BAB 6: HIJRAH DALAM SEJARAH ISLAM
1. PENGERTIAN HIJRAH
Pengertian
Hijrah dapat dilihat dari dua segi. Pertama dari segi zahirnya perkataan
‘hijrah’ yang berasal dari perkataan ‘hajara’ itu bermakna: pindah dari satu
tempat ke tempat lain (flight). Tetapi dari segi maknawinya, kata Prof. Syed
Muhammad Naquib Al-Attas, terselit juga makna ‘meninggalkan adat resam atau
kebiasaan yang karut dan mungkar’. Di sini istilah’flight’ tidak dapat dipakai
lagi, sebab maksudnya bukan melarikan diri dari bahaya, tetapi menjauhkan diri
dari kemungkaran agar diri itu dapat diperkuatkan intisarinya, dan dapat
menghapuskan kejahilan dan kejahatan.
Pendapat
Prof. Syed Muhammad Naquib itu disetujui oleh Prof. T.M. Hasbi as-Siddieqy yang
menegaskan bahawa Hijrah dalam Islam ada dua rupa. Pertamanya berpindah dari
Ummul-Qura (Makkah) ke Madinah. Keduanya berpindah dari negeri kafir ke negeri
Iman (Islam). Dan menurutnya, hakikat Hijrah ialah ‘Tarku manallahu ‘anhu”,
yakni meninggalkan apa yang dilarang Allah.
Pentingnya
makna Hijrah sebagai suatu perjuangan menegakkan yang makruf, bukannya
perjuangan keduniaan, telah dibayangkan sendiri oleh Rasulullah dalam sabdanya:
‘Wahai manusia! Hanyasanya segala amal itu dengan niat. Dan hanyasanya bagi
seseorang manusia adalah apa yang diniatkan. Barang siapa melakukan Hijrahnya
kepada Allah dan Rasul-Nya, maka jadilah Hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya.
Dan barang siapa melakukan Hijrahnya kepada dunia yang ia ingin memperolehnya,
atau kepada seseorang wanita yang ia ingin mengahwininya, maka jadilah Hijrahnya
kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu”. (H.R. Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan
Hadis ini, dapat difahami bahawa segala amal adalah menurut penggerak (motif)
yang menggerakkan pembuatnya. Kalau penggeraknya (motivasi) kerana Allah, maka
berpahala dan dipahalai. Tetapi kalau penggeraknya bukan kerana Allah, maka
tidaklah dipahalai dan mungkin diganjari dengan dosa. Hadis ini timbul dari
kisah ‘Muhajir Ummu Qais’ (yang berhijrah kerana Ummu Qais) yang mendakwa ia
berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, tetapi sebenarnya untuk mendapatkan Ummu
Qais di Madinah. Dikatakan bahawa Ummu Qais enggan berkahwin dengan orang yang
mencintainya, jika ia enggan berhijrah. Lantaran itu, berhijrahlah orang
tersebut lalu berkahwinlah mereka.
2. SEBAB—SEBAB HIJRAH
Terdapat
beberapa sebab yang saling paut-memaut yang membawa kepada berlakunya Hijrah
dalam Sejarah Islam. Pertama disebabkan pergolakan atau tekanan-tekanan yang
dihadapi oleh Nabi dan pengikut-pengikutnya di Makkah. Akibat kematian dua
orang pembantunya selama ini, berlakulah perubahan besar dalam corak dakwah
Rasulullah. Terhadap Baginda sendiri, yang ketara ialah orang-orang Quraisy
telah semakin berani mengganggunya, mencaci-maki dan bahkan sudah merancang
untuk menamatkan riwayatnya. Maka terasalah pada Muhammad untuk menukar qiblat
dakwah kepada orang-orang luar pula, terutamanya pada jemaah-jemaah Haji.
Selain dari cerca maki dan lemparan kerikil yang ‘dihadiahkan’ oleh orang-orang
Taif terhadapnya, tak kurang pula halangan yang dihadapkan kepadanya oleh Abu Lahab
ketika Baginda sedang menyeru jemaah-jemaah Haji tersebut. Faktor suasana dalam
negeri yang kian mengancam inilah yang mendorong Baginda memikirkan perlunya
berhijrah.
Faktor
kedua yang mendesak ke arah perlunya berhijrah ialah timbulnya tanda-tanda penerimaan
yang baik di Madinah. Ada beberapa sebab kenapa mereka menyambut baik ajaran
Islam itu. Pertama, bangsa Arab Madinah lebih dulu mengetahui tentang ketuhanan
dan kenabian yang mereka dengar daripada orang-orang Yahudi di sana. Sebab itu
apabila diseru oleh Nabi, terus mereka menerimanya, agar tidak didahului oleh
kaum Yahudi. Selain dari itu, tercetusnya konflik yang memanjang baik sesama
bangsa Arab Madinah (Aus dengan Khazraj) mahupun dengan bangsa Yahudi telah
menjadi alasan pula tentang perlunya seorang pemimpin buat mendamaikannya. Maka
atas kesedaran inilah maka golongan Arab itu menjemput Nabi ke Madinah, setelah
beberapa kali mengadakan Perjanjian Aqabah (Bai’atul-Aqabah). Perjanjian ini
sekaligus bererti suatu pengiktirafan secara rasmi penduduk-penduduk Madinah
terhadap Muhammad sebagai pemimpin di Madinah.
Walau
apapun sebabnya, penghijrahan Baginda hanya menjadi kenyataan setelah
diwahyukan oleh Allah S.W.T. tentang niat jahat orang-orang Quraisy untuk
membunuhnya (Al-Anfal: 30). Menurut sumber-sumber tradisi, ketika itu datang
Jibrail kepada Nabi lalu menyampaikan perintah Allah S.W.T. supaya Nabi
berhijrah, serta dilarangnya Nabi daripada tidur di tempatnya pada malam itu.
Ini menyebabkan Nabi secara tergesa-gesa tetapi penuh hati-hati berangkat ke
Madinah bersama Abu Bakar Al-Siddiq pada tahun 622 M.
3. KEPENTINGAN HIJRAH
Sesungguhnya
peristiwa Hijrah ini amat penting, sehingga kerana kepentingannyalah yang
mendorong Umar Al-Khattab meletakkannya sebagai tarikh permulaan kalendar
Islam. Biasanya agama-agama lain memulakan tarikhnya berdasarkan tarikh
kelahiran penganjur mereka, yakni semacam pendewaan terhadap peribadi
berkenaan. Tetapi Umar tidak berbuat seperti itu kerana ianya lebih merupakan
tarikh peribadi, bukannya tarikh perjuangan ke arah kebenaran (hak) untuk
menjadi petunjuk seluruh umat manusia. Dan memang selayaknyalah Umar berbuat
demikian, sebab jikalau tidak, tentulah Rasulullah tidak memberi jolokan
‘Al-Faruq’ kepadanya!
Dari
segi Harakah Islamiah, peristiwa Hijrah ini memangnya sangat penting. Dalam
peristiwa itu, kita lihat betapa Rasulullah berjalan menurut Sunnah biasa di
alam ini, dengan menempuh berbagai cabaran dan kesulitan. Sesungguhnya Allah
S.W.T. Amat Berkuasa untuk memindahkan Rasulullah dari Makkah ke Madinah dalam
suatu perjalanan yang mudah seperti dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Tetapi
dalam Hijrah, Allah S.W.T. tidak berbuat demikian. Ini sewajarnya menjadi
tauladan kepada kita, bahawa dakwah bukanlah suatu kehidupan yang mudah, tetapi
suatu perjuangan menentang kebatilan dan kekufuran dalam segala bentuk dan
warnanya.
Melalui
peristiwa Hijrah itu sendiri, kita dapat menyaksikan pengorbanan besar
sahabat-sahabat Rasulullah dalam memenuhi program Harakah Islamiah itu. Abu
Bakar sendiri misalnya, sanggup menyediakan apa saja yang dipunyainya; harta
bendanya, putera-puterinya dan malah dirinya sendiri untuk keperluan Hijrah
tersebut. Demikian juga Ali bin Abu Talib, sanggup tidur di katil Rasulullah
walaupun dia penuh sedar bahawa mati adalah pilihan bagi mereka yang sanggup
berbuat demikian pada malam itu. Tetapi kerana lebih mengutamakan keyakinan
dari kesenangan peribadi, sanggup mereka melakukannya.
Selain
dari itu, kita juga dapat melihat kebijaksanaan Rasulullah dalam mengatur
strategi dalam perjalanannya itu. Sebagaimana dimaklumi, Baginda tidak terus
berangkat ke Madinah, sebaliknya bersembunyi terlebih dulu beberapa malam di
Gua Thur. Taktik seperti ini menyebabkan kaum Quraisy mengalami keletihan dan
putus harapan dalam pencariannya. Menurut firasat Baginda yang tajam,
orang-orang Quraisy tentunya akan berkeliaran di sepanjang jalan menuju
Madinah, khasnya di bahagian utara Makkah. Tetapi Rasulullah tidak memilih
jalan ini, sebaliknya Baginda mengambil jalan selatan; suatu jalan yang tidak
biasa ditempuh orang, kemudiannya baru menuju Tihamah di dekat pantai Laut
Merah.
Betapa
pentingnya peristiwa Hijrah yang melalui jalan selatan dan Tihamah ini dapat
kita saksikan riwayatnya dalam kitab Taurat sendiri. “The burden upon Arabia.
In the forest in Arabia ye lodge, 0 ye travelling of Dedanim. The inhabitants
of the land of Tema brought water to him that was thirsty, they prevented with
their bread him that fled. For they fled from the swords … and from the bent
bow, and from the grievousness of war. For thus hath the Lord said unto me,
within a year according to the years of an hireling, and all the glory of Kedar
shall fail. And the residue of the number of archers, the mighty men of the
children of Kedar shall be diminished” (Isaiah 21:13-17).
Ayat
ini dengan jelas memaparkan riwayat penghijrahan Muhammad tersebut. Tidak
pernah berlaku, malah tidak pernah terdapat orang yang bermalam di Tema
(Tihamah) tersebut, kecuali dalam peristiwa Hijrah Rasulullah. Perkataan
‘Dedanim’ di sini bermaksud keturunan dari kaum ‘Ad, salah satu kaum yang
menyekutukan Tuhan. Mengenai ‘Kedar’ pula, Taurat sekali lagi menjelaskan
bahawa Kedar ialah salah seorang daripada 12 orang putera Nabi Ismail (Genesis
25:13). Bani Kedar ini ada yang mendiami daerah pargunungan Paran. Dan dari
keturunan Kedar inilah timbul suku Quraisy, yang daripadanya lahir Muhammad.
Demikian pentingnya Hijrah ini, sehingga tidak ketinggalan disebut dalam Taurat
yang masih terpakai sekarang!
Sebenarnya
kepentingan Hijrah itu menjadi semakin jelas dengan melihat pada impikasi
peristiwa itu sendiri. Dengan berlakunya Hijrah, terbentuklah suatu ‘Ummah’,
iaitu suatu jemaah atau organisasi baik dalam bentuk masyarakat atau negara
yang mempunyai ciri-ciri keperibadiannya yang tersendiri dan berbeza dari yang
lain. Jemaah ini berbeza, kerana ia berasaskan AQIDAH dengan kepatuhan
hanya kepada kuasa Allah semata-mata, tidak kepada kekuasaan lain dengan segala
rupa bentuknya. Sebenarnya istilah ‘Madinah’ itu sendiri berakar dari istilah
‘Din’, iaitu sebuah kota, bandar atau bandaraya di mana suatu Ummah tertakluk
pada suatu penguasa yang adil dan benar yang menyelamatkan mereka di dunia dan
akhirat. Melalui Hijrahlah timbulnya konsep Ummah tersebut yang nantinya akan
mempengaruhi seluruh dunia.
Dengan
timbulnya suatu Ummah di sebuah kota atau bandar yang bernama Madinah, maka
terdirilah sebuah negara dengan sistem pemerintahan yang berteraskan Islam.
Ertinya sebuah Negara Islam (Islamic State), bukannya negara orang-orang Islam
(Muslim State) yang tidak mendaulatkan hukum Islam di dalamnya. Sebuah Negara
Islam ialah suatu tempat di mana Syiar Islam benar-benar mempunyai kekuatan
hukum di dalamnya, bukannya negara berfaham kedaerahan terbatas, atau berfaham
chauvinisme yang menyempitkan dirinya dengan batasan kaum, keturunan atau warna
kulit.
Dengan
terbentuknya sebuah negara yang mempunyai kedaulatan hukum ini, maka ini dapat
menambahkan kekuatan umat Islam yang dengan itu dapat mempertahankan
keselamatan dirinya. Kalau dulu mereka berselerak di Makkah, di Habshah dan
lain-lainnya, maka kini sesudah Hijrah semuanya lalu berkumpul dalam suatu
perpaduan yang kukuh, hingga sanggup melancarkan Jihad dalam menegakkan Kalimah
Allah S.W.T.
Akhirnya,
Hijrah juga telah berjaya menambah bilangan umat Islam, iaitu gabungan
orang-orang Muhajirin dengan Ansar. Apa lagi sejak termetrinya Perjanjian
Hudaibiah, ini memberi kesempatan yang luas untuk menyebarkan lagi dakwah Islam
hingga ke luar negeri. Dan dengan tertakluknya kota Makkah serta selesainya
Perang Tabuk, diikuti oleh sumpah setia orang-orang Thaqif, maka
berbondong-bondonglah bangsa Arab dari segenap penjuru menghadap Nabi untuk
menyatakan keislamannya. Peristiwa yang berlaku pada 9 H., ini begitu penting,
sehingga digelar ‘Tahun Delegasi’ di mana agama Islam kini telah menjadi anutan
seluruh penduduk Semenanjung Tanah Arab dan sekitarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan