BAB 3: KERAJAAN-KERAJAAN BANDAR
Pengkajian
tentang penduduk-penduduk bandar (Hadari) meliputi kerajaan-kerajaan Selatan,
Tengah dan Utara. Di kawasan selatan terdapat kerajaan Yaman, di kawasan tengah
ialah kerajaan Hejaz atau Makkah sedangkan di utara terdapat kerajaan-kerajaan
Anbat (Nabataen) dan Tadmor (Palmyra) serta Hirah dan Ghassan.
1.
KERAJAAN SELATAN
Berbeza
dari negeri-negeri bahagian Utara dan Tengah, Yaman menyaksikan suatu tingkat
kemajuan yang terawal sekali dalam sejarah tamadun Arab purba. Hal ini berkait
rapat dengan kedudukan alamnya yang sesuai sebagai tempat pertemuan bagi para
pedagang. Malah pada namanya ‘Yaman’ yang bermakna ‘berkat’ itu pun sudah cukup
buat menjelaskan punca kemakmurannya di mana air hujan sentiasa turun di
samping kesuburan tanahnya sendiri.
Dengan
kedudukan tersebut, sukarlah bagi Yaman untuk menghindarkan diri daripada
pengaruh-pengaruh luar. Keistimewaan yang ada pada masyarakat Badawi dari segi
kemurnian bahasa, keturunan dan kebudayaan sudah tidak ada lagi pada Yaman. Dan
puncak dari pengaruh asing tersebut ialah apabila Yaman dijajah oleh kerajaan
Rom (Habshah) dan Parsi. Ini kerana, seperti kata Dr. Hussain Haikal, Rom dan
Parsi hanya berminat pada Yaman sahaja, berbanding dengan negeri-negeri Arab
yang lain.
Di
antara kerajaan-kerajaan yang pernah memerintah Yaman ialah:
1.
Main (1200 S.M. – 955 S.M.)
2.
Qatban (1000 S.M. – 955 S.M.)
3.
Saba’ (955 S.M. – 115 S.M.)
4.
Himyar (115 S.M. – 525 S.M.)
Mengenai
Main dan Qatban, data-data sejarah tidak banyak memberi keterangan tentangnya.
Yang jelas ialah bahawa kedua-dua kerajaan tersebut tegak hampir sezaman, dan
keruntuhannya pada tahun 955 S.M., telah digantikan oleh kerajaan Saba’ yang
oleh Prof. Hitti disifatkannya sebagai golongan Arab yang terawal sekali
mempunyai tamadun.
Dalam
perkembangannya, terdapat dua peringkat yang bukan sahaja mempunyai gelaran
raja yang berbeza, bahkan juga sistem pentadbirannya serta perubahan ibu
kotanya. Peringkat awalnya yang mempunyai ibu kota di Sarwah menekankan segi
senibina khasnya kuil-kuil agama untuk Dewi Bulan dan juga benteng pertahanan.
Dan ketika ibu kotanya berpindah ke Maarib, raja-raja Saba’ dikenali sebagai
Malik Saba’, dan usaha-usaha penaklukan pun mulai menjadi rancak. Bagaimanapun
kerajaan Saba’ tidaklah terkenal sebagai kuasa penakluk.
Seperti
ditegaskan tadi punca asas kemajuan Yaman terletak pada faktor geografi dan
iklimnya di mana air hujan sentiasa saja turun dari gunung-gunung Yaman
menyusuri tanah hingga ke laut atau lembah-lembah di timur kota Maarib. Mulanya
air turun melalui celah-celah dua buah gunung yang terletak di kanan-kiri
lembah ini, lalu hilang terserap. Tetapi berkat pengetahuan dan kecerdasan yang
ada pada penduduk Yaman itu, dibangunlah sebuah bendungan, iaitu Empangan
Maarib. la dibuat daripada batu di hujung lembah yang sempit, lalu dibuatnya
celah-celah untuk memungkinkan adanya pengaliran air ke tempat-tempat yang
dikehendaki. Dengan adanya empangan ini, bukan sahaja mereka dapat menggunakan
air pada masa-masa yang diperlukan, malah dapat mengawal banjir yang sering
merosakkan kampung dan usaha-usaha pertanian. Jadi dalam soal Empangan Maarib
ini, terdapat dua aspek yang seyogia diperhatikan. Pertama, ia sangat penting
bagi kegiatan pertanian. Dan kedua, adanya ahli-ahli binaan atau arkitek yang
merancang pembinaannya.
Jika
kemajuan Saba’ banyak disebabkan oleh faktor geografi dan iklimnya, maka
kemasyhurannya pula adalah kerana Ratu Balqis seperti yang tersebut dalam
Al-Quran, atau Puteri Sheba seperti tercatat dalam Injil. Tentang kisab Ratu
Balqis ini, terdapat dua hal yang penting. Pertamanya, sistem pemerintahannya
bercorak demokrasi. Ini ketara sekali ketika dia menerima surat daripada Nabi
Sulaiman yang memintanya menganut agama Allah, lalu dimintanya pertimbangan
dari menteri-menterinya (An-NamI: 32). Kedua, sungguhpun kerajaannya terdiri
daripada rakyat yang kuat dan berani (An-Naml: 33), namun dia lebih
mementingkan perdamaian dari peperangan. Sebagai seorang yang berpandangan
jauh, dijelaskannya bahaya yang akan timbul akibat penjajahan terhadap sesebuah
negeri (An-Naml: 34).
Bagaimanapun
kerajaan Saba’ runtuh juga akibat kecuaian rakyatnya sendiri, terutama para
pemimpinnya, sehingga akhirnya berlakulah banjir besar yang menghancurkan
Empangan Maarib (Saba: 16). Maka berbondong-bondonglah rakyat Yaman membawa
dirinya ke utara dan tengah Tanah Arab. Misalnya qabilah Jafnah bin Amr telah
berpindah ke Sham dan tinggal di suatu tempat yang banyak air bernama Ghassan.
Sedang qabilah Thalabah bin Amr berpindah ke Hejaz dan tinggal di Madinah
hingga dapat mengatasi orang-orang Yahudi di sana.
Kejatuhan
Saba’ digantikan oleh kerajaan Himyar yang dapat mengembalikan kegemilangannya.
Berbeza dengan kerajaan Saba’ yang mementingkan perdamaian, yang dengan itu
dapat mengelakkannya daripada dijajah, kerajaan Himyar pula lebih menekankan
perluasan jajahan takluk. Dikatakan bahawa ia bukan sahaja banyak menjajah
kawasan-kawasan sekitar, bahkan menguasai jajahan-jajahan Parsi seperti Iraq
dan Khurasan serta kawasan-kawasan yang berhampiran dengan Sungai Jihun dan
membina bandar Samarqand.
Seperti
kerajaan Saba’, kerajaan Himyar jatuh juga akhirnya. Kita telah pun mengetahui
bahawa kemakmuran Yaman menimbulkan keinginan kuasa-kuasa asing seperti Rom dan
Parsi untuk menguasainya.
Namun
faktor ekonomi bukanlah dorongan asasi kedatangan penjajah, sebab di samping
itu terdapat faktor persaingan kuasa di antara kedua-dua kuasa besar itu.
Sebenarnya masing-masing pihak adalah mewakili dua kekuatan: kekuatan Kristian
dan kekuatan Majusi. Seperti kata Dr. Hussain Haikal, kedua-dua kekuatan ini
mempunyai hasrat ekspansi dan kolonialisasi, dan berusaha sekuat tenaga
menyebarkan agamanya. Jadi faktor ekonomi dan politik, masing-masingnya telah
mendorong kedatangan penjajah. Apa lagi kerajaan Himyar sendiri gemar menjajah
kawasan-kawasan sekitar, yang tentunya menimbulkan kemarahan kuasa-kuasa besar
tersebut.
Sepatutnya
kerajaan Himyar dapat mengatasi sebab-sebab yang membawa keruntuhan Saba’ dulu,
iaitu dengan memelihara dengan baik Empangan Maarib itu. Tetapi disebabkan
adanya pertelingkahan terus-menerus dengan kuasa-kuasa asing tersebut, lalailah
mereka untuk mengawasi dan memeliharanya. Begitupun suatu faktor yang
mempercepatkan kejatuhannya ialah kekejaman rajanya yang terakhir, iaitu Yusuf
Zun-Nuwas yang telah mengorbankan sampai 20,000 orang pemeluk Kristian.
Kisahnya
begini: Khabarnya seorang Nasrani yang salih bernama Phemion yang berpindah ke
Najran dari Rom, telah berjaya mempengaruhi sebilangan besar penduduk Najran.
Apabila diketahui oleh Zu-Nuwas, lalu dipaksanya mereka menganut agama Yahudi,
jika tidak akan dibunuh. Kerana mereka bertegas, maka digalilah sebuah parit
yang dipasang api di dalamnya. Lalu mereka pun dihumbankan ke dalam parit yang
berapi itu, sedang setengahnya dibunuh dengan pedang. Kisah ‘Ashabul-ukhdud’
yang tragis ini diceritakan juga dalam Al-Quran surah Al-Buruj: 4-8.
Bagaimanapun
salah seorang mangsanya dapat lulus dari maut itu, lantas menemui Maharaja Rom
meminta pertolongan. Dengan Habshah sebagai wakilnya untuk menakluki Yaman,
maka tamatlah pemerintahan kerajaan Himyar. Gabenor pertamanya ialah Iryat,
lalu digantikan oleh Abrahah Al-Ashram yang telah membunuh Iryat tersebut. Dan
Abrahah inilah yang mengalami kegagalan ketika menyerang Makkah dengan tentera
bergajahnya (Al-Fil: 1-5).
Selama
72 tahun penguasaan Habshah terhadap Yaman, akhimya seorang kerabat Himyar,
Saif Zu-Yazin, lalu meminta bantuan Parsi melalui wakilnva Nukman ibnul-Munzir
di Hirah untuk menghalau penjajah tersebut. Dengan bantuan Hirah Raja Saif
Zu-Yazin dapat berkuasa semula, tetapi kemudiannya ia dibunuh serta digantikan
oleh Wahriz, panglima Parsi. Dengan demikian bermulalah siri-siri penjajahan
oleh Parsi pula, setelah mengambil-alih dari tangan Habshah.
2.
KERAJAAN TENGAH
Keruntuhan
kerajaan Yaman telah memunculkan sebuah kerajaan lain di Hejaz, iaitu kerajaan
Makkah. Ada beberapa faktor yang telah meletakkan Makkah sebagai pengganti
Yaman. Seperti yang disentuh tadi, faktor penjajahanlah yang meruntuhkan
kerajaan Yaman, hingga akibatnya perdagangan di laut dikuasai obeh kuasa-kuasa
asing tersebut. Kita juga telah menyebutkan betapa pentingnya Empangan Maarib
sebagai nadi bagi pertanian mereka. Maka apabila ianya tidak dipelihara, dan
memanglah ini yang terjadi, maka amat sukarlah bagi kerajaan Yaman untuk
membangunkan ekonominya.
Nampaknya
suatu faktor yang turut membantu kebangkitan kerajaan Yaman, khasnya dari segi
perdagangan, juga terdapat pada kawasan Hejaz. Maksudnya kedudukan geografi
kota Makkah di tengah-tengah Semenanjung Tanah Arab, antara Utara dengan
Selatan itu telah menjadikannya sebagai pusat pertemuan di darat bagi para-para
saudagar. Apa lagi setelah terdirinya Kaabah;dan ditambah pula oleh pengawasan
yang baik oleh orang-orang Quraisy, telah menyebabkan Makkah menjadi tempat
tumpuan jemaah-jemaah Haji.
Dengan
demikian, kota Makkah menjadi semakin penting di zaman Jahiliah ini.
Kepentingan ini dapat dilihat dari beberapa segi. Dari segi geografi, telah pun
ditegaskan bahawa kedudukannya yang strategis di antara Utara dengan Selatan
itu memudahkan perkembangannya sendiri sebagai pusat pertemuan bagi
pedagang-pedagang. Biasanya dalam perjalanan mereka di antara Utara dengan
Selatan itu, mereka akan berehat sekurang-kurangnya dua-tiga hari di Makkah
serta mengambil air Zam-zam di sana. Lagi pun, ketika mereka mengunjungi Makkah
untuk menunaikan Haji, adalah menjadi kebiasaan mereka untuk membawa
bersama-sama mereka barang dagangan untuk diperniagakan di pasar-pasar yang
masyhur di sana.
Sebenarnya
kegiatan ekonomi tidaklah selamanya dijalankan oleh pedagang-pedagang luar,
bahkan juga oleh orang-orang Makkah sendiri. Atau oleh orang-orang Yaman yang
telah berpindah ke Makkah, yang mana mempunyai pengalaman yang luas dalam
bidang perdagangan, yang mana kemudiannya pula menjadi ikutan orang-orang
Makkah. Secara teraturnya perdagangan mereka dijalankan pada dua musim: Di
musim panas mereka menuju utara seperti di Sham, sedang di musim dingin mereka
ke selatan iaitu di Yaman (Quraisy: 1-4). Antara tokoh-tokoh Quraisy yang
terlibat ialah seperti Abu Sufyan bin Harb, Walid Al-Mughirah, Abu Jahal (Abul
Hakam) dan sebagainya.
Bari
segi kepentingan politiknya, telah masyhur di mana-mana bahawa Makkah tidak
pernah diceroboh oleh sebarang penjajah pun. Memang ada yang cuba, seperti
Abrahah misalnya, tetapi kecundang belaka. Ini semakin mengharumkan namanya
sendiri sebagai suatu kawasan aman untuk usaha-usaha pelaburan. Apa lagi sejak
Qusai bin Kilab mengasaskan suatu sistem pentadbiran yang sistematis, dengan
menjadikan Barun-Nadwah sebagai pusatnya, dan berjaya pula menyatu-padukan
qabilah-qabilah Arab itu, semuanya ini menimbulkan semacam keyakinan bagi para
pedagang bahawa Makkah adalah merupakan pusat keamanan.
Dan
teratas dari semuanya itu, ialah kedudukan Makkah sebagai pusat agama. Sejak
Kaabah didirikan, maka berdatanganlah jemaah-jemaah Haji dari segenap penjuru
Semenanjung Tanah Arab saban tahun. Apa lagi sejak urusan pentadbiran dipegang
oleh Qusai dan keturunannya, maka semakin teraturlah kegiatan keagamaan ini.
Khusus untuk urusan Haji ini, dibentuknya bahagian-bahagian yang menjaga
tentang air (Siqayah), makanan (Rifadah), mengawal Kaabah (Hijabah, Sadanah dan
Imaratul-bait) dan sebagainya. Dan agar urusan Haji ini berjalan lancar,
qabilah Quraisy berjaya mendapat penghormatan masyarakat berkat kejayaannya
menentukan tiga bulan ‘Asyhurul-hurum’ dihormati.
Akhirnya
suatu aspek yang tidak kurang pentingnya ialah kedudukan Makkah sebagai pusat
kebudayaan. Dengan terkumpulnya orang-orang Arab dari segenap penjuru di musim
Haji, maka lahirlah semacam pergaulan dan pertukaran kebudayaan. Apa lagi
dengan adanya pusat-pusat pertemuan seperti di Baumatul-Jandal, al-Majinnah,
Zulmajaz dan lebih-lebih lagi di Suq Ukkaz, kegiatan kesenian semakin bertambah
rancak. Di sinilah diadakan pertandingan menggubah syair, mendengar kisah-kisah
tertentu sementara menanti waktu untuk mengerjakan Haji. Di Suq Ukkaz sendiri,
kehadiran jaguh-jaguh penyair, ahli-ahli pidato, ahli-ahli qasidah, penyanyi
dan ahli-ahli muzik, tukang-tukang cerita dan ahli-ahli dari pelbagai bidang
itu dapat disifatkan sebagai kongres kesusasteraan tahunan.
3.
KERAJAAN UTARA
Di
antara kerajaan-kerajaan di Utara ialah Anbat (Nabataen) dan Tadmor (Palmyra).
Tetapi yang lebih penting ialah kerajaan Hirah dan Ghassan. Di sini kita tidak
akan memperkatakan hal ehwal kedua-dua kerajaan Hirah dan Ghassan ini, malah
yang akan ditekankan hanyalah kepentingannya kerajaan ini di Semenanjung Tanah
Arab.
Ada dua
aspek penting tentang kedua-dua kerajaan ini yang harus diperhatikan. Pertama
ialah dari segi tujuan penubuhannya sendiri. Di Utara Semenanjung Arab ini,
terdapat suku-suku bangsa Arab yang kerapkali melakukan serangan-serangan liar
serta merampas, lalu melarikan diri ke pedalaman. Oleh kerana jalan ke
pedalaman amat sukar, ditambah pula susah dijumpai air, menyebabkan tentera
Parsi dan Rom tidak sanggup mengejar mereka. Maka untuk mengatasinya,
kerajaan-kerajaan ini lalu mengumpulkan beberapa suku bangsa Arab yang mereka
kenal, yang berasal dari Yaman, lalu dibentuklah kerajaan Hirah dan Ghassan
sebagai dinding (hajiz) untuk melindungi dari serangan-serangan liar tersebut.
Dari
segi lain pula, tujuan penubuhannya lebih berbentuk politik. Sebenarnya baik
pihak Parsi mahupun Rom, masing-masingnya berhajatkan pertolongan orang Arab
dalam pertikaian mereka. Sebab itu mereka memujuk suku-suku Arab agar
menyebelahi mereka, dan kemudiannya lalu diletakkan di sempadan negeri-negeri
mereka.
Aspek
yang kedua ialah tentang peranan kerajaan Hirah atau Ghassan itu sendiri dalam
menyiarkan kebudayaan Parsi dan Rom ke Semenanjung Tanah Arab. Mereka laksana
jambatan yang menghubungi kawasan yang mempunyai peradaban tinggi dengan
kawasan yang kurang tinggi peradabannya. Antara bidang-bidang kebudayaan
tersebut ialah agama, sastera serta ilmu pengetahuan lainnya. Dari segi agama,
mengalirlah agama Kristian dari Rom dan Majusi dari Parsi. Bagaimanapun,
seperti yang didedahkan oleh Dr. Haikal, misi Kristian gagal mengubah keadaan
paganisme di Tanah Arab, meskipun tidak dinafikan adanya pengaruh Kristian pada
beberapa tempat.
Tentang
aspek pemikiran dan kesusasteraan pula, sesungguhnya kemajuan yang telah
dicapai di Hirah sangat mempengaruhi suku-suku Arab pada umumnya. Cerita-cerita
seperti `Jazimatul-Abrasy’ dan dongeng-dongeng Zuba’, Khawarnaq, Al-Sadir
menjadi bahan utama yang sangat diagungkan oleh penyair. Dan oleh kerana
kemakmurannya Hirah menjadi tumpuan penyair-penyair Semenanjung Arab untuk
mendapatkan hadiah sebagai imbangan daripada syair ciptaan mereka, yang
kemudiannya disebarkan di daerah Badawi dan seluruh Semenanjung. Misalnya
kumpulan (diwan) syair gubahan Nabighah Al-Zubyani adalah merupakan
pujian-pujian kepada Nukman ibnul-Munzir, Amir Hirah.
Demikian
juga di Ghassan, turut menjadi tumpuan para penyair seperti Nabighah sendiri,
Al-A’sya, Al-Maraqqisy, Alqamah Al-Fahl. Malah dikatakan penyair Hassan bin
Thabit sendiri pernah bertemu dengan Jabalah ibnul-Aiham, Amir Ghassan yang
telah melayannya dengan begitu baik. Tidak hairanlah jika dalam syairnya,
disebutkan: “Banyaklah sudah jasa-jasa mereka yang dahulu pernah saya sanjung
di Bamshik”.
Demikianlah antara lain kepentingan kerajaan Hirah dan Ghassan ini. la
bukan saja penting dari segi politik kepada kerajaan-kerajaan Parsi dan Rom,
bahkan penting dari segi peranannya menyalurkan kebudayaan kerajaan-kerajaan
tersebut di Tanah Arab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan