BAB 9: PERIBADI RASULULLAH DALAM SOROTAN
Jika ada seorang manusia yang layak dijadikan ‘model’ manusia
unggul, maka dia ialah Muhammad. Keunggulannya telah diakui sendiri oleh Allah
s.w.t. “Sesungguhnya engkau
(Muhammad) benar-benar mempunyai budi pekerti yang agung”
(Al-Qalam: 4). Keagungan peribadinya bukan hanya untuk dikagumi bahkan
sebenarnya untuk menjadi contoh ikutan bagi kita. “Sesungguhnya Rasulullah itu menjadi contoh tauladan yang baik
bagimu” (Al-Ahzaab: 21, Al-A raat 158, Ali lmran: 30). Dan Muhammad
sendiri mengatakan bahawa’Tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan
akhlak” (HR Ahmad).
Sebagai
manusia contoh, perlulah peribadi dan laku perbuatannya disorot sekadar perlu.
Pertamanya, beliau dikatakan memiliki personaliti ‘hebat’, iaitu semacam sifat
yang menyebabkan seseorang itu ditakuti tetapi juga dihormati. Lantaran
hebatnya, orang tidak berani mengangkat mukanya sewaktu beliau bercakap. Dan
kalau mereka ingin ketawa, cuma setakat senyum sahaja. Peribadinya
menggerunkan, sehingga seseorang yang tadinya berazam untuk menyakitinya akan
menggeletar apabila berdepan dengannya. Pernah terjadi ketika Abu Sufyan
menawarkan sesiapa yang berani pergi ke Madinah untuk membunuh Nabi, tampillah
Usaid bin Hudhair menyahut cabarannya. Tetapi apabila sampai di Madinah dan
menemui Nabi, tergamamlah Usaid lalu berkata: “Demi Allah! Ya Muhammad. Tidak
aku takut kepada manusia, tetapi ketika aku melihatmu, hilanglah akalku dan
lemahlah badanku. Selain itu, engkau tahu pula maksudku yang mana sesiapa pun
tidak mengetahuinya. Maka ketahuilah aku bahawa engkau orang yang dipelihara
oleh Tuhan, dan engkau dalam kebenaran”. Sesudah ifu Usaid pun memeluk Islam.
Demikian
juga ketika Al-Arasyi datang menuntut hutangnya dari Abu Jahal yang sengaja
melambat-lambatkannya, orang-orang Quraisy sambil mempermain-mainkannya
menasihatkan agar Al-Arasyi menemui Muhammad yang katanya boleh mendapatkan
wangnya dari Abu Jahal. Kerana mempercayainya, dia terus menemui Muhammad, dan
kemudiannya mereka terus ke rumah Abu Jahal. Sebaik sahaja Abu Jahal membuka
pintunya dan melihat Muhammad tercegat di depannya, berubahlah mukanya lalu
terus masuk ke dalam mengambil wangnya dan memberinya kepada AI-Arasyi,
semata-mata kerana takutkan Muhammad!
Sungguhpun
personalitinya hebat dan menggerunkan, tetapi beliau banyak pula tertawanya.
Cuma tertawanya hanyalah pada tempatnya, dan ianya setakat senyuman sahaja. Dan
bila beliau tertawa, kata Abu Hurairah, kelihatan seolah-olah dinding pun turut
bergemilang. Baginda pun pemah bergurau, tetapi tidaklah sampai berdusta atau
melewati batas kesopanan. Pernah kepada seorang perempuan tua Baginda
berseloroh bahawa orang-orang tua tidak dapat masuk syurga. Ini tentunya sangat
menyedihkannya, hinggalah Rasulullah mengatakan bahawa dia akan masuk syurga
juga, iaitu setelah lebih dulu dimudakan!
Jika
sifat hebatnya itu menyebabkan orang menjadi gentar, tetapi sifat ‘tawaduk’nya
(merendah diri) pula sangat mempesonakan orang. Sungguhpun kedudukannya yang
tinggi menyebabkan orang menghormatinya, beliau ternyata sangat suka merendah
diri. Di rumah, beliau makan bersama-sama bujangannya, menjahit sendiri
pakaiannya yang koyak, menampal sendiri kasutnya yang berlubang dan jua menyapu
rumahnya. Ketika bersama-sama sahabatnya, beliau duduk di mana saja terdapat
kekosongan tanpa memilih tempat, sehingga tidak dapat dibezakan sama sekali
dengan orang lain. Beliau kadang-kadangnya menunggang kaldai bersendirian, dan
kadang-kadang dengan memboncengkan orang lain. Pernah ketika beliau membeli
beberapa helai seluar, Abu Hurairah ingin membawanya, tetapi jawab beliau:
“Orang yang punya barang ingin membawanya.” Dan ketika, berlakunya peperangan
AI-Ahzaab, beliau turut bertungkus-lumus menggali parit bersama orang lain.
Semuanya itu sanggup dilakukannya, kerana katanya; “aku tidak suka kelihatan
terbeza dari sahabat-sahabatku.”
Dari segi pendiriannya, beliau terkenal sebagai seorang yang
sangat teguh dan tegas dalam menegakkan Kalimah Allah. “Sekiranya tidak lantaran Kami telah tetapkanmu, nescaya engkau
condong sedikit kepada kemahuan mereka.” (Bani Israel: 74).
Keteguhan pendiriannya terbukti jelas ketika orang-orang Quraisy mengutus Utbah
bin Rabiah untuk memberi berbagai-bagai tawaran kepadanya, dengan syarat beliau
menghentikan kegiatan dakwahnya. Kata Utbah: “Sekarang bagaimanakah Muhammad,
apa yang menjadi kehendakmu dengan mengadakan agama baru itu? Jikalau dengan
mengadakan agama baru itu, engkau berhajat akan harta benda, kami sanggup
mengumpul harta benda buat engkau, sehingga engkau menjadi seorang yang paling
kaya di antara kami. Jikalau engkau menghendaki kemuliaan atau ketinggian
darjat, maka kami sanggup menetapkan engkau menjadi seorang yang paling mulia
dan paling tinggi darjatnya di antara kami dan kamilah yang akan memuliakanmu.
Jikalau engkau ingin menjadi raja, maka kami sanggup mengangkat engkau menjadi
raja kami, yang memegang kekuasaan di antara kami, yang memerintah kami, dan
kami semuanya tidak akan berani memutuskan sesuatu perkara, melainkan dengan
izinmu atau dari keputusanmu. Jikalau engkau menghendaki perempuan-perempuan
yang paling cantik, sedang engkau tidak mempunyai kekuatan untuk mencukupi
keperluan mereka maka kami sanggup menyediakan perempuan-perempuan Quraisy yang
paling cantik di antara perempuan kami dan pilihlah sepuluh atau seberapa saja
menurut kehendakmu. Dan kamilah yang akan mencukupi keperluan mereka
masing-masing, dan engkau tidak usah memikirkan keperluan mereka itu.”
Selesai
sahaja Utbah berucap, Muhammad lalu membaca surah Fussilat ayat 1 hingga 14
yang mana menyebabkan Utbah semacam terpukau mendengarnya, hingga musnahlah
segala rencana mereka selama ini. Pernah pula pemuka-pemuka Quraisy datang
mengugut Abu Talib dan memintanya agar menasihatkan Muhammad, tetapi dengan
tegas Baginda berkata: “Hai pakcikku! Jika mereka letakkan matahari di kananku
dan bulan di kiriku agar aku tinggalkan urusan agama ini, tidak akan aku turut,
hingga Allah menangkan agama ini atau aku binasa kerananya!”
Jika
dalam pendiriannya itu beliau cukup keras dan tegas, namun dari segi lain pula
beliau merupakan seorang yang lemah-lembut. Ketika Makkah sudah berjaya
ditakluki, ia memanggil orang-orang Quraisy yang sedang menunggu hukumannya
dengan ketakutan sambil bertanya: “Apakah yang kamu sangka aku akan berbuat
terhadap kamu?” Jawab mereka: “Kebaikan, kerana engkau saudara kami yang
pembelas, dan anak dari saudara kami yang pembelas”. Maka jawablah Baginda:
“Pergilah, kamu sekalian bebas!” Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa
orang yang dikecualikan daripada pengampunan itu, seperti lkrimah bin Abu Jahal
misalnya. lkrimah melarikan dirinya, lalu dikejar oleh isterinya Ummu Hakim
yang sudah meminta ampun dari Nabi buat suaminya. Katanya: “Janganlah engkau
binasakan dirimu. Aku datang dari sebaik-baik manusia dan aku telah dapatkan
keamanan bagimu”. Maka dia pun pulang bersama isterinya, dan ternyata Muhammad
menerimanya dengan baik, meskipun beliau dan ayahnya termasuk musuhnya yang
terbesar.
Pada
masa itu juga Safwan bin Umayyah, musuh Islam yang bengis, bersembunyi dan
hendak membunuh diri dengan terjun ke laut. Sepupunya Umair datang kepada Nabi
menceritakan hal Safwan itu, maka Nabi menyuruh dikejar Safwan dengan
memberikan serban sebagai tanda aman dan pengampunannya. Setelah kembali, dia
meminta tempoh dua bulan lamanya daripada Nabi untuk berfikir masuk Islam, tetapi
Nabi memberinya empat bulan. Bagaimanapun tidak sampai 4 bulan, Safwan pun
memeluk Islam.
Tidak
cukup dengan sifat pemaafnya, Muhammad juga seorang yang pemurah lagi dermawan.
Seperti kata Jabir bin Abdullah, tidak pernah orang yang meminta sesuatu kepadanya
dapat jawapan Tidak. Suatu ketika beliau menerima wang sebanyak 90 dirham, lalu
diletakkan di atas tikar. Tetapi kesemua wang itu dibagi-bagikannya, hingga
apabila datang seseorang meminta sesuatu, beliau berkata: “Sayang sekali, saya
sudah tidak mempunyai apa-apa lagi. Tetapi belilah sesuatu dengan berhutang
atas namaku. Nanti kalau rezeki datang akan saya bayar”. Pemah pula seorang
lelaki datang meminta sesuatu, lalu Rasulullah memberinya sekelompok kambing
yang kerana banyaknya sampai menutup jalan antara dua gunung. Orang ini pulang
kepada kaumnya dan berkata: “Hai kaumku. Masuklah Islam, kerana Muhammad itu
apabila memberikan sesuatu pemberian adalah sebagai seorang yang tidak takut
miskin sama sekali. Tidak pernah kalau diminta, lalu berkata “Jangan”.
Seiring
dengan sifat pemurah itu ialah sifat pengasih dan penyayangnya. la mengasihi
sesiapa saja, baik kawan mahupun lawan, baik kanak-kanak mahupun orang tua,
baik kaya mahupun miskin dan baik manusia mahupun binatang. Sering ia
mempercepat solatnya apabila terdengar tangisan budak, agar lekas diurus oleh
ibunya yang turut berjemaah bersamanya. Begitu kasihnya Muhammad kepada ibunya
Aminah, hingga apabila permohonannya agar Tuhan mengampuni ibunya tidak
diperkenankan, beliau lalu menangis di kuburnya. Dan terhadap pakciknya Abu
Talib, kecintaannya ternyata pada percubaannya yang tak putus-putus agar ia
memeluk Islam, tetapi gagal juga sehinggalah turunnya ayat Al-Quran (Al-Qasas:
56) yang melarang Nabi berbuat demikian. Selepas turunnya ayat ini, Abu Talib
meninggal dunia tanda menganut Islam. Ini menambahkan lagi kedukacitaan Nabi
sehingga sampai beberapa hari Baginda tidak keluar rumah kerana memohon agar
Allah mengampunkannya. Akhimya turunlah sepotong ayat (At-Taubah: 113) yang
mencegah permohonan Nabi terhadap orang-orang yang nyata kekafirannya, meskipun
mereka itu kerabatnya yang hampir. Bagaimanapun berkat syafaat Nabi di Hari
Kiamat, Abu Talib akan ditempatkan di neraka yang paling tipis apinya, iaitu
cuma setinggi mata kaki, tetapi dapat menyebabkan otak mendidih. (HR Bukhari
dan Muslim).
Tidak
setakat manusia sahaja, kerahimannya juga meliputi binatang. Menurut riwayat
Abdul Rahman bin Abdullah, suatu hari mereka bersama-sama Rasulullah dalam
pelayaran, tiba-tiba mereka terlihat seekor ibu burung merak bersama dua ekor
anaknya yang kecil. Mereka mengambil kedua-dua anaknya, dan kemudian datanglah
ibunya mengepak-ngepakkan sayapnya lantaran marah. Melihat itu Rasulullah pun
bersabda: “Sesiapa yang telah memisahkan anak-anak burung ini dari ibunya
hendaklah dia mengembalikan semula kepada ibunya!”
Selain
dari sifat-sifat tersebut, adalah Rasulullah ini sangat terkenal kerana
keberaniannya. Seperti kata Ali bin Abu Talib, dalam peperangan Badar
Rasulullah adalah yang terdekat sekali tempatnya dengan musuh dan juga terhebat
semangatnya di antara seluruh mereka. Dan dalam peperangan Hunain, kata Abbas
bin Abdul Mutalib, ketika kaum Muslimin bertempiaran lari akibat serbuan musuh
secara tiba-tiba, Rasulullah tegap terpacak di tempatnya, bahkan menunggang
baghalnya menuju ke pihak musuh.
Semua
sifat-sifat yang dibicarakan di sini dan yang tak sempat dibicarakan, termasuk
sifat ‘Al-Sadiq Al-Amin’ seperti yang dibicarakan dulu, benar-benar telah
meletakkan Muhammad sebagai contoh manusia ideal. Dan sifat-sifat tersebut
bukannya untuk menjadi bahan kajian semata-mata, melainkan untuk dicontohi
serta diamalkan. Marilah kita bersama-sama menurut jejak langkah Rasulullah
yang mulia dan sempurna itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan