubaidullah
bin Ziyad di Karbala, Kufah pada zaman Yazid bin Muawiyah. Sewaktu kematiannya,
kepala Hussain telah dipotong sedang di badannya terdapat 33 bekas pedang dan
34 bekas tombak.
Di
zaman pemerintahan Usman bin Affan, meninggallah Abu Zar Al-Ghifary, salah
seorang sahabat besar Nabi. Sebenarnya kematian Zar telah pun disebut-sebut
oleh Nabi sewaktu tentera-tentera Muslimin sedang dalam perjalanan menuju
Tabuk. Oleh kerana unta yang dinaiki oleh Abu Zar tercedera, terpaksalah ia
berjalan kaki seorang diri untuk menyusuli pasukannya yang agak jauh
meninggalkannya. Ketika pasukan Muslimin sedang berehat di suatu tempat,
kelihatanlah Abu Zar sedang berjalan sendirian di lereng-lereng bukit. Maka
bersabdalah Rasulullah: “Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada Abu Zar. la
berjalan seorang diri, dan ia juga akan meninggal seorang diri, dan akan di
bangkitkan pada Hari Akhirat seorang diri juga”. Apa yang berlaku kemudiannya
ialah Abu Zar meninggal seorang diri ketika dalam pembuangan oleh Usman bin
Affan. Apabila mayatnya dijumpai oleh Abdullah bin Mas’ud, maka menangislah ia
sambil berkata: ‘Sungguh benarlah Rasulullah bahawa Abu Zar meninggal seorang
diri”
Rasulullah
juga telah memberitahu beberapa peristiwa yang kemudiannya benar-benar berlaku
ketika tercetusnya peperangan Jamal dan Siffin di zaman Ali bin Abu Talib.
Terhadap Zubair Al-Awwam, Nabi berkata: “Nanti engkau akan memerangi Ali, dan
dalam hal ini engkau yang akan menganiaya”. Apa yang jelas ketika pertempuran
Jamal sedang sengit ialah bahawa Zubair telah melarikan diri, kerana kurang yakin
apakah penentangannya terhadap Ali benar atau tidak. Tentang Ammar bin Yasir,
Nabi bersabda: “Kasihan Ammar, dia akan dibunuh oleh golongan yang menderhaka”.
Demikianlah yang terjadi kemudiannya di mana Ammar telah mati terbunuh oleh
tentera-tentera Muawiyah di dalam peperangan Siffin.
Pada
zaman Muawiyah bin Abu Sufyan sebagai Khalifah, telah meninggal pula Abu Ayub
AI-Ansari, sahabat besar Nabi. Kematiannya ketika dalam peperangan dan mayatnya
yang ditanam di bawah benteng Constantinople menjadikan apa yang diberitahu
oleh Nabi lebih dulu terbukti kebenarannya.
Demikianlah sekelumit daripada Nubuwwah Muhammad. Kebenaran demi
kebenaran terhadap apa yang telah diberitahunya terlebih dahulu menimbulkan
suatu pertanyaan: Dari manakah Muhammad mengetahui semuanya itu? Kalau ia
bukannya Rasulullah, bolehkah dia mengetahuinya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan