BAB 5: DAKWAH ISLAM DI MAKKAH
Ketika
Muhammad menjangkau usia 40 tahun, turunlah wahyu pertama pada malam Isnin 17
Ramadan yang menandakan dengan rasminya dia dilantik sebagai Rasulullah (utusan
Allah). Dengan ayat Al-lqra’ dan diikuti oleh ayat-ayat lain selepasnya, maka
bermulalah siri-siri dakwah Islamiah di Makkah.
Dalam
mengatur strategi dakwah Islamiah, Rasulullah sentiasa berpadu kepada ‘hikmah’
(Al-Nahl: 125). Mulanya baginda menyeru kepada sahabat-sahabatnya sahaja,
kemudian kepada keluarganya yang terdekat, dan akhimya barulah kepada
masyarakat umum secara terang-terangan.
1. INTISARI AJARAN ISLAM DI MAKKAH
Menurut
Syed Qutb, persoalan utama yang dibawa oleh Rasulullah di Makkah ialah
persoalan AQIDAH. Persoalan ini memangnya tidak mudah diterapkan ke dalam hati
orang-orang Arab, namun ianya tetap dititikberatkan oleh Rasulullah meskipun
dia menyedari ranjau-ranjau yang bakal ditempuhinya sepanjang jalan.
Bagi
Syed Qutb, inilah dia tabiat program Al-Quran yang sebenarnya. Sungguhpun
ketika itu orang-orang Arab menghadapi ancaman kuasa-kuasa Rom dan Parsi, namun
Rasulullah tidaklah menyeru ke arah chauvinisme atau nasionalisme Arab, sebab
ini bermakna lepas bebas dari tangan ‘taghut’ berbangsa Rom atau Parsi untuk
berpindah tunduk kepada ‘taghut’ berbangsa Arab! Dan sungguhpun masyarakat
Makkah ketika itu menghadapi tekanan kaum-kaum kapitalis Quraisy, namun
Rasulullah tidak pula menyeru ke arah sosialisme, sebab keadilan sosial yang hakiki
hanya dapat tegak dalam masyarakat yang tulen pengabdiannya kepada Allah. Dan
akhirnya walaupun masyarakat Arab ketika itu sedang mengalami penyakit akhlak
yang menjadi-jadi, namun Rasulullah tidaklah menjadikan perjuangan meninggikan
tingkatan moral itu sebagai tujuan utamanya, sebab moral yang baik tidak dapat
tegak melainkan di atas asas Aqidah yang murni dan kukuh.
Maka
demi menegakkan Aqidah yang benar, diajarkanlah bahawa hanya Allah sahajalah
yang layak disembah atau diminta pertolongan, bukannya menyembah
berhala-berhala atau mengabdi kepada sesama manusia sendiri. Penyembahan kepada
berhala-berhala harus ditolak, kerana ia tidak berkuasa apa-apa, bahkan dirinya
sendiri diciptakan orang (Al-Furqan: 3). Demikian juga pengabdian kepada sesama
manusia harus dikikis, sebab tujuan pokok kedatangan Islam ialah untuk
memproklamasikan kebebasan manusia di muka bumi daripada mengabdikan diri
kepada yang lain daripada Allah. Dan menurut Islam, penghambaan yang paling
besar ialah sifat patuh dan tunduk manusia kepada undang-undang yang dibuat
oleh manusia sendiri!
Berkait rapat dengan persoalan Aqidah ini ialah ajaran Islam
tentang adanya Hari Berbangkit (Kiamat) Bagi sebahagian masyarakat Arab ketika
itu, yang ada cuma kehidupan dunia sahaja; dengan matinya manusia bermakna
tamatlah segala-galanya. Hakikat wujudnya jenis manusia seperti ini digambarkan
dalam Al-Quran: “Dan mereka berkata:
Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia sahaja. Kita mati dan kita
hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa”
(Al-Jasiyah: 24). “Mereka berkata: “Apakah
betul, apabila kami telah mati, dan kami telah menjadi tanah dan
tulang-belulang, apakah kami sungguh-sungguh akan dibangkitkan?”
(Al-Mukminun: 82). “la berkata: Siapakah yang
dapat menghidupkan tulang-belulang, yang telah hancur luluh?”
(Yaasin: 78).
Dari segi sosialnya, adalah jelas bahawa masyarakat Arab
mengamalkan sistem kelas di samping merendahkan darjat kaum wanita. Kelas
tertinggi adalah terdiri dari kalangan aristokrat Quraisy sahaja, dengan
keistimewaan dan kuasa yang tak terbatas. Sedangkan kaum hamba abdi bukan
sahaja dinafikan haknya, bahkan batang tubuhnya sendiri dapat dijual-beli
begitu saja. Tetapi berkat ajaran Islam, semua golongan proletar itu dibanteras
oleh Muhammad; kebanyakannya dengan pertolongan hartawan-hartawan Muslim.
Kepada mereka diajarkan bahawa tindakan membebaskan hamba adalah sebaik-baik
kebajikan “Dan Kami telah
menunjukkan kepadanya dua jalan. Tetapi dia tidak menempuh jalan kebajikan yang
mendaki lagi sukar. Tahukah kamu apakah jalan tersebut? laitulah: Merdekakan
hamba” (Al-Balad: 10-13). Adapun
tentang kaum wanita, darjat dan hak mereka telah diletakkan pada tempat yang
sewajarnya, baik di dunia mahupun di akhirat (Al-Mukmin:
40).
Selain dari itu, ajaran-ajaran di Makkah juga menekankan
kisah-kisah umat-umat yang lalu, khasnya kisah perjuangan Nabi-Nabi agar
menjadi tauladan bagi umat-umat selepasnya. “Sesungguhnya
pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang berakal”
(Yusuf: 111). “Maka ceritakanlah kepada
mereka kisah-kisah itu agar mereka berfikir” (Al-A’raf: 176). Betapa
pentingnya mengkaji sejarah dalam Islam terbukti jelas apabila para ulama
mengatakan bahawa 1/3 daripada kandungan Al-Quran adalah membicarakan soal-soal
sejarah. Kecuali surah Al-Baqarah, setiap surah yang menceritakan kisah
Nabi-Nabi dan umat dahulu kala adalah merupakan ayat Makkiyah. Dan kecuali
surah Al-Baqarah juga, setiap surah yang mengisahkan Nabi Adam a.s.dan Iblis
adalah juga ayat Makkiyah.
Akhirnya
sungguhpun persoalan moral bukannya perjuangan utama Rasulullah di Makkah,
tetapi tidak pula soal ini diketepikan sama sekali. Sejajar dengan sabdanya
sendiri: ‘Tidaklah aku utuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak”, maka
kegiatan dakwah Muhammad banyak sekali menekankan tentang usaha-usaha
pembentukan peribadi Muslim – membuang perangai-perangai yang tercela
(mazmumah) dan menggantikannya dengan perangai-perangai yang mulia (mahmudah).
Di antara sifat-sifat ‘mazmumah’ ialah hasad dengki (AI-Falaq) dan takabbur
(Luqman: 18) sedangkan sifat-sifat ‘mahmudah’ antara lainnya ialah bersikap
baik kepada orang tua (Al-Isra’: 23-24) dan memelihara amanat dan janji
(Al-Mukminun: 8). Usaha-usaha pembentukan peribadi dan pendidikan (ta’dib) jiwa
ini penting sekali, sebagai persediaan dalam menghadapi sebarang cabaran yang
bakal mendatang.
Demikianlah
antara lain intisari ajaran Islam di Makkah; ajaran mana yang lebih menekankan
persoalan Aqidah daripada soal-soal lain. Hanya setelah Agama Islam tersebar ke
Madinah itulah baru corak dakwah kini memberi perhatian terhadap soal-soal
pembentukan masyarakat dan Negara Islam.
2. PENENTANGAN KAUM BANGSAWAN DAN CARA NABI
MENGHADAPINYA.
Dengan
ajaran-ajaran yang sedemikian rupa, tidak hairanlah jika-lau ianya dengan cepat
menarik perhatian golongan bawahan, khasnya dari kalangan hamba abdi. Namun
tidak sedikit pula golongan atasan yang menyambut baik, seperti Abu Bakar
Al-Siddiq, Usman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf. Bagaimanapun kebanyakan
kaum bangsawan menolaknya. Bagi mereka, agama paganisme itulah Sunnah,
sedangkan ajaran Islam itu merupakan Bid’ah belaka! Kerana ianya Bid’ah
(ciptaan baru), perlulah ia ditentang agar tidak cepat merebak dan menggugat
Sunnah (tradisi nenek-moyang) mereka.
Langkah
pertama yang mereka lakukan ialah memujuk penyair-penyair mereka, seperti Abu
Sufyan bin Al-Harith, Amru ibnul-Ass dan Abdullah ibnuz-Ziba’ra supaya mengejek
dan menyerang ajaran-ajaran Islam. Tetapi serangan-serangan mereka tidak sampai
ke mana disebabkan penyair-penyair Muslimin sendiri tampil membalas serangan
mereka. Namun mereka terus melancarkan perang saraf, menabur dakyah-dakyah
jahat terhadap ajaran Islam serta peribadi Muhammad sendiri. Bagaimanapun pada
peringkat ini mereka tidak dapat berbuat apa-apa terhadap batang-tubuh Muhammad,
kerana ianya dilindungi oleh bapa saudaranya Abu Talib.
Kerana
sukar mengganggu Muhammad, serangan mereka lalu ditujukan kepada
pengikut-pengikutnya yang terdiri dari golongan-golongan hamba dan yang lemah
sahaja. Bilal bin Rabah misalnya, lantaran keIslamannya lehernya telah dijerut
oleh tuannya Umayyah bin Khallaf. Kemudiannya disuruh kanak-kanak menyeretnya
ke gurun pasir sewaktu panas terik, lalu dadanya ditindih pula dengan batu
besar. Demikian juga keluarga Yassir yang diseksa oleh kaum Quraisy, sehingga
Yassir dan isterinya Sumaiyah menemui syahid kerana itu. Termasuk juga Amir bin
Fuhairah yang diseksa oleh tuannya hingga menjadi tidak siuman, Zunaizah hamba
perempuan yang diseksa oleh tuannya Abu Jahal hingga buta matanya, dan juga
Labibah yang diseksa terus menerus oleh tuannya Umar Al-Khattab (sebelum
keislamannya). Maka buat mengatasinya ramailah hartawan-hartawan Muslim
seumpama Abu Bakar yang bertindak menebus atau memerdekakan mereka.
Tekanan-tekanan
tersebut rupanya tidaklah mendatangkan sebarang hasil, sebaliknya
penganut-penganut Islam bertambah tebal keimanannya. Sebab itu bentuk
penentangan kini bertukar corak; daripada menentang golongan hamba sahaja
kepada menentang semua pengikut-pengikut Islam. Dengan demikian ramailah bangsawan-bangsawan
yang disegani seperti Abu Bakar Al-Siddiq, Osman bin Affan, Abu Ubaidah
Al-Jarrah dan Zubair Al-Awwam tidak luput dari penyeksaan-penyeksaan mereka.
Akibat semuanya ini memaksa Nabi memikirkan suatu tempat yang lebih selamat
buat mereka, dan negeri itu tidak lain dari Habshah yang mana cukup diketahui
oleh baginda tentang kebaikan rajanya, Najasyi. Dengan itu berlakulah Hijrah
pertama dalam sejarah Islam di mana seramai 14 orang dan kemudiannya hampir 100
orang telah berangkat ke Habshah. Kerana bimbang tentang kemungkinan tersebar
luasnya Islam di sana maka orang-orang Quraisy segera mengutus Amru ibnul-Ass
dan Abdullah bin Abi Rabi’a untuk meminta agar Raja Najasyi memulangkan mereka
kembali ke Makkah, tetapi gagal setelah Najasyi mendengar hujjah-hujjah Jaafar
bin Abu Talib.
Tidak
beberapa lama di Habshah, tersebarlah khabar-khabar angin tentang adanya
kebebasan beragama di Makkah, juga adanya semacam perdamaian (Al-Gharaniq)
dengan kaum musyirikin di sana. Tetapi sebaik sahaja mereka pulang ke Makkah,
didapati permusuhan terhadap kaum Muslimin tetap seperti dulu. Dengan itu tiada
seorang pun yang dapat memasuki Makkah dengan selamat, kecuali secara
bersembunyi-sembunyi atau di bawah perlindungan seseorang penaung tertentu
(Qanun Al-Jiwar).
Setelah
semua bentuk tekanan itu tidak mampan, akhirnya barulah pemuka-pemuka Quraisy
mengalih perhatian kepada Muhammad, penganjur Islam itu sendiri. Dalam mengatur
langkahnya, mulanya mereka bertindak secara diplomasi, sama ada dengan memujuk
atau mengumpan baginda dengan berbagai bentuk rasuah, baik melalui Abu Talib
mahupun terus kepada Muhammad sendiri. Kerana gagal kesemuanya, akhirnya mereka
bertindak dengan memboikot seluruh Bani Hashim. Pemboikotan ini memaksa
Muhammad menyuruh pengikut-pengikutnya sekali lagi berhijrah ke Habshah.
Bagaimanapun
kesan yang paling hebat akibat pemboikotan itu ialah kematian bapa saudaranya
Abu Talib dan isterinya Khadijah, dua orang pembantu dan pelindungnya juga.
Dengan kematian mereka, maka terbukalah kesempatan bagi orang-orang Quraisy
untuk menghapuskan Muhammad. Sedang Muhammad sendiri sudah mulai berdakwah ke
luar kota Makkah, seperti di Taif dan kepada jemaah-jemaah Haji. Memandangkan
tekanan-tekanan terhadap Nabi dan pengikut-pengikutnya semakin hebat, akhirnya
datanglah perintah Allah agar baginda berhijrah ke Madinah.
Sebelum
persoalan ini ditamatkan, ada baiknya disebutkan bahawa selama berlangsungnya
kegiatan dakwah Islamiah di Makkah, kaum Muslimin ada kalanya mendapati
terpaksa berlindung di bawah naungan kaum musyrikin (Qanun Al-Jiwar). Bahkan
Rasulullah sendiri sejak mula sehinggalah berlakunya Hijrah adalah dilindungi
dan dibantu oleh seorang musyrik, iaitu bapa saudaranya sendiri Abu Talib. Di
sini timbullah suatu ketentuan, bahawa dalam berdakwah, kaum Muslimin
dibolehkan meminta perlindungan atau bantuan daripada orang-orang bukan Islam
demi untuk mengelakkan gangguan atau rintangan terhadap usaha-usahanya.
Bagaimanapun dalam meminta bantuan mereka, kata Dr. Abdul Karim Zaidan,
hendaknya orang tersebut sudah dikenal kejujurannya dan tidaklah mungkin mereka
itu akan berkhianat.
3. SEBAB-SEBAB PENENTANGAN
Dalam
sejarah mana-mana pun juga, biasanya mereka yang pertama-tama sekali menolak
sesuatu gerakan pembaharuan ialah golongan bangsawan (Al-Mala’). Jadi untuk
mengkaji kenapa timbul penentangan terhadap ajaran-ajaran Muhammad ini adalah
sebenarnya untuk mengkaji kenapa golongan Al-Mala’ ini menolaknya. Bukannya
tidak ada kalangan atasan yang menerimanya, seperti Abu Bakar AI-Siddiq, Usman
Affan, Zubair Al-Awwam dan lain-lainnya, tetapi jumlahnya terlalu kecil
berbanding dengan golongan kebanyakan (Jumhur) yang telah menyambut baik seruan
Muhammad itu.
1. Ketika membicarakan sebab-sebab penentangan orang-orang Arab terhadap dakwah
Islam, Syed Qutb sekali lagi menegaskan bahawa faktor AQIDAH-lah yang
menyebabkan mereka menentang begitu hebat dan memeranginya habis-habisan. Ini
kerana mereka cukup mengerti implikasinya bahawa pengakuan bertuhan itu bererti
pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah yang tertinggi. Mereka
mengerti juga bahawa mengesakan Allah melalui ikrar LA ILAHA ILLALLAH (Tiada
Tuhan melainkan Allah) itu adalah bererti mencabut semua sekali kuasa yang
dibolot oleh penguasa-penguasa, ketua-ketua suku, para paderi dan pendita, dan
menyerahkan kuasa itu kepada Allah sahaja. Mereka mengerti bahawa LA ILAHA
ILLALLAH itu adalah merupakan cetusan revolusi terhadap kuasa duniawi dan juga
suatu pukulan maut ke atas sebarang peraturan dan kekuasaan ciptaan manusia selama
ini!
Apa
yang dikatakan oleh Syed Qutb tentang faktor AQIDAH itu pada hakikatnya adalah
jua faktor politik. Penerimaan orang-orang Arab terhadap kekuasaan Allah
bermakna kepimpinan mereka akan tercabar dan tergugat. Sebab itu pengaruh Islam
harus disekat, agar pengaruh mereka masih tetap kukuh.
2. Dari segi politiknya, Islam terpaksa ditentang kerana ia dibawa oleh Muhammad
dari keturunan Abdul Manaf. Sesungguhnya kaum Quraisy tidak dapat membezakan
antara kenabian dengan kekuasaan. Bagi mereka, kemunculan Muhammad dari
keluarga Abdul Mutalib dengan sendirinya akan mencabar kedudukan suku-suku lain
yang telah sekian lama berebut pengaruh. Pernah terjadi ketika Abu Sufyan, Abu
Jahal dan Akhnas mengintip-ngintip Muhammad membaca AI-Quran, terus terang Abu
Jahal mengakui betapa selama ini mereka saling menandingi pengaruh Abdi Manaf,
tetapi bila mana kemenangan hampir terbayang, tiba-tiba di sisi Abdi Manaf
muncullah Muhammad memaklumkan kenabiannya. Tidak, kami tidak akan percaya dan
tidak akan membenarkannya, ujar Abu Jahal.
Sebagai
golongan masyarakat yang mementingkan nilai-nilai ‘Asabiyyah’ (kesukuan),
timbulnya Muhammad dari suku tertentu sudah tentu akan mencabar suku-suku lain.
Justeru kerana semangat kesukuan inilah juga munculnya Nabi-Nabi palsu, baik
ketika Muhammad masih hidup dan lebih-lebih lagi selepas wafatnya, semata-mata
buat menandingi suku Quraisy. Maka tampillah Musailamah dari Bani Hanifah,
Sajjah dan Bani Tamim dan Tulaihah dari Bani Asad. Semuanya ini kerana tebalnya
semangat sukuisme serta hasad dengki antara mereka.
Dari
segi sosialnya, Islam perlu ditentang kerana ia mengajarkan prinsip persamaan
dalam kalangan sesama manusia. Dalam Islam, tinggi-rendahnya darjat insan
diukur berdasarkan takwanya kepada Allah S.W.T. (Al-Hujurat: 13,Ali Imran: 76)
atau amal solehnya (Al-Bayyinah: 7) Prinsip seperti ini tentunya bercanggah
dengan sistem sosial mereka yang berasaskan konsep kelas dengan hak dan
kewajipan yang berbeza. Status tertinggi selamanya adalah kepunyaan golongan
bangsawan, sedangkan kelas terendah ialah golongan hamba abdi. Maka demi
mempertahankan status quonya, Muhammad harus ditentang. Alangkah kejinya ajaran
yang cuba menyamakan kedudukan mereka dengan kedudukan hamba mereka sendiri!
Pernah
sewaktu Jabalah ibnul-Aiham, raja terakhir kerajaan Ghassan yang baru memeluk
Islam sedang mengerjakan tawaf, terpijaklah tepi jubahnya oleh orang
kebanyakan. Jabalah lalu memukulnya sehingga berdarah hidungnya. Setelah
menerima aduan dari orang tersebut Khalifah Umar AI-Khattab lalu memutuskan
agar Jabalah dipukul balas. Lantaran tidak puas hati terhadap corak
penyelesaian yang ‘aneh’ itu, Jabalah kembali murtad. Ini menjelaskan suatu
hakikat betapa pengaruh kebangsawanan itu begitu tebal hingga sukar bagi mereka
untuk menerima Islam.
Apa
lagi jika difikirkan yang agama tersebut dibawa oleh seorang anak yatim piatu
yang tidak punyai kedudukan apa-apa dalam kalangan masyarakat Arab, sungguhpun
ianya keturunan Quraisy. Pernah AI-Walid bin AI-Mughirah mengatakan: “Wahyu
didatangkan kepada Muhammad, bukan kepadaku, pada hal aku kepala dan pemimpin
Quraisy. Juga tidak kepada Abu Mas’ud Amr bin Umair AI-Saqafy, pemimpjn Thaqif.
Kami adalah pembesar dua kota”‘.
Alasan
lain yang dikemukakan oleh kaum bangsawan ketika menentang Muhammad ialah
kerana ajaran Islam telah memecahbelahkan perpaduan masyarakat dan keluarga;
baik antara orang tua dengan anaknya, antara suami dengan isterinya mahupun
antara sesama saudaranya. AI-Walid bin AI-Mughirah sendiri pemah menuduh Muhammad
itu sebagai ‘Sahir-bayan’ (Juru Pesona Bahasa), kerana apa yang dikatakannya
merupakan pesona yang akan memecah-belahkan perpaduan sesebuah keluarga.
Demikian juga hasrat Umar Al-Khattab untuk membunuh Muhammad mulanya adalah
dengan harapan agar bebaslah Quraisy dan mereka kembali bersatu, setelah
mengalami perpecahan dan penghinaan terhadap berhala-berhala mereka. Bahkan
Utbah bin Rabiah secara terus terang berkata di depan Nabi: “Anakku, seperti
engkau ketahui, dari segi keturunan, engkau mempunyai tempat dalam kalangan
kami. Engkau telah membawa soal besar ke tengah-tengah masyarakatmu, sehingga
mereka cerai-berai kerananya …”
4. Penentangan orang-orang Arab juga dapat dilihat dari aspek ekonomi. Kaum
pemodal menganggap bahawa moral itu benar adanya bila mana ia dapat
melipat-gandakan hartanya, bila mana ia dapat membukakan jalan buat hawa
nafsunya. Tetapi bila mana ia menghalang hawa nafsunya, moral itu tidak lagi
benar. Islam harus ditentang kerana ia melarang riba atau segala unsur putar
belit dalam kegiatan ekonomi mereka. Tidak ada tempatnya Islam dalam masyarakat
yang bebas lepas ini.
Dari
segi lain pula, kemasukan golongan bawahan atau hamba abdi juga dapat menggugat
kedudukan ekonomi mereka. Selama mereka mengharapkan tenaga kaum bawahan untuk
kepentingan mereka sendiri, terutama dalam kegiatan perdagangan mereka. Tetapi
dengan kemasukan mereka dalam Islam, hilanglah tenaga pekerja yang selama ini
membantu mereka. Sebab itu Muhammad perlu ditentang, kerana dialah yang
menyebabkan golongan hamba melarikan diri dari mereka.
Salah
satu sumber ekonomi orang-orang Arab ialah memahat patung-patung berhala dan
menjaga Kaabah di mana patung-patung itu diletakkan. Patung-patung itu
kemudiannya akan dijual kepada jemaah-jemaah Haji yang mengunjungi Makkah.
Malangnya Islam mengajarkan konsep Tauhid yang murni dengan membanteras
sebarang bentuk penyekutuan terhadap-Nya, seperti menyembah berhala atau
mengabdi kepada sesama manusia. Ajaran seperti ini tentunya mengancam ekonomi
mereka, dan sebab itu perlulah ianya ditentang.
5. Penolakan orang-orang Arab juga disebabkan ketakutan mereka tentang adanya Hari
Kebangkitan (Kiamat) yang kelak akan menghitung sepak-terajang mereka di dunia.
Ini adalah persoalan moral masyarakat Arab, khasnya golongan bangsawan yang
sudah tenggelam dan hanyut dalam kehidupan hawa nafsu. Bagi golongan seperti
ini, ancaman (sanksi) adanya Hari Pembalasan tentunya sangat menakutkan, hingga
kerana itu mereka menolaknya.
6 .Faktor lain yang turut mendesak mereka untuk menolak dakwah Muhammad ialah
perasaan cintakan tradisi nenek-moyang. Faktor adat yang ‘tak lekang dek panas
tak lapuk dek hujan’; bahawa segala sesuatu dan orang tua-tua semuanya baik
belaka, semuanya ini menghambat mereka dari menerima Islam. Pernah ketika
Rasulullah sedang sibuk berdakwah kepada jemaah-jemaah Haji dari luar,
datanglah Abu Lahab menyahut dari belakang: “Hai manusia! Sesungguhnya lelaki
ini memerintahkan supaya kamu meninggalkan agama bapa-bapa kamu”. Sambungnya
lagi: “Hai keturunan polan! Bahawasanya lelaki ini hanya menyeru supaya kamu
meninggalkan atau membuang berhala Lata dan Uzza dari leher-leher kamu. Kamu
diajak olehnya untuk mengerjakan perbuatan Bid’ah dan kesesatan. Maka janganlah
kamu mengikuti dia dan janganlah kamu mendengarnya!”
7. Satu sebab lain kenapa mereka menolak ajaran Islam ialah Iantaran takut dijajah
oleh kuasa-kuasa besar, seperti Rom misalnya. Ajaran Islam membawa perpecahan
masyarakat dan keluarga: Dan perpecahan-perpecahan ini akan memberi kesempatan
yang baik bagi kedatangan kuasa penjajah. Memang benar bumi Hejaz yang gersang
itu tidaklah dapat menarik perhatian mereka untuk menjajahnya. Mungkin dari segi
ekonomi ianya tidak begitu penting, tetapi dari segi agama dan politik,
penaklukan Rom akan mengukuhkan imejnya sebagai suatu kuasa Kristian dan
sekaligus mencabar Parsi sebagai sebuah kerajaan Majusi. Kebimbangan terhadap
kedatangan Rom ini memangnya berasas, memandangkan bahawa Makkah telah pemah
diserang oleh Abrahah, Gabenor Habshah yang di bawah naungan kerajaan Rom.
Demikianlah
antara lain sebab-sebab penolakan masyarakat Arab, atau lebih tepat penolakan
golongan bangsawan (Al-Mala’) terhadap ajaran Islam. Ada pun golongan
kebanyakan (Jumhur) mereka dengan cepat menerimanya. Ini kerana mereka tidak
mempunyaf sifat-sifat yang ada pada golongan Al-Mala’ seperti takbur dan cinta
kepada kedudukan dan kekuasaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan