BAB 11: ABU BAKAR AL-SIDDIQ (632-634M)
Seorang
sahabat Nabi yang terkanan, Abu Bakarlah calon utama pilihan rakyat buat
meneruskan tugas-tugas baginda sebagai pemimpin umat. Meskipun timbul juga
protes tentang pemilihannya, namun sejarah terpaksa juga mengakui hakikat
bahawa kalau tidaklah Abu Bakar yang menjadi Khalifah, nescaya umat Islam akan
berantakan jadinya. Dia sanggup berdiri sendiri dalam menghadapi serba
kemungkinan dan hasilnya dia beroleh kemenangan yang gemilang.
1. GERAKAN-GERAKAN MILITER
i)
Luar Negeri
Sebaik
sahaja dilantik, Abu Bakar tents menggerakkan tentera pimpinan Usamah bin Zaid
ke Ghassan yang terbantut akibat kewafatan Rasulullah. Dalam peperangan Muktah
dulu, tiga orang pahlawan besar Islam tewas di tangan pasukan bersekutu
Ghassan, termasuk Zaid bin Harithah, ayah Usamah. Sedang dalam peperangan
Tabuk, tentera Rom dan Ghassan mengundurdiri. Sebab itu Rasulullah membentuk
pasukan lain pimpinan Usamah untuk menghadapi mereka, tetapi terbengkalai
dengan kewafatannya. Baru setelah Abu Bakar terpilih, pasukan Usamah itu
digerakkan semula. Meskipun tindakannya ini dibantah oleh sahabat-sahabatnya,
namun diteruskan juga. Dan hasilnya Usamah membawa kemenangan besar, setelah
berperang selama 40 hari.
Kemudiannya
setelah masalah pemberontakan dalam negeri dapat dileburkan, Abu Bakar melantik
Khalid bin Said untuk mengembangkan Islam di daerah tersebut. Seruannya di
Tihamah rupanya menimbulkan kemarahan Heraclius hingga menyebabkan Khalid
terancam, lalu dimintalah bantuan dari Madinah. Untuk itu Abu Bakar menyusun
tentera Islam kepada empat ketumbukan dengan Abu Ubaidah Al-Jarrah sebagai
Pemimpin Umum di samping tugas khasnya menyerang Hems. Amru ibnul-Ass
ditugaskan ke Palestin, Yazid bin Abu Sufyan ke Damsyik dan Shurahbil bin
Hasanah ke Lembah Jordan. Jumlah kesemuanya ialah 24,000 orang.
Dalam
peringkat awalnya pertempuran tersebut, tentera Islam dapat dikucar-kacirkan
oleh 240,000 orang tentera Rom pimpinan Heraclius sendiri. Kecuali kemenangan
yang tidak seberapa oleh Amru ibnul-Ass di Palestin, pasukan-pasukan lain tidak
berdaya menghadapi kekuatan Rom yang juga telah membagikan pasukan tenteranya
kepada empat ketumbukan. Maka terfikirlah Abu Bakar untuk menyatukannya kembali
dengan Khalid AI-Walid sebagai Pemimpin Umumnya. Dengan itu Khalid yang sedang
bertempur di Iraq itu terus berangkat ke Syria setelah mempercayai AI-Muthana
bin Harithah sebagai penggantinya. Pengembaraan ke Syria mengambil masa 18 hari
dengan dipandu oleh Rafi bin Umair. Dalam perjalanannya itu berlaku juga
pertempuran-pertempuran kecil yang kemenangannya sentiasa di pihak Khalid.
Pertempuran
penting yang dihadapi oleh Khalid AI-Walid ialah di Ajnadain pada 13 H.
Perbezaan kekuatannya ialah 30,000 orang Islam melawan 100,000 orang Rom.
Bagaimanapun tentera Rom yang dipimpin oleh Theodore, saudara Heraclius,
mengalami kekalahan. Ini memalukan Heraclius sehingga memaksanya meninggalkan
Hems dan menuju Antioch. Seterusnya Khalid menyerbu ke kota Damsyik dan berjaya
memasukinya bersama-sama Abu Ubaidah, Amru dan Yazid. Dan pada ketika inilah
khabamya Khalid menerima surat pemecatan sebagai Pemimpin Umum dari Umar
AI-Khattab yang baru saja menggantikan Abu Bakar.
Mengenai
Parsi pula, pertempuran-pertempuran kecil telah berlaku di antara tentera Islam
pimpinan Al-Muthana bin Harithah dengan pemberontak-pemberontak di kawasan Oman
dan Bahrain. Dan dengan kejayaan yang seadanya itu mendorong Abu Bakar mengutus
Khalid Al-Walid yang ketika itu baru saja selesai menghancurkan gerakan
Musailamah Al-Kazzab di Yamamah. Ketibaan Khalid mengecutkan negeri-negeri Iraq
dan Hirah hingga mereka menerima tawaran perdamaian dengan Khalid. Selepas itu
ditakluki pula AI-Anbar dan Ainut Tamar. Akhirnya Khalid mengutus surat kepada
Hurmuz, wakil Parsi di Ubullah dekat Teluk Parsi. Kepadanya dikemukakan tiga
pilihan; sama ada memeluk Islam, membayar jizyah atau berperang. Kerana sangat
murka, Hurmuz lalu mengirimkan tenteranya untuk menghadapi Khalid. Maka
berlakulah pertempuran ‘Zatis-Salasil’ di mana tentera-tentera Parsi telah
mengikat sesama mereka dengan rantai agar tidak dapat melarikan diri.
Bagaimanapun mereka tewas juga dan pelabuhan Ubullah dapat ditawan. Malangnya
pada saat ini tentera Islam sedang mengalami kesulitan dalam menghadapi tentera
Rom. Sebab itu Abu Bakar segera memerintahkan agar Khalid menuju Syria untuk
menggantikan Abu Ubaidah sebagai Pemimpin Umumnya.
Sepeninggalan
Khalid pimpinan tentera diambilalih oleh Al-Muthana yang nampaknya kurang
berwibawa dalam mempertahankan wilayah-wilayah yang ditaklukinya. Al-Muthana
terus memegang jawatan ini sehinggalah kematian Abu Bakar.
ii)
Dalam Negeri
Nampaknya
Abu Bakar bukan sahaja terpaksa menghadapi tentera-tentera Rom dan Parsi,
bahkan juga masalah pemberontakan di Semenanjung Tanah Arab sendiri. Ada tiga
golongan pemberontak tersebut, baik yang terdapat di sekitar Madinah mahupun
yang tinggal berjauhan darinya. Golongan pertama ialah mereka yang baru memeluk
Islam yang mana ajaran-ajaran Islam belum menyerap di hati mereka, ataupun
mereka sendiri belum benar-benar memahaminya. Dengan wafatnya Rasulullah
kebanyakan mereka telah murtad dari agama Islam.
Keduanya
ialah golongan pengikut-pengikut Nabi palsu yang tumbuh bagai cendawan, baik
ketika Nabi masih hidup dan lebih-lebih lagi setelah kewafatannya. Dari Bani
Hanifah di Yamamah muncullah Musailamah Al-Kazzab, dari Bani Mad terdapat
Tulaihah bin Khuailid, dari Bani Tamim muncul nabi wanita iaitu Sajjah, dan di
Yaman timbul penyokong-penyokong Aswad AI-Ansi di bawah pimpinan Qais bin
Yaghus. Semuanya mengaku mendapat wahyu yang mana banyak pula
pendukung-pendukungnya. Ini bukanlah kerana mereka mempercayai kebenarannya,
tetapi semata-mata kerana sifat ‘Asabiyyah’ yang masih tebal dalam kalangan
mereka; sikap mana yang tidak mengizinkan jabatan kenabian dibolot oleh keturunan
Bani Hashim sahaja.
Ada pun
golongan ketiga ialah mereka yang enggan membayar zakat yang dipimpin oleh
Malik bin Nuwairah dari Bani Tamim. Kebanyakan mereka tinggal di Yaman, Yamamah
dan Oman. Tetapi ada juga yang tinggal berhampiran dengan kota Madinah seperti
kaum Akin dan Zubyan. Faktor utama penentangan mereka hanyalah kerana mereka
mengira bahawa Nabi Muhammad sahaja yang berhak memungut atau menerima zakat,
seperti yang kononnya terdapat dalam surah At-Taubah ayat 103!
Sebagaimana
ketegasannya ketika mengirim Usamah bin Zaid ke Ghassan dulu, begitu jugalah
sikap Abu Bakar dalam menghadapi pemberontakan-pemberontakan ini. Untuk itu
beliau membentuk 11 pasukan yang masing-masingnya dipimpin oleh Khalid
AI-Walid, Amru ibnul-Ass, lkrimah bin Abu Jahal, Shurahbil bin Hasanah,
Muhajjir bin Umayyah, Huzaifah Muhsin, Khalid bin Said dan sebagainya. Sebelum
menghadapi mereka, lebih dahulu mereka diajak balik ke pangkal jalan. Ada yang
menyahut seruannya ini, ada yang tetap berkeras. Kepada mereka yang terakhir
inilah Abu Bakar mengarahkan bala tenteranya tersebut.
Tentera
pimpinan Khalid Al-Walid dapat memukul pengikut-pengikut Tulaihah, malah dia
sendiri telah melarikan dirinya dari peperangan tersebut. Tentang
penyokong-penyokong Aswad AI-Ansi, mereka telah mengalami kekalahan teruk oleh
pasukan Muhajjir. Kekalahan Tulaihah menyebabkan pengikut-pengikut Malik bin
Nuwairah berpaling tadah. Ini memudahkan Khalid menumpaskan mereka hingga
menyebabkan Malik tertawan. Ketika dalam tahanan, terjadi pembunuhan ke atas
Malik yang tidak disengajakan kerana salah faham terhadap perintah Khalid.
Bagaimanapun
pasukan yang menghadapi ancaman Musailamah Al-Kazzab mengalami kesulitan. Apa
lagi kekuatan Musailamah bertambah setelah bersatu dengan tentera Sajjah
menjadikan jumlahnya 40,000 orang. Ada pendapat mengatakan bahawa lkrimah telah
mendahului perintah Khalifah agar menunggu pasukan Shurahbil sebelum menyerbu
Musailamah. Walau bagaimanapun ketibaan Khalid telah menyelesaikan
segala-galanya, sehingga tempat berlakunya pertarungan sengit tersebut
dinamakan ‘Taman Maut” (Garden of Death). Khabarnya Musailamah telah dibunuh
oleh Wahsyi, pembunuh Hamzah bin Abdul Mutalib dulu. Dengan kematiannya maka
kaum Bani Hanifah lalu berikrar kembali ke pangkuan Islam.
Dengan
selesainya pertempuran tersebut, Abu Bakar bukan sahaja berjaya menyatukan
kembali umat Arab yang berpecah-belah itu, bahkan juga dapat mengukuhkan
negara, sungguhpun tidaklah begitu kukuh dalam ertikata sebenarnya.
2. SEJARAH PEMBUKUAN AL-QURAN
Pada
hakikatnya usaha-usaha pengumpulan Al-Quran tidaklah dimulakan di zaman
Rasulullah. Meskipun ke semua ayat-ayat Al-Quran sudah sedia tertulis di zaman
baginda, tetapi tidaklah diusahakan pengumpulannya dalam suatu mashaf. Ini
memandangkan bahawa ayat-ayat Al-Quran sentiasa dalam proses nuzul (turun)
malah setengahnya ada yang memansukhkan ayat sebelumnya. Maka jika dikumpulkan,
terpaksalah diperbaiki selalu. Jadi biarlah kesemuanya selesai diturunkan
meskipun terpaksa menunggu sehingga wafatnya Nabi.
Dengan
gugurnya 70 orang Huffaz (penghafaz) dalam Perang Yamamah tersebut, barulah
timbul kesedaran dan keperluan buat menghimpunkannya. Atas cadangan Umar
AI-Khattab yang disetujui oleh Abu Bakar, ditugaskanlah Zaid bin Thabit
melaksanakan usaha-usaha pembukuannya. Demikianlah selama setahun baru dia
dapat menyelesaikannya dengan cara menemui para-para Huffaz serta dari
catatan-catatan. Atas inisiatif Abu Bakar itulah Ali bin Abu Talib kemudiannya
berkata: “Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas Abu Bakar sebagai orang
pertama yang mengumpulkan kitab Allah di antara dua Luh.”
Dengan
kewafatan Abu Bakar, mashaf itu berpindah ke tangan Umar sampailah wafatnya
pula. Kemudian baru disimpan oleh anaknya Hafsah yang juga isteri Rasulullah.
Ini bukan sahaja kerana dia sendiri menghafalnya serta pandai pula membaca dan
menulis, bahkan juga kerana belum jelas lagi siapa pengganti Umar agar dapat
diserahkan naskhah itu kepadanya.
Di
zaman Usman Affan, timbullah beberapa faktor yang mendorong Al-Quran disalin
semula. Pernah Huzaifah Al-Yaman ketika berada di Azerbaijan dan Armenia
menyaksikan pertelingkahan yang berlaku antara orang Sham dengan orang Iraq
sekitar bacaan Al-Quran. Lalu dilaporkanlah kepada Usman dengan kiranya masalah
itu dapat diatasi. Malah Usman sendiri pun pernah melihat kejadian yang sama,
sebab itu dia berkata: “Sedangkan engkau berada berhampiran denganku bercakaran
dan salah-menyalahi antara satu sama lain, maka apatah lagi mereka yang tinggal
jauh dariku, sudah tentu perbalahan mereka lebih dahsyat dari kamu. Wahai para
sahabat Rasulullah, berhimpunlah kamu dan tuliskan Al-Ouran untuk menjadi
pedoman ikutan sekalian orang.”
Sekali
lagi tugas penyusunannya diketuai oleh Zaid bin Thabit. Maka dimintalah mashaf
yang disimpan oleh Hasfah sebagai sandaran. Pedomannya ditetapkan oleh Usman,
iaitu hendaklah ditulis menurut loghat (dialek) kaum Quraisy, sebab Al-Quran
diturunkan menurut dialek mereka. Hasilnya lahirlah beberapa naskhah yang
kemudiannya dihantar ke Makkah, Syria, Basrah, Kufah dan satu lagi disimpan oleh
Usman sendiri. Dan bersama mashaf tersebut diutuskan kepada setiap wilayah itu
seorang Huffaz khas untuk membetuli bacaan di dalam mashaf yang dibawanya. Oleh
Usman diperintahkan agar dibakar segala mashaf peribadi yang nampaknya mendapat
sokongan ramai, kecuali tentangan yang tak bertenaga dari Abdullah bin Mas’ud.
Terhadap tindakan Usman ini, Ali mengatakan: “Jangan kamu mengata-ngatakan
kepada Usman sesuatu yang tidak baik. Sesungguhnya demi Allah, segala sesuatu
yang dilakukannya terhadap mashaf itu adalah dengan persetujuan dan kehendak
dari kami semua”.
Mashaf
Usmani ditulis tanpa tanda bacaan, jadi ia berkemungkinan dibaca dengan
berbagai-bagai cara. Selama lebih 40 tahun mashaf ini dipakai oleh umat Islam,
hinggalah ke zaman pemerintahan Abdul Malik bin Marwan (685-705 M) yang
sejak:itu bermacam-macam kesamaran timbul mengenai bacaannya. Oleh
pembesar-pembesar negeri seperti AI-Hajjaj bin Yusuf Al-Saqafy dan Ubaidullah
bin Ziyad diperelokkanlah perkataan-perkataannya agar Iebih jelas serta senang difaham.
Pembetulan ini dilakukannya terus-menerus, dan kemuncaknya ialah pada akhir
abad ke-3 H. apabila Al-Quran dibubuh titik dan baris. Tokoh-tokoh yang
terlibat ialah Abul-Aswad ad-Dualy, Yahya bin Yakmar dan Nasim bin Asim
Al-Laisy. Kemudiannya disusuli oleh penulisan nama-nama surah, membahagikan
Al-Quran kepada juzuk-juzuk dan sebagainya. Semuanya ini berlaku meskipun
selepas wafat Nabi, namun ianya dilakukan secara tauqifi (menurut pandangan
Nabi).
Pada
zaman AI-Walid bin Abdul Malik (705-715 M) diperintahkannya Khalid Abi Hiyaj
mencantikkan tulisannya. Mulanya hingga akhir kurun ke-4 H. dipilih seni khas
gaya Kufi, tetapi kemudiannya pada awal abad ke-5 H. Iebih disukai gaya Nasakh.
Mulai abad ke-6 H. (1145 M) diusahakanlah terjemahan pertama Al-Quran dalam
bahasa Latin untuk keperluan Gereja Clugni, tetapi baru dapat diterbitkan pada
1543 oleh penerbitan Bibliander di Basle. Dan berdasarkan naskhah Latin inilah
Al-Quran diterjemahkan ke bahasa Italy, Jerman dan Belanda. Ada pun terjemahan
dalam Bahasa Melayu telah dirintis oleh Syeikh Abdur Rauf Singkel pada abad
ke-17 M. di Acheh berdasarkan Tafsir Al-Baidhawi.
Dengan
sejarah ringkas ini dapatlah difahamkan betapa terjaminnya keselamatan Al-Quran
dari semasa ke semasa. Sejarah pembukuannya jelas, demikian juga sejarah
pemeliharaannya. Tidak pernah terdapat sebarang bukti yang ada pihak yang
berjaya menyebarkan Al-Quran, palsu, atau sekurang-kurangnya berjaya
menyelewengkan ayat-ayat tertentu. Tiadanya penyelewengan ini dan terjaminnya
keselamatan Al-Quran bukannya secara kebetulan saja, tetapi memang kerana ianya
telah dipelihara oleh Allah sendiri dalam firman-Nya: “Sesungguhnya Kami yang
menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami tetap memeliharanya” (Al-Hijr: 9)
Keistimewaan
seperti ini tidak ada pada kitab Injil; suatu kitab yang telah mengalami banyak
perubahan, baik dalam bentuk pembuangan atau penyisipan pada ayat-ayatnya.
Contoh terkemuka tentang adanya perubahan ini temyata sekali pada ayat yang
dikenali sebagai “Comma Johaeum” atau Tiga Kesaksian Langit: “Kerana Tiga yang
menjadi saksi di syurga, iaitu Bapa dan Firman dan Ruhul-Kuddus, maka ketiganya
itu menjadi satu” (St. John 5:7). Menurut Rev. Dr. Charles Francis Potter, ayat
ini dianggap sebagai “a deliberate to forgony”, suatu pemalsuan yang
disengajakan. Malah untuk kesemua 25 ayat dalam Fasal 21 Injil St. John itu,
oleh Jemaah Penyunting The Holy Bible, Catholic ed. RSV, Nelson 1966 ditegaskan
bahawa: “This chapter was added later, either by the evangelist or by a
disciple,” bahawa fasal ini ditambah kemudian, sama ada dari evangelist atau
oleh seorang murid. Begitu juga dalam 101 St. Mathews (15:24) dikatakan bahawa
Agama Kristian hanyalah khusus buat kaum Yahudi sahaja. Tetapi ini ditolak oleh
para penganut Kristian dengan mengemukakan bukti dari Injil St. Marks (16:15).
Anehnya menurut Jemaah Penyunting yang sama, “it is possible that Mark did not
write it,” iaitu ada kemungkinan yang Mark tidak menulisnya.
Demikianlah
perbezaan besar antara sejarah Al-Quran dengan sejarah Injil; yang satu masih
terpelihara keasliannya, sedangkan yang satu lagi sudah dikotori oleh tangan
manusia. Dan dalam hal ini, sesungguhnya jasa Abu Bakar tidaklah ternilai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan