BAB 12: UMAR AL-KHATTAB (634-644 M)
1. DASAR PENTADBIRAN
Ketika
Umar menyoal sahabat-sahabatnya tentang sama ada dia telah menunaikan tugasnya
dengan melantik mereka yang terbaik sahaja serta menasihatkan mereka agar
berlaku adil dan bijaksana, mereka mengiakan. Sebaliknya Umar membantah dengan
mengatakan: “Belum, aku belum menunaikan kewajipanku selagi aku belum memeriksa
apakah mereka ada menjalankan apa yang aku nasihatkan atau tidak”. Jadi bagi
Umar, dengan melantik orang yang terbaik sahaja tidak memadai jika mereka tidak
menunaikan tanggungjawab. Sebab itu telah menjadi kebiasaan baginya untuk
meronda tengah malam dalam usahanya untuk mengetahui denyut nadi rakyatnya.
Maka bertemulah dia dengan mereka yang daif dan yang memerlukan bantuan. Dan
dengan tangannya sendirilah dia berusaha menolongnya tanpa sedikit pun
diketahui oleh mereka bahawa dialah Khalifah Umar Al-Khattab!
Sungguh
besar perhatiannya terhadap kebajikan rakyat sehingga di zamannyalah bermulanya
sistem pentadbiran yang serba teratur. Dengan berdasarkan kepada prinsip
‘syura’, Umar telah membentuk Majlis Tertinggi dan Majlis Umum. Majlis
Tertinggi adalah semacam jawatankuasa kabinet yang terdiri dari tokoh-tokoh
besar seperti Usman Affan, Ali bin Abu Talib, Zaid bin Thabit, Abdul Rahman bin
Auf, Saad bin Abi Waqas dan Muaz bin Jabal. Sedangkan Majlis Umum pula sifatnya
terbuka untuk rakyat dengan masjid sebagai tempat pertemuannya.
Untuk
melicinkan pentadbiran wilayah, Umar telah melaksanakan dasar disentralisasi
dengan membahagikan kepada lapan wilayah, iaitu Makkah, Madinah, Sham, Basrah,
Syria, Kufah dan sebagainya yang masing-masirgnya mempunyai seorang Gabenor,
seperti Amru ibnul-Ass, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abu Musa Al-Shaari,
Al-Mughjrah bin Abu Shu’bah, Abu Aidah Al-Jarrah dan lain-lainnya. Pada
tiap-tiap wilayah itu dilantik pegawai-pegawai untuk mengetuai jabatan-jabatan
tentera dan polis, cukai, kadi dan sebagainya. Walau bagaimanapun sebelum
gabenor-gabenor tersebut dilantik, mereka haruslah mengisytiharkan harta benda
masing-masing demi mengelakkan amalan rasuah. Mereka juga disyaratkan supaya
tidak menunggang kuda Turki atau memakai pakaian yang mahal. Dan pada tiap-tiap
musim Haji dikehendaki berada di Makkah untuk mendengar pengaduan rakyat.
Suatu
langkah Umar yang nampaknya telah mendahului sejarah ialah apabila beliau
menjalankan sistem pentadbiran yang dalam istilah perundangan moden dipanggil
prinsip ‘perasingan kuasa’ (separation of power). Meskipun caranya agak berbeza
dengan fahaman dan amalan masa kini, tetapi Umar telah berjaya melaksanakannya
apabila para kadi diberi kebebasan untuk menjalan tugas-tugasnya, tanpa
takutkan kuasa-kuasa politik. Pernah terjadi seorang Muslim meminta fatwa dari
Hakim Ali bin Abu Talib, sedangkan Umar tidak sependapat dengan keputusan Ali
tersebut. Namun Umar tidaklah bertindak agar keputusannyalah yang dipakai, apa
lagi untuk memecat Hakim yang bertentangan pendapat dengannya.
Dari
segi ekonomi, Umar telah menubuhkan Baitul-Mal. (perbendaharaan). Sumber utama
kewangan negara tentunya dari kutipan zakat atau ‘Usyur (zakat tanaman), iaitu
1/10 jika menggunakan air hujan atau 1/20 jika menggunakan tenaga. Terhadap
orang-orang bukan Islam pula, mereka dikenakan cukai Kharaj (cukai tanah) serta
cukai Jizyah, iaitu cukai kepala kerana tinggal di dalam negara Islan. Selain
dari itu, Baitul-Mal juga memperolehi hartanya dari al-Fai’, iaitu harta-harta
rampasan musuh tanpa melalui peperangan, dan juga Ghanimah, iaitu harta-harta
rampasan perang.
Dengan
adanya sumber-sumber kewangan seperti ini, dapatlah Umar melaksanakan
program-program sosialnya, seperti memberi elaun-elaun khas kepada rakyat. Dan
dalam hal Ini, Umar mengutamakan keluarga Nabi (Ahlul-bait), seperti
isteri-isteri Nabi serta anak-anak cucunya dan lain-lain. Kepada mereka
diberikan 12,000 dirham setahun, sedangkan kepada kaum Muhajirin dan Ansar di
antara 4,000-5,000 dirham setahun, golongan tentera biasanya 500-6000 dirham
dan golongan kanak-kanak serta perempuan mendapat 200-400 dirham setahun. Dan
kepada mereka yang tidak berdaya diberi imbuhan khas dan perlindungan, meskipun
mereka adalah orang Yahudi! Dengan wujudnya sistem pembahagian sara hidup
tersebut, Umar seolah-olah telah berjaya mengasaskan sebuah negara kebajikan
(welfare state) seperti yang pernah diamalkan oleh setengah negara Barat
masakini.
Dalam
bidang pentadbiran tanah pula, Umar telah dapat menghapuskan pemerasan
tuan-tuan tanah (landlords) terhadap kaum petani. Umar juga menggalakkan
pembukaan tanah-tanah baru dengan memberikan hak milik kepada pengusahanya.
Tentang
soal ketenteraan; Umar telah membahagikan tentera Islam kepada dua bahagian;
mereka yang bertugas sepenuh masa (standing army) dan orang-orang awam yang
dapat dikerahkan pada masa-masa tertentu (volunteer). Sebagai tentera sepenuh
masa, mereka mendapat gaji tetap serta kemudahan-kemudahan sampingan lain, tetapi
mereka tidak diberikan habuan tanah demi untuk mengelakkan mereka menetap di
sesuatu tempat. Hanya tentera ‘volunteer’ sahaja mendapat habuan tanah
tersebut.
Dari
segi pendidikan, pusat-pusat pengajian Islam telah didirikan di kota-kota
Basrah, Kufah, Fustat dan sebagainya. Guru-guru agama telah dihantar ke
pusat-pusat ini, sedangkan imam-imam diadakan di masjid-masjid. Dan buat
pertama kalinya Umar mengadakan kalendar (taqwim) Islam sendiri yang bermula
dari peristiwa Hijrah Nabi ke Madinah.
Dengan
adanya perubahan-perubahan pertadbiran seperti ini, serta sumbangan-sumbangan
lain yang tidak disebutkan, maka tidak hairanlah jika Umar AI-Khattab digelar
‘Amirul-Mukminin; atau Raja orang-orang yang beriman. Bahkan di kalangan
rakyat, istilah ‘Keadilan’ itu sinonim dengan nama Umar sendiri.
2. GERAKAN-GERAKAN MILITER
Gerakan-gerakan
militer di zaman Umar tertumpu kepada jajahan-jajahan Rom serta wilayah Parsi
sendiri, sebagai penerusan daripada gerakan-gerakan di zaman Abu Bakar dulu.
Mengenai jajahan Rom, telah pun disentuh bahawa Khalid Al-Walid telah dipecat
oleh Umar sebagai Pemimpin Umumnya sebaik sahaja beliau menjadi Khalifah.
Sebab-sebab pemecatannya hingga diganti oleh Abu Ubaidah Al-Jarrah agak kabur.
Ada pendapat mengatakan bahawa Khalid ikut menyokong Ali bin Abu Talib sebagai
khalifah, dan ada pula yang menganggap bahawa Umar takut keperwiraan Khalid
menyebabkan ramai yang akan menjadi mangsanya, atau mengkaguminya secara
berlebih-lebihan. Pendapat mengatakan bahawa kecekapan Khalid hanyalah di bidang
militer sahaja, sedangkan Abu Ubaidah mempunyai kelebihan di bidang diplomasi.
Walau bagaimanapun pemecatannya tidaklah menggugat perasaannya, lagipun sebelum
kedatangannya dulu Abu Ubaidahlah yang merupakan Pemimpin Umumnya.
Kekalahan
di Damsyik menyebabkan Heraclius mengumpul semula kekuatannya sehingga dapat
membentuk suatu ketumbukan berjumlah kira-kira 1.5 juta orang. Pimpinannya
diserahkan kepada Jabalah ibnul-Aiham, raja terakhir kerajaan Ghassan dengan
bantuan Mahan dari Armenia. Tentera Islam yang berjumlah 24,000 orang dipimpin
oleh Abu Ubaidah sendiri. Maka berlakulah Peperangan Yarmuk pada 636 M, dan
ianya begitu sengit sehingga Heraclius terpaksa sekali lagi berangkat dari
Antioch menuju Constantinople (ibu kota Byzantine) pula setelah tenteranya
dipukul. Kemudiannya tentera Islam terpecah dua, sebahagian menuju ke utara di
bawah pimpinan Abu Ubaidah dan Khalid, dan bahagian lain menuju ke selatan
dengan ketuanya Shurahbil dan Amru ibnul-Ass. Adapun Yazid bin Abu Sufyan
sendiri harus menjaga Damsyik.
Dalam
perjalanannya itu Abu Ubaidah dan Khalid telah menakluki Hems, Hama, Qinnisria,
Laziqiyah dan Aleppo. Amru dan Shurahbil pula berjaya merebut Acre, Haifa,
Jaffa, Ghazzah dan lain-lainnya, kecuali Baitul Maqdis sahaja yang belum
menyerah. Tetapi ini pun tidak lama sebab penduduk-penduduknya sendiri ingin
berdamai dengan syarat khalifah sendiri datang ke Jerusalem buat mengadakan
perundingan. Demikianlah yang berlaku apabila Jerusalem menyerah kepada Umar
pada 15 H. Kemudian Amru berangkat ke Qisariyah lalu mara pula ke Mesir dengan
keizinan Umar. Dengan melalui Padang Pasir Sinai, Amru sampai ke Arisy dan
seterusnya ke Farma. Sebulan lamanya kaum Muslimin mengepung Farma, akhirnya
jatuh juga dengan sokongan penduduk-penduduk Mesir sendiri.
Dari
Farma Amru mara ke Bulbais dengan menghadapi tentera Rom pimpinan Artibun yang
sebelumnya melarikan diri dari Baitul Maqdis. Di sini juga tentera Islam
memenanginya, tetapi dalam pertempuran di Ummu Dunain kemudiannya tentera Islam
mengalami kesukaran. Oleh Amru diminta bantuan pusat, maka tibalah 4000 tentera
tersebut yang dipimpin oleh Zubair Al-Awwam, Miqdad Al-Aswad, Muslimah bin
Mukhlid dan Ubaidah Al-Samit. Maka bertemulah mereka dengan tentera Rom
pimpinan Theodore yang berjumlah 20,000 di Ainus-Sham. Dengan kebijaksanaan
Amru tercapailah kemenangan, tetapi sebahagian tentera Rom dapat melarikan diri
ke benteng Babylon. Selama 7 bulan kaum Muslimin mengepungnya, akhirnya baru
diberi tiga pilihan kepada Muqauqis (Gabenor Rom di Mesir) sama ada mahu masuk
Islam, membayar jizyah atau berperang. Melihat kekuatan tentera Islam yang
cukup berdisiplin itu Muqauqis memilih perdamaian saja dengan membayar pajak.
Meskipun tindakannya ini dibantah keras oleh Heraclius, tetapi Muqauqis tidak
mempedulikannya.
Buat
mengakhiri sin serangan terhadap Rom, kaum Muslimin terus mara ke Iskandariyah,
ibu kota Mesir. Disebabkan benteng pertahanannya agak kuat, sukarlah kaum
Muslimin menyerangnya. Maka timbullah semacam kelemahan semangat untuk
meneruskan pertempuran. Hanya setelah tibanya surat dari Umar yang membidas
sikap tersebut itulah baru mereka bertekad untuk berjuang habis-habisan
sehingga sanggup memanjati benteng tersebut. Ini menyebabkan tentera Rom
melarikan diri ke kapal mereka yang berlabuh di laut. Akhirnya dengan
penerimaan syarat-syarat perdamaian oleh Muqauqis itu maka jatuhlah seluruh
Mesir ke bawah kekuasaan Islam setelah sekian lama dijajah oleh kerajaan Rom.
Mengenai
Parsi pula, sebaik sahaja Umar menggantikan Abu Bakar, segera dikirimkannya
bantuan tentera pimpinan bersama Abu Ubaid Al-Saqafy dan Sulait Al-Ansary
kepada Al-Muthana yang baru mengambil alih pimpinan Khalid Al-Walid dulu. Maka
berlakulah Peperangan Jambatan sebanyak dua kali berhampiran dengan AI-Hirah
pada 13 H. Tentera Parsi yang dipimpin oleh Rustum telah mencapai kemenangan
sehingga Abu Ubaid dan Sulait sendiri terbunuh. Ini menyebabkan Umar membekukan
gerakan ketenteraan selama setahun sambil melengkapi persiapannya. Untuk
menebus kekalahan tersebut, pada 15 H. Umar lalu menghantar satu pasukan
tentera pimpinan bersama Al-Muthana dan Jarir bin Abdullah yang hasilnya
berjaya memukul tentera Parsi pimpinan Mahran.
Kemenangan
ini mendorong Umar melantik Saad bin Abi Waqqas mengetuai angkatan tentera
seramai 10,000 untuk menghadapi tentera Parsi yang berjumlah 120,000 pimpinan
Rustum. Turut membantu Saad ialah AI-Mugirah bin Abi Shu’bah, Dais bin Hubairah
dan dan Tulaihah bin Khuailid, salah seorang nabi palsu dulu. Ketika bertemu,
kedua belah pihak cuba mencari penyelesaian agar peperangan dapat dihindari.
Malangnya satu rombongan diplomatik untuk mengadap Maharaja Parsi di Madain
telah dibunuh oleh Rustum, kecuali ketua rombongan Nukman bin AI-Mughirah.
Akibatnya tercetuslah Pertempuran AI-Qadisiyah yang hebat selama tiga hari yang
menyebabkan kekalahan teruk di pihak Parsi, sementara tentera Islam telah
memperoleh banyak harta rampasan. Malah Rustum sendiri telah dibunuh oleh Hilal
bin AI-Qamah.
Dengan
kemenangan ini memaksa mereka untuk mencapai kemenangan muktamad. Ketika
tentera Islam berjaya merebut Bahrain yang terletak di bahagian bandar Madain;
ibu kota Parsi, tentera Parsi terus menyeberangi Sungai Dajlah lalu
membinasakan jambatannya. Begitupun tentera-tentera Islam dapat juga
menyeberanginya dengan kuda sehingga gugup tentera Parsi dibuatnya. Akhirnya
Madain dapat ditawan, tetapi Maharaja Yazdajird bin Shahriar telah berangkat ke
Helwan dengan memindahkan segala alat-alat kebesarannya di situ.
Di
Helwan Yazdajird lalu menyusun kembali angkatannya di samping meminta bantuan
di sana-sini. Dengan terkumpulnya bala tentera tersebut di suatu tempat bersama
Jalaula, mereka menggali parit di sekelilingnya. Tetapi tentera Islam berjaya
juga merempuhnya sehingga dapat memenanginya. Ini menyebabkan Yazdajird sekali
lagi berangkat dari Helwan menuju Nihawand. Di sini dia sempat mengumpul
kembali tenteranya seramai 100,000 orang pimpinan Firzan. Dan agar mereka tidak
melarikan diri, tenteranya telah dirantaikan sesamanya. Pimpinan tentera Islam
dipegang oleh Nukman Al-Muqarrin setelah Saad bin Abi Waqas dipecat kerana
setengah tindakannya di Kufah tidak direstui oleh Umar. Dalam Pertempuran
Nihawand pada 19 H. ini kaum Muslimin mencapai kemenangan gemilang. Dan buat
menamatkan siri ini tentera Islam terus menakluki Ahwaz, Kashan, Qam dan Azerbaijan.
Ada pun Yazdajird sendiri tidaklah berdaya lagi untuk melawan, dan pada 31 H.
dia dibunuh di Khurasan. Sejak ini jadilah wilayah Parsi di bawah perintah
Islam.
Demikianlah
di zaman Umar Al-Khattab jatuhnya Empayar Parsi serta jajahan-jajahan Rom ke
tangan Islam. Kejatuhan Rom dan Parsi sesungguhnya amat memalukan, kerana
selama berabad-abad kedua-duanya sangat terkenal sebagai kuasa-kuasa besar yang
sangat menggerunkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan