BAB 7: TERDIRINYA NEGARA ISLAM MADINAH
Sewaktu
Rasulullah tiba di Madinah dengan disambut oleh muzik dan nyanyian, di sana
terdapat golongan bangsa Arab, bangsa Yahudi serta golongan-golongan kecil lain
yang kebanyakannya masih hidup secara primitif. Bangsa Arab terdiri dari
puak-puak Aus dan Khazraj yang asalnya adalah dua beradik seibu-sebapa.
Sedangkan golongan Yahudi yang jumlahnya 4,400 orang itu berpecah kepada Bani
Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraidzah serta suku-suku kecil yang lain.
Suku-suku Yahudi ini berasal dari Palestin, setelah kerajaan mereka di sana
dihancurkan oleh Maharaja Titus dari Rom pada tahun 70 M.
Dalam
membandingkan usaha-usaha Nabi di Makkah dengan di Madinah, terdapatlah jurang
perbezaan yang nyata. Jika di Makkah yang ditekankan ialah soal AQIDAH
dan pembentukan peribadi Muslim, maka di Madinah ianya lebih tertumpu ke arah
pembentukan masyarakat atau Negara Islam. Di Madinahlah Nabi baru dapat
menerapkan Islam sebagai ‘Nizhamul-hayat’ (peraturan hidup), sebagai ‘way of
life’ yang lengkap.
1.
USAHA-USAHA AWAL
i) Pembinaan Masjid
Usaha
pertama yang didayungkan oleh Nabi dalam menyatupadukan masyarakat Islam ialah
mewujudkan tempat ibadat dan pusat dakwah. Bertempat di tanah kepunyaan Sahl
dan Suhail bin Amr, dua orang anak yatim di bawah jagaan As’ad bin Zurarah,
sebuah masjid didirikan dengan kerjasama orang-orang Muhajirin dan Ansar
termasuk Nabi sendiri. Tanah yang dibeli dengan harga 10 dinar ini memangnya
sebelum ini pun merupakan kawasan yang digunakan oleh As’ad dan
sahabat-sahabatnya sebagai tempat bersolat. Dengan bantuan Usman Affan, masjid
tersebut dapat diperluaskan oleh Nabi setelah dibayar harganya. Selesai sahaja
pembinaan tersebut lalu didirikan pula rumah-rumah kediaman Nabi.
Bentuk
asal masjid ini mudah sekali. la mempunyai sebuah ruangan terbuka yang luas,
keempat temboknya dibuat dari batu-bata dan tanah, atapnya sebahagian terdiri
dari daun kurma dan sebahagian lagi dibiarkan terbuka, dengan salah satu
bahagian lagi untuk kegunaan fakir miskin yang tidak punya tempat tinggal.
Misalnya di ‘Suffa’ (bahagian masjid yang beratap), terdapat orang-orang yang
serba kekurangan menghuninya, sehingga mereka digelar ‘Ahli Suffa’ (Penghuni Suffa)
yang belanja hidupnya bergantung kepada harta kaum Muslimin sendiri.
Dari
segi fungsinya, mulanya kaum Muslimin menjadikan masjid sebagai pusat pelbagai
guna, iaitu bukan sekadar untuk tujuan ibadat sahaja, bahkan juga untuk tujuan
keduniaan seperti urusan perniagaan atau memperdengarkan syair-syair.
Bagaimanapun kerana terjadinya hiruk-pikuk sehingga menenggelamkan suara para
Musallin (yang bersolat), maka Umar Al-Khattab lalu memisahkan tempat-tempat
yang dikhaskan untuk urusan-urusan ibadat dengan keduniaan. Walau apapun juga,
namun di masjidlah pusatnya di mana Nabi menggerakkan pentadbiran negara atau
menjalankan hukuman. Ini kerana dalam Islam tidak wujud apa yang dinamakan
‘sekularisme’, iaitu pemisahan antara urusan keagamaan dengan keduniaan seperti
ajaran Kristian.
Dengan
terdirinya pusat ibadat yang sekaligus merupakan pusat pentadbiran juga,
mulalah usaha-usaha dakwah dilipatgandakan. Tidak begitu sukar pekerjaannya
kali ini kerana masyarakat Madinah lebih mengerti dan mudah dibentuk. Hasilnya
dalam masa yang singkat sahaja Islam mempengaruhi masyarakat Madinah, hingga
pendita besar Yahudi, iaitu Abdullah bin Salam pun turut memaklumkan
keislamannya. Dengan bertambahnya umat Islam ini maka sulitlah memanggil mereka
untuk menunaikan solat. Hanya setelah azan diadakan dengan Bilal bin Rabah
sebagai muazzinnya, mudahlah bagi kaum Muslimin mendengarnya. Bagaimanapun
orang-orang Yahudi semakin menampakkan kejengkelan mereka, kerana mereka sedar
betapa dalamnya pengertian azan dalam konteks pembentukan dan perpaduan umat
Islam.
ii) Hubungan Sosial
Selaras
dengan pembinaan masjid tersebut, Rasulullah lalu menumpukan perhatiannya ke
arah mengadakan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat Muslim Madinah, iaitu
dengan cara mempersaudarakan antara sesama Ansar dan Muhajirin ataupun
sebaliknya. Dengan Baginda sendiri memulakan persaudaraannya dengan Ali bin Abu
Talib, maka Abdul Rahman bin Auf lalu dipersaudarakan dengan Saad bin Rabi’,
Zubair AI-Awwam dengan Abdullah bin Mas’ud, Jaafar bin Abu Talib dengan Muaz
bin Jabal, Abu Ubaidah Al-Jarrah dengan Saad bin Muaz, Ammar bin Yasir dengan
Huzaifah Al-Yaman, Salman AI-Farisi dengan Abid-Darda’ dan lain-lainnya.
Tujuan
asasinya ialah hendak mengeratkan hubungan antara suku Aus dengan Khazraj yang
dulunya saling bermusuhan di samping menghilangkan kesepian orang-orang
Muhajirin kerana terpaksa meninggalkan sanak saudara dan harta benda mereka di
Makkah. Kesan dari pertalian seperti ini mewujudkan perasaan kekeluargaan,
sayang-menyayangi dan hormat-menghormati sehingga ke peringkat
pesaka-mempesakai (Bagaimanapun hukum warisan ini dihapuskan oleh Rasulullah
kemudiannya). Misalnya Bilal bin Rabah yang telah dipersaudarakan dengan Abi
Ruwaihah, masih tidak dapat melupakan ‘saudaranya’ itu meskipun sudah lama
berlalu. Suatu ketika Bilal pergi berperang di Sham lalu menetap di sana.
Kemudian di masa pemerintahan Umar Al-Khattab, dan di waktu dewan-dewan
pentadbiran diatur, beliau menyoal Bilal tentang kepada siapa dewan Sham hendak
diserahkan. Bilal lalu menamakan Abi Ruwaihah kerana katanya: “Aku tidak sampai
hati meninggalkannya, kerana adanya hubungan persaudaraan yang telah diikatkan
oleh Rasulullah antara aku dengannya”. Mendengarnya Umar pun memenuhi
permintaan itu.
Demikian sekadar hubungan antara sesama Muslim. Adapun antara
Muslim dengan bukan Muslim, dasarnya telah digariskan oleh Al-Quran: “Allah tidak menegah kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil
terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu dari mereka, sesungguhnya Allah
mencintai orang-orang yang jujur“(Al-Mumtahinah: 8). Atas
dasar inilah umat Islam dihalalkan mengahwini wanita Kitabi (Al-Maidah: 5). Di
samping memerintahkan si anak mempergauli ayahnya dengan baik meskipun dia
seorang musyrik (Luqman: 15), ditegah pula agar tidak berdebat dengan ahli-ahli
Kitabi kecuali dengan cara yang baik (Al-Ankabut: 46).
Diriwayatkan
bahawa Muhammad sering menghadiri majlis perkahwinan mereka, mengusung jenazah
mereka, melawat pesakit-pesakit mereka malah meraikan mereka. Sewaktu rombongan
kaum Nasrani Najran menziarahinya, Baginda membentangkan tudungnya agar mereka
duduk. Suatu tauladan yang indah bagaimana Baginda memperlakukan orang-orang
bukan Islam dengan budi-bicara yang halus ialah ketika seorang Yahudi, Zaid bin
Safanah mempiutangi Baginda. Dan apabila Baginda terlewat membayarnya kerana
kesempitan, datanglah Zaid seraya memegang leher baju Muhammad sambil
menempelaknya kerana kelambatan tersebut. Melihat kebiadabannya Umar lalu
menghunuskan pedangnya hendak membunuh Zaid, tetapi ditegah oleh Nabi sambil
berkata: ‘Tidakkah lebih baik kiranya engkau menasihatiku agar membayar dengan
sebaik-baiknya, dan menasihatinya agar dia pun menagih hutangnya dengan baik?”
Lantaran begitu kagum terhadap kelunakan Muhammad itu, maka di saat itu juga
Zaid memaklumkan hasratnya memeluk Islam.
iii)
Pemulihan Ekonomi
Akibat langsung daripada penyatuan masyarakat Islam tersebut
ialah wujudnya semangat saling membantu sehingga meliputi segenap bidang
”Sesungguhnya orang-orang
yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan
Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan kepada
orang-orang Muhajirin, mereka itu satu sama lain lindung-melindungi”
(Al-Anfal: 72).
Wujudnya
kerjasama yang tidak terbatas antara kaum Ansar dengan Muhajirin membuatkan
orang-orang Muhajirin sampai tidak tergamak untuk menerimanya. Kepada mereka
diberikan tanah dan tempat kediaman oleh Ansar, tetapi ditolak dengan baik oleh
Muhajirin kerana mereka enggan kehidupan mereka menjadi beban kepada orang
lain. Sampai begitu eratnya persaudaraan Abdul Rahman bin Auf dengan Saad bin
Rabi’ hingga kepada Abdul Rahman ditawarkannya separuh daripada kebunnya,
rumahnya, ternakannya dan malah salah seorang daripada isteri-isterinya pun
sanggup diberikannya juga! Tetapi niat sebaik ini ditolaknya dengan ikhlas
sambil meminta ditunjukkan kepadanya di mana letaknya pasar untuknya memulakan
perniagaan.
Dan di
sanalah ia berdagang mentega dan lembu keju, sehingga dalam masa yang singkat
ia dapat mencapai kekayaan kembali. Selain Abdul Rahman, ramai lagi kalangan
Muhajirin berbuat demikian. Ini tidaklah menghairankan kerana orang-orang
Makkah memang dulunya cekap dalam perniagaan, hingga pernah dikatakan: Dengan
perdagangannya itu ia dapat mengubah pasir Sahara menjadi emas!
Di
antara usaha-usaha pemulihan ekonomi yang dilakukan oleh Nabi ialah mendirikan
pekan orang-orang Islam berhampiran dengan pasar Yahudi Bani Qainuqa. Akibatnya
pasar Yahudi itu terancam hingga menimbulkan kemarahan besar kepada mereka. Apa
lagi Nabi sendiri sangat mengambil berat tentang keadaan tersebut agar semuanya
berjalan lancar, serta mengawasinya agar tidak terdapat sebarang penipuan.
Selain
berniaga, orang Muhajirin juga bertani, mengurus dan menyelenggarakan kebun
tamar orang Ansar. Misalnya Asma binti Abu Bakar serta suaminya Zubair AI-Awwam
mempunyai sebidang tanah kebun baru dan seekor unta dan keldai. Setiap hari
Asma sendiri mengurus binatang-binatangnya di samping mengairi kebunnya. Dan di
rumah pula dia bekerja membancuh tepung untuk dijadikan roti. Selain Zubair,
keluarga-keluarga Abu Bakar, Umar, Ali dan lain-lainnya turut terjun ke dalam
pertanian. Bagaimanapun memang ada yang serba kekurangan, seperti golongan’Ahli
Suffah’ tersebut.
iv) Perjanjian Politik
Penduduk
Madinah merupakan suatu kelompok masyarakat majmuk (plural society) dengan
nilai-nilai sendiri dan terpisah. Dan memangnya menjadi bawaan masyarakat
seperti ini untuk bertelagah dan bermusuh-musuhan, seperti yang pernah berlaku
dalam Perang Buath antara golongan Aus dengan Khazraj dan lebih-lebih lagi
antara bangsa Arab dengan Yahudi. Maka demi mewujudkan persefahaman dalam
kalangan anggota masyarakat yang hampir mustahil dapat bersatu-padu itu, Nabi
lalu mengadakan perjanjian dengan orang-orang bukan Islam.
Butir-butir
perjanjian yang dinamakan ‘Sahifah Madinah ini secara kasarnya adalah seperti
berikut:
1. Kaum Yahudi hidup berdamai bersama-sama dengan kaum Muslimin; kedua belah
pihak bebas memeluk dan mengamalkan agama masing-masing.
2. Kaum Muslimin dan Yahudi wajib bertolong-tolongan untuk melawan siapa saja yang
memerangi mereka. Mereka dengan bahu membahu harus menangkis setiap serangan
terhadap kota Madinah.
3. Perdamaian dengan golongan ketiga hendaklah dengan persetujuan pihak lain.
4. Sesiapa sahaja yang tinggal di dalam atau di luar kota Madinah wajib
diperlindungi keamanan dirinya, kecuali orang yang zalim dan bersalah, kerana
Allah menjadi pelindung orang-orang yang baik dan berbakti.
5. Sekiranya timbul perselisihan antara kaum Yahudi dengan Muslimin,jika
dikhuatiri dapat menimbulkan akibat-akibat yang tidak diingini, maka urusan itu
hendaklah dirujuk kepada Allah dan Rasul. Rasulullah adalah Pemimpin Umum bagi
penduduk Madinah.
Demikian
antara lain ciri-ciri utama dokumen politik tersebut. Dari segi kepentingan
sejarah, Perjanjian Madinah ini merupakan perlembagaan tertulis yang pertama
sekali dalam dunia. Seperti kata Prof. Muhammad Hamidullah: ‘The first written
constitution of a state ever promulgated by a sovereign on human history”.
Suatu
hal yang agak menakjubkan ialah bagaimana golongan Yahudi sanggup mengakui
kepimpinan Rasulullah tersebut. Sebenamya dengan mengkaji watak Yahudi
tersebut, kesanggupan dan persetujuan mereka itu tidak lain merupakan
manifestasi sikap opportunistik mereka. Ini samalah seperti amalan Komunis
(pengasasnya Marx adalah seorang Yahudi juga) seperti yang ditegaskan oleh
Stalin: “Dalam segala waktu kita bersedia membuat perjanjian dengan musuh kita
asalkan perjanjian itu kemudian menjadi alat bagi kita membinasakan musuh itu!”
Itu
dari suatu segi. Dari segi lain pula, Dr. Israel Wilfinson menganggap bahawa
penerimaan mereka tersebut adalah kerana takut kepada ancaman Rom (Byzantine)
yang melalui kerajaan Ghassan dulu telah pernah mengazab-sengsarakan
orang-orang Yahudi. Khabarnya orang-orang Arab telah melaporkan kesulitan hidup
mereka di Madinah kerana tanah-tanah yang subur sudah dalam genggaman Yahudi,
hingga mereka terpaksa memburuh sahaja kepada Yahudi. Maka dengan pertolongan
dan tipu muslihat Abu Jubailah sebagai Ketua Tentera Ghassan, hampir kesemua
ketua-ketua Yahudi yang terkemuka di Madinah dibunuhnya. Dengan inilah baru
orang-orang Arab dapat bernafas semula serta menyaingi Yahudi. Jadi oleh kerana
tragedi inilah orang-orang Yahudi macam terpaksa menyetujui kepimpinan
Muhammad, demi survival mereka juga.
2. PROSES PEMBENTUKAN NEGARA ISLAM
Ada dua
aspek yang ingin diberi perhatian di sini. Pertama, mengenai pembentukan Negara
Islam Madinah itu sendiri yang dilakukan menurut lunas-lunas demokrasi. Sebelum
berlakunya Hijrah, Rasulullah telah mengadakan ikatan setia dengan orang-orang
Arab Madinah dalam tiga peringkat, iaitu pada tahun-tahun ke-11, 12 dan 13 sesudah
Nabi diutus. Perjanjian ini diadakan di Aqabah, hingga lebih terkenal sebagai
Bai’atul-Aqabah. Pada hakikatnya perjanjian-perjanjian ini adalah semacam
kontrak yang jelas untuk mendirikan sebuah negara Islam yang pertama sekali.
Kontrak ini memberi mandat (kekuasaan) kepada Baginda dan menyatakan penyataan
ketaatan yang menyeluruh terhadap kepimpinannya.
Mandat
tersebut kemudiannya diperkukuhkan lagi selepas Nabi menetap di Madinah, iaitu
dengan mengadakan perjanjian bertulis dengan golongan bukan Islam. Di antara
isi kandungan’Sahifah Madinah’ tersebut, yang terpenting sekali dalam konteks
ini ialah pengakuan atau pengiktirafan penduduk-penduduk Madinah, termasuk
golongan bukan Islam, terhadap Muhammad sebagai Pemimpin Tertinggi mereka.
Demikianlah
proses terbentuknya Negara Islam yang pertama dalam sejarah seperti yang
dibicarakan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan. Dengan ini terbuktilah sahnya
kepimpinan Rasulullah di Madinah, dan kelirunya dakwaan kalangan Orientalis
bahawa Muhammad adalah seorang ‘perampas kuasa’ dari tangan calon sebenar,
iaitu Abdullah bin Ubayy.
Ada pun
tentang aspek kedua, adalah jelas bahawa pembentukan Negara Islam itu dibuat di
sebuah negeri yang terdiri dari masyarakat berbilang bangsa dan agama.
Sungguhpun begitu, kepelbagaian seperti ini tidak menghalang Baginda untuk
mewujudkan sebuah Negara Islam di mana hukum-hakam Islam berdaulat di dalamnya.
Jadi wujudnya sebuah masyarakat majmuk tidaklah menjadi halangan bagi Baginda
atau sesiapa sahaja untuk melaksanakan Syariat Islam, oleh kerana terutusnya
Muhammad adalah untuk membawa “rahmat bagi sekalian alam”, bukannya untuk
golongan tertentu (Islam) sahaja.
3. PENTADBIRAN NEGARA ISLAM MADINAH
Dalam
Islam, tidak ada apa yang dinamakan dasar ‘Sekularisme’, iaitu dasar pemisahan
antara agama dengan politik. Di zaman generasi pertama Islam, pentadbiran
negara berpusat di masjid. Antara urusan masjid dengan urusan kenegaraan,
kedua-duanya seiring sejalan. Sesungguhnya Sekularisme bukannya berasal dari
tradisi Islam, tetapi dari tradisi Kristian Barat yang menuntut:
Render
unto Caesar the things which are Caesar
and
unto God the things which are God’s.
Berikutnya
ialah ‘Kabinet Rasulullah’ yang menjalankan pentadbiran Negara Islam Madinah:
Ketua
Negara: Muhammad Rasulullah
Menteri-Menteri:
Abu Bakar Al-Siddiq
Umar
AI-Khattab
Hakim
Mahkamah: Abdullah bin Naufal dll
Majlis
Perwakilan: Hamzah bin Abdul Mutalib, Jaafar bin Abu Talib, Abu Bakar AlSiddiq,
Umar AI-Khattab, Usman Affan, Ali bin Abu Talib, Abdullah bin Mas’ud, Huzaifah
Al-Yaman, Abu Zar Al-Ghifary, Miqdad Al-Aswad, Bilal bin Rabah, Aishah binti
Abu Bakar.
Mengenai
urusan-urusan eksekutif, ianya dijalan seperti berikut:
Bendahari
Negara: Abu Ubaidah AI-Jarrah
Jurubahasa:
Zaid bin Thabit
Setiausaha
Negara: Harith bin Auf Al-Mad, Hanzhah bin Rabi’(wakil)
Setiausaha-Setiausaha:
1. Dalam Negeri: Abu Dajnah AI-Saadi, Siba’ bin Urfazhah
2. Luar Negeri: Ali bin Abu Talib (hubungan persahabatan), Abdullah bin Arqam
(hubungan luar negeri), Shurahbil bin Hasanah (surat-surat perwakilan)
3.Pertahanan: Abdullah bin Jahsy, Ubaidah bin Harith dll
4.Ekonomi: Huzaifah Al-Yaman (pertanian),
AI-Mughirah bin Abu Shu’bah (perdagangan) dan transaksi), Husain bin Numair
(sama), ‘Ha bin Utbah (pendaftaran perusahaan penduduk), Abdullah bin Arqam
(sama)
5. Kewangan dan Sosial: Zubair Al-Awwam (zakat), Jahm bin Al-Syalt (sama), Mu’igib
bin Fatimah (penghasilan lain), Kaab bin Umar Al-Ansari (pengeluaran negara)
6. Pendidikan: Hakam bin Saad (guru di Madinah), Syifa’ dan Ummu Sulaiman (guru
wanita), Ubadah bin Syamit (guru agama)
7. Kesihatan: Harith bin Kindah, Rufidah Al-Islami (Palang
Merah)
8. Penerangan: Hassan bin Thabit (penyair),Abdullah bin Ruwahah (sama), Kaab bin
Malik (sama), Thabit bin Qais (juru penerang), Muaz bin Jabal (hukum
halal-Karam), Abdullah bin Abbas (pentafsir Al-Quran), Zaid bin Thabit (hukum
waris), Abdullah bin Mas’ud (penghimpunan AI-Qur-an), Ubayy bin Kaab (sama)
9. Keamanan dan Pengawasan: Qais bin Saad bin Ubadah (pengawasan), Umar Al-Khattab
(pengawasan susila)
10.
Parkhidmatan Awam: Usman bin Affan
Pencatat
Al-Quren: 42 orang
Protokol:
10 orang
Penolong
Peribadi: Huzaifah Al-Yaman
Gabenor-Gabenor
Wilayah:
1. Utab bin Usaid (Makkah)
2. Bazan bin Sasan (Yaman)
3. Khalid bin Said AI-Ass (Najran)
4. Zaid bin Lubaid (Hadhramaut)
5. Abu Musa Al-Shaari (Maghribi dan Aden)
6. Muaz bin Jabal (Yaman)
7. Ya’la bin Ugiayyah (AlJundi)
8. Umar bin Shihar Al-Hamdani (Hamdan)
9. Amru bin Hazmin (Hajran)
10. Zahir bin Abi Halah (Ma dan Asy’arin)
11. Abu Sufyan bin Harb (Najran)
12. Akashah bin Thur (Sakasik dan Sakun)
13.‘Illa bin Hadhrami (Bahrin)
14.Yazid bin Abu Sufyan (Tihamah)
15.Amru ibnul-Ass (Oman)
16.Wail bin Hajr AI-Hamdani (Hadhramaut)
17. Abu Bakar AI-Siddiq (memimpin ibadat Haji pada 9 H. yang bertaraf Gabenor)
Duta-duta
dan Wakil Isitmewa: 23 orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan