BAB 2: SASTERA ARAB JAHILIAH
Seperti
ditegaskan sebelumnya, orang-orang Arab Jahiliah tidaklah benar-benar jahil
dalam segenap seginya, sebab dalam bidang-bidang tertentu, mereka adalah maju.
Terutamanya dalam lapangan kesusasteraan, ternyata sekali mereka mempunyai
keahlian yang tinggi. Memangnya sebahagian Orientalis seperti Prof. Nallino dan
Margolioth meragui wujudnya apa yang dikatakan sastera Jahiliah itu. Tetapi ini
dengan tegas ditolak oleh Dr. Ali Al-Jundi, Dr. Ahmad Amin dan Dr. Aishah Abdul
Rahman. Malah Al-Quran sendiri menegaskan wujudnya penyair-penyair di dalam
masyarakat Arab Jahiliab (Al-Syu’ara: 224,A1-Haqqah: 41, Al-Saffat: 36).
Dalam
kalangan masyarakat Arab, selain dari para-para Hakim yang mempunyai kedudukan
tertinggi, penyair-penyair juga dipandang tinggi dan terhormat. Biasanya bila
pada sesuatu qabilah muncul seorang penyair, maka datanglah utusan dari
qabilah-qabilah lain mengucapkan selamat kepada qabilah itu. Maka diadakanlah
pesta dan jamuan besar-besaran, dengan menyembelih binatang-binatang ternak,
yang diiringi oleh tarian dan nyanyian wanita-wanita qabilahnya. Antara
penyairpenyair yang terkenal pada zaman Jahiliah ialah Hassan bin Thabit, Hatim
At-Tai, Al-A’sya, Muhalhil bin Rabiah, Zuheir bin Abi Salma, Tar-fah bin
Al-Abd, AI-Qattami, AJ-Hutaiah dan sebagainya.
Kedudukan
yang terhormat tersebut adalah memandangkan peranannya sendiri sebagai
jurucakap qabilahnya, dengan membelanya di samping merendahkan qabilah lain.
Dengan itu dia melebihi seorang pahlawan yang membela qabilahnya dengan pedang
dan tombaknya. Betapa besarnya pengaruh syair dapat dilihat dari segi kesannya
apabila dia memuji-muji seseorang yang sebelumnya hina, maka dengan mendadak
darjatnya naik. Sebaliknya jika dikejinya, akan berlakulah seperti apa yang
diucapkannya.
Selain
itu, para penyair juga merupakan seorang jurnalis zamannya, iaitu kerana
kebolehannya melaporkan kejadian-kejadian penting yang berlaku. Seperti
disebutkan dulu, sejarah penduduk Badawi yang bermula sejak 150 tahun sebelum
Islam itu sendiri dapat dikesan melalui hasil-hasil puisi mereka. Misalnya kejadian-kejadian
seperti Perang al-Basus, sifat ‘diyafah’ (pemurah dan melayan tetamu),
penyembelihan binatang-binatang di kubur-kubur pahlawan dan sebagainya adalah
diketahui melalui syair-syair mereka.
Bukan
sahaja sebagai jurnalis, malah juga sebagai sejarawan kaumnya. Sebagai ahli
sejarah, dia mengetahui hal-ehwal salasilah kaumnya. Dan dengan ini dia
merupakan cendekiawan qabilahnya sendiri. Dan yang tidak kurang pentingnya,
para penyair ini dianggap mempunyai kuasa yang tersembunyi daripada orang kebanyakan,
lantaran hubungannya dengan kuasa-kuasa ghaib atau syaitan. Malah bagi Dr.
Hitti, pengetahuannya diperolehi dari syaitan. Demikianlah betapa penting dan
mulianya kedudukan para penyair dalam kalangan masyarakat Arab ketika itu.
Mengkaji
sastera zaman Jahiliah ini, akan kita dapati beberapa ciri umum di dalamnya.
Pertamanya, sastera Jahiliah lebih merupakan pancaran masyarakat Jahiliah itu
sendiri, yakni ciri-ciri masyarakat Jahiliah dapat dikesan melalui syair-syair
tersebut. Pepatah Arab sendiri ada mengatakan: Bahawa syair Arab adalah dewan
bangsa Arab. Maksud ‘dewan’ Arab ialah catatan tentang adat istiadat,
tatasusila, agama, kecerdasan bangsa Arab. Atau lebih tepat, bangsa Arab dengan
dewan ini telah mencatat dirinya sendiri. Kiranya keadaan ini dapat
dibandingkan dengan puisi Melayu sendiri, yang oleh Prof. St. Takdir
Alisjahbana dianggap sebagai pancaran masyarakat Melayu lama. Misalnya melalui
syair-syair Jahiliah dapat kita ketahui yang mereka (Badawi), tidak mempunyai
kepercayaan tertentu, sebaliknya menganut faham animisme. Sebagai contoh,
mereka menganggap padang pasir didiami oleh syaitan yang suka mengacau mereka.
Melalui
isi kandungannya juga, tema-tema yang ditekankan di dalam syair-syair Arab
kebanyakannya stereotaip, yakni tidak banyak aspek-aspek baru yang
diceritakannya. Yang jelas, kebanyakannya hanya terbatas tentang kisah-kisah
kaumnya atau keadaan sekitarnya sahaja. Ertinya sedikit sekali hal-hal baru
yang cuba disentuhnya. Khayal mereka banyak diisi oleh ternakan kesayangan mereka
seperti unta dan pansifatan tentang tanah-tanah mereka yang datar atau tinggi,
juga penuh dengan pujian-pujian terhadap seseorang tertentu, baik hidup atau
mati, yang ada memiliki sifat-sifat unggul, seperti ‘Diyafah’ atau ‘Muruah’.
Dengan
keadaan seperti ini, tidak hairanlah jikalau dalam menggambarkan sesuatu
suasana yang sama, terdapat berbagai corak yang beraneka ragam. Suatu hal yang
sama telah mendapat sorotan dari berbagai segi. Jadi dari segi ini, memangnya
terdapat kemajuan. Sebab itu, kata Dr. Ahmad Amin, tidaklah jauh dari kebenaran
jika dikatakan bahawa kata-kata Arab yang berhubungan dengan unta adalah
sebanyak satu pertujuh belas dari seluruh kata dalam Bahasa Arab!
Suatu
hakikat yang mungkin tidak dapat ditolak ialah bahawa para penyair adalah
kepunyaan kaumnya. Ini sebenarnya adalah cirri-ciri ‘Asabiyyah’ di mana
seseorang itu hanya mentaati kaumnya saja. Dengan membaca syair-syair Jahili,
akan terasa oleh kita bahawa peribadi penyair tenggelam dalam kaumnya,
seolah-olah dia tidak merasakan wujud dirinya. Jarang sekali terdapat syair
yang menggambarkan perasaan si penyair serta menampakkan dirinya terlepas dari
kongkongan kaumnya. Hal ini jelas dalam ‘muallaqah’ Amar ibn Kulsum.
Selain
dari itu, syair adalah hasil karya suatu golongan masyarakat yang tinggi. Dari
hiasan bahasa dan lafaz-lafaz indah yang dipergunakan itu, ternyata sekali
bahawa ianya bukan bahasa rakyat umum. Sebaliknya pula pada peribahasa yang
lebih menampakkan ‘suara rakyat’ di dalamnya, dan dengan itu lebih mewakili
rakyat umum daripada syair.
Tentang
bahasa sastera yang dipakai, patut diketahui bahawa dalam bahasa Arab terdapat
beberapa telor; seperti telor Ananah untuk suku Tamim, Kaskasyah untuk suku
Asad, Jajaah untuk suku Khuzaah, Shansyanah untuk suku Arab Yaman. Bagaimanapun
kerana sebab-sebab tertentu, telor Quraisylah yang menguasai bahasa sastera
sejak zaman Jahiliah. Ertinya karya-karya sastera yang dihasilkan oleh
penyair-penyair Jahiliah adalah menggunakan bahasa atau telor Quraisy.
Sebab
utama penguasaan dialek Quraisy ialah faktor agama, di mana dalam
kegiatan-kegiatan agama, qabilah Quraisylah yang memainkan peranan terpenting.
Demikian juga dari segi ekonomi, merekalah juga yang memegang terajunya. Dari
segi politik pula, terdapat suku-suku Arab yang takut diancam oleh kerajaan Rom
dan Habshah, lalu mereka beralih meminta sokongan Makkah sendiri. Dengan itu
seperti kata Dr. Shauqi Dhaif, ini memberi kesempatan baik kepada suku Quraisy
untuk mempengaruhi mereka, termasuk dalam soal bahasa. Dan akhirnya dari segi
sosial pula, apabila Makkah menjadi tempat tumpuan berbagai-bagai qabilah,
khasnya di Pasar Ukkaz itu, ini menyebabkan orang Quraisy tidak melepaskan
peluang untuk memetik kata-kata yang indah atau bahasa yang bermutu, dan dengan
ini dapat menguat dan memperindahkan lagi dialek Quraisy sendiri. Inilah di
antara sebab-sebab dialek Quraisy dapat menguasai bahasa sastera dan syair pada
zaman Jahiliah.
Akhirnya
dalam mengkaji sastera Arab Jahiliah ini, kita tidak dapat melupakan peranan
Pasar Ukkaz dalam hal ini. Memang selain dari Suq Ukkaz, terdapat pekan-pekan
lain di Al-Majjanah, Dumatal-Jandal dan Zulmajaz. Tetapi dalam kegiatan
sastera, Pasar Ukkazlah yang lebih menarik perhatian. Sebagai pasar tahunan, ia
menjadi tempat tumpuan utama kafilah-kafilah Arab dari segenap pelusuk dan
penjuru. Di sinilah diadakan pertandingan menggubah syair, di samping mendengar
cerita-cerita sementara menanti waktu mengerjakan Haji.
Begitu
pentingnya Pasar Ukkaz ini, sehingga oleh Prof. Hifti ia dianggap sebagai
‘Academie Francaise’ di Tanah Arab ketika itu. Hasil dari kongres kesusasteraan
tahunan ini, lahirlah syair-syair bermutu yang memenangi pertandingannya. Di
antara yang termasyhur ialah antologi syair ‘AI-Muallaqat Al-Sab’a (Seven Odes)
karya Umrul-Qais yang telah mendapat penghormatan untuk digantung di Kaabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan