BAB 14: ALI BIN ABU TALIB (656-661 M)
Pada
hakikatnya Ali bin Abu Talib telah mewarisi satu pemerintahan yang kucir-kacir,
dan dia tidaklah berdaya memperbaikinya sehingga di tangannyalah tamatnya
rangkaian Khulafaur-Rashidin. Ini bukan kesalahannya seorang, bahkan
tanggungjawab bersama, termasuk tokoh-tokoh sahabat sendiri. Sebagai seorang
yang terkenal tegas dan radikal, sebaik sahaja Ali dilantik sebagai Khalifah
dikeluarkannya beberapa ketetapan:
1.
Memecat Gabenor-Gabenor lantikan Usman.
2.
Merampas balik tanah-tanah yang dibahagikan oleh Usman kepada kaum kerabatnya
secara tidak sah.
3.
Mengubah pusat pentadbiran dari Madinah ke Kufah.
Sesungguhnya
Ali dapat mempertahankan kebenaran tindakannya itu, tetapi cepatnya dia
bertindak menyebabkan beberapa tokoh sahabat kurang menyenanginya. Sebaliknya
pula Ali melambat-lambatkan tuntutan penyokong-penyokong Usman agar
pembunuhannya segera disiasat dan dihukum. Dan faktor kelengahannya inilah yang
menimbulkan tuduhan liar bahawa dia turut bersubahat dalam pembunuhan Usman.
Seperti juga Usman, Ali sendiri kurang bermesyuarat dengan orang-orang
terkemuka di zamannya. Pemah Talhah bin Ubaidullah dan Zubair Al-Awwam mencela
sikapnya itu, tetapi Ali menjawab: “Apakah yang tidak saya ketahui, makanya
saya harus mesyuaratkan?”
1. BERMULANYA
PERANG SAUDARA DALAM SEJARAH ISLAM
i)
Perang Jamal
Dari
segi sejarah, peperangan Jamal merupakan perang saudara yang pertama sekali.
Mulanya persiapan tentera Ali adalah untuk menghadapi tentera Muawiyah bin Abu
Sufyan di Sham, tetapi tekanan suasana memaksa Ali membelok ke Basrah untuk
menghadapi tentera Aishah r.a. Tentang Aishah ini bukan tidak ada sebabnya.
Yang penting sekali bujukan beberapa orang tokoh, terutamanya Abdullah bin
Zubair, anak saudaranya. Memang Aishah ingin membela kematian Usman, tetapi
tidaklah sampai melalui peperangan. Antara Ali dengan Aishah memang sudah ada
krisis peribadi. Misalnya Ali pernah dikatakan meragui kesucian Aishah dalam
peristiwa Pesona Keji (Hadithul-ifki) sewaktu Perang Bani Mustaliq dulu. Apa lagi
Ali kemudiannya ingin menyaingi ayahnya Abu Bakar dalam rebutan kuasa Khalifah.
Adanya krisis ini memang diakui, tetapi tidaklah sampai memerlukan Aishah
mengangkat senjata memerangi Ali. Atas tekanan Abdullah bin Zubairlah Aishah
yang terus menerus teragak-agak itu sanggup berperang.
Bersama
Aishah ialah Talhah bin Ubaidullah dan Zubair Al-Awwam yang pernah membaiat Ali
dulu. Khabarnya tentangan mereka terhadap Ali ialah kerana mereka diketepikan
oleh Ali dalam perlantikan Gabenor-Gabenor wilayah Yaman dan Iraq. Walau
bagaimanapun pada 36 H. berlakulah peperangan Jamal di Al-Kharibah berhampiran
Basrah. Memang pada mulanya tercapai persetujuan damai di antara Ali dengan
Aishah untuk mengelakkan pertumpahan darah. Malangnya pengikut-pengikut
Abdullah bin Saba’, terutamanya mereka yang terlibat dalam pembunuhan Usman
telah menyerang pihak Aishah, sehingga peperangan tidak dapat dielakkan lagi.
Peperangan
ini berakhir dengan kemenangan pihak Ali, namun Aishah tetap dimuliakan oleh
Ali. Atas arahan Ali, Aishah dihantar oleh adiknya Muhammad bin Abu Bakar
kembali ke Madinah. Khabamya sehingga wafatnya Aishah dikatakan sangat sedih
dan menyesal di atas penglibatannya dalam peperangan itu. Pernah dia mengeluh:
‘Wahai, kalaulah aku menjadi pokok kayu! Wahai, kalaulah aku menjadi pokok
likir!, Wahai, kalaulah aku telah lama mati!.. Dan apabila dia hampir wafat,
dia berwasiat: “Jangan kuburkan aku di samping Rasulullah, kerana aku telah
membuat kesilapan setelah ia meninggal”.
Mengenai
Zubair AI-Awwam, dia sendiri melarikan diri dari peperangan tersebut kerana
tidak meyakini betul tidaknya penentangan terhadap Ali. Melihat tindakannya itu
Amru bin Jurmuz lalu membunuhnya. Begitu juga dengan Talhah yang telah dibunuh
oleh Marwan Al-Hakam dari pihaknya sendiri kerana disyaki cuba melemahkan
semangat perjuangan. Ada pun Abdullah bin Zubair, ia telah ditetak oleh
AI-Ashtar, panglima Ali yang gagah terbilang. Tetakan tersebut tidak membawa
kematian, namun dia tidak lagi mencampuri peperangan Jamal. Untuk beberapa
waktu Abdullah seolah-olah tenggelam, tetapi kemudiannya timbul semula dengan
gagahnya buat mencabar kerajaan Bani Umayyah.
ii)
Peperangan Siffin
Kesilapan
besar Ali ialah melucutkan secara mendadak jawatan Muawiyah bin Abu Sufyan
sebagai Gabenor Sham yang telah dipegangnya sejak zaman Umar lagi. Tindakan ini
benar-benar menyinggung perasaannya malah rakyat Sham juga yang belum pemah
mengecap kemakmuran sehinggalah datangnya Muawiyah. Jadi dengan pemecatannya
rakyat Sham sendiri yang sekian lama memulianya tidaklah begitu sukar untuk
dikobar-kobarkan semangat mereka buat menentang Ali. Apa lagi Muawiyah sendiri
bijak bermain politik dengan cara membentangkan baju gamis Usman yang
berlumuran darah di mimbar bersama anak-anak jari isteri Usman yang terpotong
sewaktu mempertahankan pukulan pemberontak-pemberontak ltu. Ini menyebabkan
semangat rakyat meluap-luap.
Bagaimanapun
Ali cuba memperlihatkan semangat toleransinya dengan mengutus Jarir bin
Abdullah menemui Muawiyah. Hanya dengan kegagalan rundingan-rundingan itulah
tercetusnya pertempuran di Siffin tersebut pada 37 H. Dan walaupun peperangan
sudah bermula, namun Ali dengan 50,000 tenteranya masih berlembut dengan
Muawiyah. Misalnya apabila pengikut-pengikut Muawiyah telah dapat menguasai
satu kawasan yang banyak airnya, pengikut-pengikut Ali telah dihalangi dari
meminumnya. Tetapi sebaliknya apabila ianya dikuasai oleh Ali, tidak pula
dihalangi pengikut-pengikut Muawiyah meminumnya
Dilihat
dari segi kepimpinan dan kekuatan tentera, barisan Ali ternyata mempunyai potensi
besar untuk mencapai kemenangan, dan memang sudah terbayang tanda-tanda untuk
mencapainya. Sebaliknya di sisi Muawiyah terdapat barisan tentera yang lemah,
ditambah pula dengan keretakan pucuk pimpinannya. Pernah terjadi di
tengah-tengah peperangan itu, Ali menyerbu kepada Muawiyah dan berkata: “Hai
Muawiyah, untuk apakah orang-orang ini akan terbunuh kerana kita berdua? Mari
kita bertahkim kepada Allah. Barang siapa di antara kita dapat menewaskan
lawannya, maka tidak ada orang yang akan mengganggu-gugatnya lagi.” Ketika itu
Amru ibnul-Ass berada di samping Muawiyah, berkata kepadanya: “Hai Muawiyah,
apa yang dianjurkan orang ini (Ali) adalah adil.” Muawiyah menjawab: “Tetapi
apa yang engkau anjurkan itu tidak adil, hai Amru, kerana engkau menghasutku
untuk berlawan dengan Ali, pada hal engkau tahu bahawa siapa saja yang berani
melawannya satu-sama-satu pastilah tewasi!” Seterusnya Amru berkata lagi:
“Tetapi satu-satunya jalan yang terbaik bagimu hanyalah menyambut
tentangannya!” Jawab Muawiyah: “Sebenamya engkau ingin menjadi Khalifah, bila
aku telah tewas nanti.”
Demikianlah
kita melihat adanya tanda-tanda kemenangan di pihak Ali. Walau bagaimanapun
Muawiyah tidak pula kehilangan akal, sebaliknya disuruhnya Amru mencari jalan
keluar. Maka atas cadangan Amru, tentera-tentera Muawiyah diminta mengangkat
mashaf Al-Quran sambil menyeru: “Inilah kitabullah yang akan menjadi hakim
antara kami dan kamu!” Melihat julangan Al-Quran itu (Betulkah itu Al-Quran?)
menyebabkan tentera Ali terpecah dua; satu yang menyokong gencatan senjata dan
yang lain ingin meneruskan peperangan. Ada pun Ali meskipun sedar tipu helah
Muawiyah, namun dia terpaksa bersetuju dengan kehendak ramai agar diadakan
rundingan. Anehnya golongan (Khawarij) yang memintanya dihentikan pertempuran
inilah yang nantinya menentang Ali pula, sambil menyalahkan Ali kerana menerima
cadangan mereka!
Dalam
perundingan ‘Tahkim’ tersebut, sekali lagi Amru sebagai wakil Muawiyah
menjalankan siasatannya sehingga menyebabkan wakil Ali, Abu Musa Al-Shaari
tertipu. Dengan menerima perlucutan Ali sebagai Khalifah, Amru lalu mengekalkan
jawatan Muawiyah. Sebenarnya keputusan Tahkim Itu tidaklah penting bagi
Muawiyah yang hanya ingin agar peperangan itu dihentikan. Dan di sini Muawiyah
berhasil mencapai matlamatnya. Bahkan Iebih dari itu, ianya membawa perpecahan
pula dalam kalangan pengikut-pengikut Ali – satu yang menyokongnya (Syiah) dan
satu yang menentangnya (Khawarij). Dengan ini bukan sahaja Ali terpaksa
menghadapi Muawiyah sekali lagi, bahkan terpaksa pula menghadapi musuh terbaru,
iaitu golongan Khawarij.
Ketika
mendedahkan sebab-sebab kemenangannya dalam menghadapi Ali, Muawiyah telah
mengemukakan empat faktor:
1.
Aku senantiasa menyembunyikan rahsia, sedangkan Ali suka membukakan rahsianya.
2.
Aku mempunyai tentera yang terbaik dan amat patuh, sedangkan Ali mempunyai
tentera yang paling jelik dan amat pembangkang.
3.
Aku biarkan dia bertempur melawan pasukan Aishah. Kalau Ali kalah, mudah bagiku
menghadapinya. Tetapi kalau dia menang, aku akan menuduhnya sebagai pembunuh
mereka.
4.
Aku lebih dicintai oleh orang-orang Quraisy daripada Ali.
2. LAHIRNYA MAZHAB-MAZHAB POLITIK
Kelahiran
mazhab-mazhab politik dalam Islam adalah berasaskan persoalan-persoalan sekitar
masalah kepimpinan, yakni siapakah yang Iebih berhak untuk menjadi Khalifah
(pengganti Rasulullah). Sebetulnya masalah-masalah tentang pemilihan Khalifah
ini bermula sejak wafatnya Rasulullah, apa lagi baginda sendiri tidak pula menentukan
siapakah penggantinya, dan bagaimana pula cara pemilihannya. Ini menimbulkan
beberapa aliran tertentu, seperti golongan-golongan pro Ansar, pro Quraisy dan
pro Ali bin Abu Talib. Bagaimanapun aliran yang pro Quraisy menang, maka
naiklah Abu Bakar dan Umar Al-Khattab sebagai Khalifah. Tetapi aliran yang pro
Ali terus hidup, cumanya kurang berpengaruh berkat keadilan dan kebijaksanaan
kedua-dua khalifah tersebut.
Dengan
naiknya Usman bin Affan barulah aliran pro Ali hidup kembali, apa lagi dilihatnya
bahawa Usman mengamalkan polisi nepotisme, yakni mementingkan keluarga Umayyah
saja. Bagaimanapun tentangan-tentangan terhadap Khalifah Usman kelihatan
terpencar-pencar di sana-sini, hinggalah munculnya Abdullah bin Saba’ yang
menyatukannya di bawah slogan ‘Ahlul-bait.’ Lalu dipropagandanya bahawa Nabi
telah berwasiat kepada Ali untuk menjadi khalifah sesudahnya. Dan untuk
memperkuatkan teorinya, disebarkannya fahaman ‘Hak Ilahi’ (Devini Right) bahawa
Allah yang berhak menjadi khalifah, kerana hal itu sudah ditentukan oleh Allah,
dan Usman telah merampas hak itu dengan kekerasan. Jadinya pengasas gerakan pro
Ali ialah Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi yang memeluk Islam semata-mata
untuk meruntuhkannya dari dalam.
Tetapi
dengan berlakunya peristiwa Tahkim tersebut, terpecahlah pengikut-pengikut Ali
kepada dua golongan; golongan Syiah yang menyokongnya dan golongan Khawarij
yang menentangnya. Mengenai puak Syiah, pokok kepercayaan mereka berasaskan
kepada fahaman bahawa Alilah yang lebih berhak menjadi khalifah, sedang Abu
Bakar, Umar dan Usman telah merampas hak Ali tersebut. Maka adalah menjadi
tugas mereka untuk mengembalikan hak-hak tersebut kepada yang empunya, iaitu
keluarga Ali. Bagi mereka, soal Imamiah (kepimpinan) tidak termasuk kepentingan
umum yang dapat diserahkan saja kepada rakyat untuk menetapkan siapa yang
mereka kehendaki, sebaliknya merupakan ketetapan dari Rasulullah sendiri yang
harus diterima sebagai dasar agama. Soal siapa pengganti Rasulullah dikatakan
telah diwasiat lebih dulu kepada Ali, seperti yang terdapat pada Hadith ‘Ghadir
Khum.’
Ada pun
mengenai puak Khawarij, mereka dulunya adalah penyokong Ali juga. Tetapi kerana
Ali menerima Tahkim (yang mereka sendiri memaksanya), mereka lalu menentangnya
pula. Terdapat khalifah-khalifah sebelumnya, sikap mereka agak moderate. Mereka
menyokong Abu Bakar, Umar dan juga tahun-tahun pertama pemerintahan Usman.
Malah mereka juga menyokong Ali, tetapi kemudiannya menyalahkannya kerana
menerima perundingan, dan kerana Ali dituduh kafir. Mereka juga mengkafirkan
Abu Musa AI-Shaari, Amru ibnul-Ass, Muawiyah dan Usman. Mengenai soal
pemerintahan, mereka berpendapat bahawa khalifah harus dipilih secara bebas
dari segenap rakyat umat Islam; tidak semestinya dari puak Quraisy sahaja. Dan
andai kata sudah dipilih maka dia adalah pemimpin umat Islam yang harus tunduk
kepada hukum-hukum Allah, dan sekiranya dia menyeleweng dia harus dipecat.
Selain
dari kedua-dua mazhab tersebut, timbul juga mazhab Murji’ah. Golongan ini
timbul setelah mengetahui bahawa Khawarij mengkafirkan Usman dan Ali serta
penyokong-penyokong Tahkim, juga setelah dilihatnya bahawa dalam Syiah juga ada
mengkafirkan Abu Bakar, Umar, Usman dan pengikut-pengikut mereka. Setiap
golongan dari umat Islam menganggap bahawa mereka saja yang benar sedangkan
golongan lain sesat dan kafir. Maka datanglah aliran Murji’ah yang cuba
mengkompromi semua golongan dan tidak mengkafirkan salah satunya. Bagi mereka,
baik Syiah, Khawariji mahupun pengikut-pengikut Umayyah adalah orang-orang
Mukmin, ada salahnya dan ada benarnya. Mereka tidak menentukan mana yang salah
dan mana yang benar, sebaliknya menyerahkan saja kepada Allah. Sebab itulah
mereka digelar Murji’ah, yakni golongan yang menangguhkan atau mengakhirkan
persoalan-persoalan sehingga Hari Pembalasaan nanti. Antara mereka yang dapat
digolongkan dalam puak ini ialah seperti Abi Bakrah, Abdullah bin Umar, Imran
bin Al-Hussain dan Saad bin Abi Waqqas. Mereka terdiri daripada golongan yang
enggan terlibat dalam penentangan-penentangan yang berlaku pada akhir
pemerintahan Usman tersebut.
Demikianlah
mazhab-mazhab yang timbul di zaman-zaman akhir Khulafaur-Rashidin. Baik
golongan Syiah, Khawarij mahupun Murji’ah, semuanya itu asalnya bersifat
politik semata-rnata. Bagaimanapun akhirnya mereka berubah menjadi mazhab
agama, lantaran kecenderungan membicarakan soal-soal Aqidah dan Syariat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan