Layan!!

Ahad, 8 Julai 2012


BAB 2: SASTERA ARAB JAHILIAH
Seperti ditegaskan sebelumnya, orang-orang Arab Jahiliah tidaklah benar-benar jahil dalam segenap seginya, sebab dalam bidang-bidang tertentu, mereka adalah maju. Terutamanya dalam lapangan kesusasteraan, ternyata sekali mereka mempunyai keahlian yang tinggi. Memangnya sebahagian Orientalis seperti Prof. Nallino dan Margolioth meragui wujudnya apa yang dikatakan sastera Jahiliah itu. Tetapi ini dengan tegas ditolak oleh Dr. Ali Al-Jundi, Dr. Ahmad Amin dan Dr. Aishah Abdul Rahman. Malah Al-Quran sendiri menegaskan wujudnya penyair-penyair di dalam masyarakat Arab Jahiliab (Al-Syu’ara: 224,A1-Haqqah: 41, Al-Saffat: 36).
Dalam kalangan masyarakat Arab, selain dari para-para Hakim yang mempunyai kedudukan tertinggi, penyair-penyair juga dipandang tinggi dan terhormat. Biasanya bila pada sesuatu qabilah muncul seorang penyair, maka datanglah utusan dari qabilah-qabilah lain mengucapkan selamat kepada qabilah itu. Maka diadakanlah pesta dan jamuan besar-besaran, dengan menyembelih binatang-binatang ternak, yang diiringi oleh tarian dan nyanyian wanita-wanita qabilahnya. Antara penyairpenyair yang terkenal pada zaman Jahiliah ialah Hassan bin Thabit, Hatim At-Tai, Al-A’sya, Muhalhil bin Rabiah, Zuheir bin Abi Salma, Tar-fah bin Al-Abd, AI-Qattami, AJ-Hutaiah dan sebagainya.
Kedudukan yang terhormat tersebut adalah memandangkan peranannya sendiri sebagai jurucakap qabilahnya, dengan membelanya di samping merendahkan qabilah lain. Dengan itu dia melebihi seorang pahlawan yang membela qabilahnya dengan pedang dan tombaknya. Betapa besarnya pengaruh syair dapat dilihat dari segi kesannya apabila dia memuji-muji seseorang yang sebelumnya hina, maka dengan mendadak darjatnya naik. Sebaliknya jika dikejinya, akan berlakulah seperti apa yang diucapkannya.
Selain itu, para penyair juga merupakan seorang jurnalis zamannya, iaitu kerana kebolehannya melaporkan kejadian-kejadian penting yang berlaku. Seperti disebutkan dulu, sejarah penduduk Badawi yang bermula sejak 150 tahun sebelum Islam itu sendiri dapat dikesan melalui hasil-hasil puisi mereka. Misalnya kejadian-kejadian seperti Perang al-Basus, sifat ‘diyafah’ (pemurah dan melayan tetamu), penyembelihan binatang-binatang di kubur-kubur pahlawan dan sebagainya adalah diketahui melalui syair-syair mereka.
Bukan sahaja sebagai jurnalis, malah juga sebagai sejarawan kaumnya. Sebagai ahli sejarah, dia mengetahui hal-ehwal salasilah kaumnya. Dan dengan ini dia merupakan cendekiawan qabilahnya sendiri. Dan yang tidak kurang pentingnya, para penyair ini dianggap mempunyai kuasa yang tersembunyi daripada orang kebanyakan, lantaran hubungannya dengan kuasa-kuasa ghaib atau syaitan. Malah bagi Dr. Hitti, pengetahuannya diperolehi dari syaitan. Demikianlah betapa penting dan mulianya kedudukan para penyair dalam kalangan masyarakat Arab ketika itu.
Mengkaji sastera zaman Jahiliah ini, akan kita dapati beberapa ciri umum di dalamnya. Pertamanya, sastera Jahiliah lebih merupakan pancaran masyarakat Jahiliah itu sendiri, yakni ciri-ciri masyarakat Jahiliah dapat dikesan melalui syair-syair tersebut. Pepatah Arab sendiri ada mengatakan: Bahawa syair Arab adalah dewan bangsa Arab. Maksud ‘dewan’ Arab ialah catatan tentang adat istiadat, tatasusila, agama, kecerdasan bangsa Arab. Atau lebih tepat, bangsa Arab dengan dewan ini telah mencatat dirinya sendiri. Kiranya keadaan ini dapat dibandingkan dengan puisi Melayu sendiri, yang oleh Prof. St. Takdir Alisjahbana dianggap sebagai pancaran masyarakat Melayu lama. Misalnya melalui syair-syair Jahiliah dapat kita ketahui yang mereka (Badawi), tidak mempunyai kepercayaan tertentu, sebaliknya menganut faham animisme. Sebagai contoh, mereka menganggap padang pasir didiami oleh syaitan yang suka mengacau mereka.
Melalui isi kandungannya juga, tema-tema yang ditekankan di dalam syair-syair Arab kebanyakannya stereotaip, yakni tidak banyak aspek-aspek baru yang diceritakannya. Yang jelas, kebanyakannya hanya terbatas tentang kisah-kisah kaumnya atau keadaan sekitarnya sahaja. Ertinya sedikit sekali hal-hal baru yang cuba disentuhnya. Khayal mereka banyak diisi oleh ternakan kesayangan mereka seperti unta dan pansifatan tentang tanah-tanah mereka yang datar atau tinggi, juga penuh dengan pujian-pujian terhadap seseorang tertentu, baik hidup atau mati, yang ada memiliki sifat-sifat unggul, seperti ‘Diyafah’ atau ‘Muruah’.
Dengan keadaan seperti ini, tidak hairanlah jikalau dalam menggambarkan sesuatu suasana yang sama, terdapat berbagai corak yang beraneka ragam. Suatu hal yang sama telah mendapat sorotan dari berbagai segi. Jadi dari segi ini, memangnya terdapat kemajuan. Sebab itu, kata Dr. Ahmad Amin, tidaklah jauh dari kebenaran jika dikatakan bahawa kata-kata Arab yang berhubungan dengan unta adalah sebanyak satu pertujuh belas dari seluruh kata dalam Bahasa Arab!
Suatu hakikat yang mungkin tidak dapat ditolak ialah bahawa para penyair adalah kepunyaan kaumnya. Ini sebenarnya adalah cirri-ciri ‘Asabiyyah’ di mana seseorang itu hanya mentaati kaumnya saja. Dengan membaca syair-syair Jahili, akan terasa oleh kita bahawa peribadi penyair tenggelam dalam kaumnya, seolah-olah dia tidak merasakan wujud dirinya. Jarang sekali terdapat syair yang menggambarkan perasaan si penyair serta menampakkan dirinya terlepas dari kongkongan kaumnya. Hal ini jelas dalam ‘muallaqah’ Amar ibn Kulsum.
Selain dari itu, syair adalah hasil karya suatu golongan masyarakat yang tinggi. Dari hiasan bahasa dan lafaz-lafaz indah yang dipergunakan itu, ternyata sekali bahawa ianya bukan bahasa rakyat umum. Sebaliknya pula pada peribahasa yang lebih menampakkan ‘suara rakyat’ di dalamnya, dan dengan itu lebih mewakili rakyat umum daripada syair.
Tentang bahasa sastera yang dipakai, patut diketahui bahawa dalam bahasa Arab terdapat beberapa telor; seperti telor Ananah untuk suku Tamim, Kaskasyah untuk suku Asad, Jajaah untuk suku Khuzaah, Shansyanah untuk suku Arab Yaman. Bagaimanapun kerana sebab-sebab tertentu, telor Quraisylah yang menguasai bahasa sastera sejak zaman Jahiliah. Ertinya karya-karya sastera yang dihasilkan oleh penyair-penyair Jahiliah adalah menggunakan bahasa atau telor Quraisy.
Sebab utama penguasaan dialek Quraisy ialah faktor agama, di mana dalam kegiatan-kegiatan agama, qabilah Quraisylah yang memainkan peranan terpenting. Demikian juga dari segi ekonomi, merekalah juga yang memegang terajunya. Dari segi politik pula, terdapat suku-suku Arab yang takut diancam oleh kerajaan Rom dan Habshah, lalu mereka beralih meminta sokongan Makkah sendiri. Dengan itu seperti kata Dr. Shauqi Dhaif, ini memberi kesempatan baik kepada suku Quraisy untuk mempengaruhi mereka, termasuk dalam soal bahasa. Dan akhirnya dari segi sosial pula, apabila Makkah menjadi tempat tumpuan berbagai-bagai qabilah, khasnya di Pasar Ukkaz itu, ini menyebabkan orang Quraisy tidak melepaskan peluang untuk memetik kata-kata yang indah atau bahasa yang bermutu, dan dengan ini dapat menguat dan memperindahkan lagi dialek Quraisy sendiri. Inilah di antara sebab-sebab dialek Quraisy dapat menguasai bahasa sastera dan syair pada zaman Jahiliah.
Akhirnya dalam mengkaji sastera Arab Jahiliah ini, kita tidak dapat melupakan peranan Pasar Ukkaz dalam hal ini. Memang selain dari Suq Ukkaz, terdapat pekan-pekan lain di Al-Majjanah, Dumatal-Jandal dan Zulmajaz. Tetapi dalam kegiatan sastera, Pasar Ukkazlah yang lebih menarik perhatian. Sebagai pasar tahunan, ia menjadi tempat tumpuan utama kafilah-kafilah Arab dari segenap pelusuk dan penjuru. Di sinilah diadakan pertandingan menggubah syair, di samping mendengar cerita-cerita sementara menanti waktu mengerjakan Haji.
Begitu pentingnya Pasar Ukkaz ini, sehingga oleh Prof. Hifti ia dianggap sebagai ‘Academie Francaise’ di Tanah Arab ketika itu. Hasil dari kongres kesusasteraan tahunan ini, lahirlah syair-syair bermutu yang memenangi pertandingannya. Di antara yang termasyhur ialah antologi syair ‘AI-Muallaqat Al-Sab’a (Seven Odes) karya Umrul-Qais yang telah mendapat penghormatan untuk digantung di Kaabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan