Layan!!

Sabtu, 14 Julai 2012

Majlis Syura


Majlis  Syura :
Pendahuluan :
o    Selepas kewafatan nabi Muhammad s.a.w. pengganti baginda dikenali sebagai khalifah.
o    Empat orang khalifah yang selepas kewafatan Nabi dikenali sebagai Khalifah al-Rasyidin. Keempat-empat orang Khalifah al-Rasyidin dipilih melalui Majlis Syura.
o    Majlis syura ini wujud sejak zaman Rasullulah dan diamalkan oleh Khulafah al-Rasyidin.
Isi :
Latar Belakang dan Konsep :
o    Merupakan Majlis Mesyuarat negara yang berperanan membantu ketua agama Islam melaksanakan pentadbiran kerana ia dibentuk berasaskan suara rakyat.
o    Perkataan syura berasal  daripada perkataan Arab yang bermaksud mesyuarat . Kepimpinan pemerintahan dan pentadbiran Islam berasaskan sistem perbincangan , perundingan dan nasihat dalam menentukan keputusan dan ketetapan.
o    Ramai ahli sejarah menyatakan secara raasmi Majlis Syura dibentuk oleh Khalifah Umar al-Khattab, namun Majlis Syura telah diperkenalkan dan dilaksanakan oleh Rasullulah terlebih dahulu.
Tugas :
o    Menjadi tempat rujukan untuk melaksanakan  undang-undang Allah.
o    Sebagai kuasa eksekutif pada zaman Kalifah al-Rasyidin.
o    Memilih calon khalifah, contohnya semasa perlantikan Khalifah Uthman bin  Affan.
o    Mempunyai kuasa untuk melucutkan jawatan khalifah jika ia gagal melaksanakan tugasnya.
o    Memberi bantuan nasihat teknikal yang berkaitan dengan perundangan.
Bilangan Ahli :
o    Bilangan ahli syura tidak ditetapkan kerana bergantung kepada keadaan. Contohnya  pada zaman Rasullulah terdiri daripada ketua golongan Muhajirin, Ansar, para sahabat yang terdekat dan panglima tentera.
Kelayakan Ahli :
o    Adil, berilmu, sejahtera anggota tubuh badan, mempunyai pemikiran yang waras dan tajam serta tahu ilmu siasah (mempunyai visi /wawasan terhadap masa depan negara, berani dan warak. )
Prinsip :
o    Pentabiran dan pengurusan berlandaskan sistem perbincangan dan perundingan ( Musyawarah ) dalam menentukan sesuatu keputusan dan tindakan.
o    Keputusan dan ketetapan dalam pemerintahan / pentadbiran dibuat nmelalui persetujuan hasil daripada perbincangan (Mudhakarah )
o    Kesepakatan, kesefahaman dan kesatuan pendapat serta pendangan dalam menangani dan menyelesaikan sesuatu isu atau permasalahan.
o    Menajadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas sandaran dan sumber rujukan dalam membuat pertimbangan untuk menentukan keputusan.
o    Menggunakan kebijaksanaan hikmah dan sifat lemah-lembut ‘maw’izah’ semasa mengemukakan pendapat, pandangan dan pendirian dalam perbincangan.
o    Keputusan dan tindakan yang diambil/diputuskan hendaklah mengutmakan kepentingan maslahat umum.
o    Menghormati dan menghargai pandangan, pendapat sereta nasihat yang diketengahkan olah orang lain.
Kesimpulan :
Amalan Syura merupakan aspek penting yang dibrikan penekanan dalam sistem kepimpinan Islam. Tunggak dalam dasar pemerintahan dan pentadbiran. Pelaksanaan semangat syura di dalam pengurusan dituntut oleh al-Quran dan al-sunnah kerana ia membawa kepada keberkesanan ayng bertambah dalam pendabiran sesebuah kerajaan atau organisasi.

Kegiatan Ekonomi Islam


o    Pembangunan bererti pembangunan manusia dan persekitaran fizikal serta sosio budayanya. Proses pembangunan Islam bersifat komprehensif iaitu meliputi aspek-aspek akhlak, kerohanian, dan kebendaan. Ekonomi pula adalah perlakuan muslim dan mukmin dalam menguruskan sumber-sumber bagi mencapai matlamat dan kesejahteraan dunia dan akhirat. Oleh itu, proses pembangunan ekonomi Islam digerakkan melalui konsep kesyukuran dan keadilan kerana Islam menentang keras konsep kekufuran dan kezaliman. Pembangunan ekonomi Islam bergantung pada aktiviti-aktiviti ekonomi. Konsep pembangunan ekonomi Islam tidak terpisah daripada konsep akidah, syariah dan akhlak.
Isi :
 Aktiviti-aktiviti ekonomi yang diharuskan :
o    Pembangunan ekonomi Islam mengkehendaki seseorang muslim supaya menjalankan ekonomi secara yang halal. Kegiatan ini melibatkan aktiviti pengeluaran dan penggunaan. Barangan pengeluaran mestilah yang diharuskan oleh Islam seperti barangan yang bersih, suci, berguna dan tidak membahayakan.
o    Proses pengeluaran mestilah betul, tanpa penipuan, penganiayaan, penindasan serta menjaga hak dan kebajikan pekerja. Pekerja pula mesti menjaga kualiti pengeluaran dan nama baik syarikat.
o    Dalam proses penggunaan, mesti dielakkan sifat boros, pembaziran dan bakhil. Umat Islam digalakkan bersifat berjimat-cermat, berhemah dan bantu-membantu dan menggunakan perkara-perkara yang diharuskan sahaja.
Aktiviti-aktiviti ekonomi yang dilarang :
o    Larangan ini merangkumi aktiviti-aktiviti pengeluaran dan penggunaan. Riba, judi, lacur, kikir, boros, membazir, menyorok barang keperluan, menipu timbangan, menipu sukatan, menjual beli barang yang belum dimiliki dan aktiviti-aktiviti ekonomi yang boleh merosak, membahayakan, mengganggu keselamatan adalah diharamkan.
Campur tangan pihak berkuasa :
o    Islam mengharuskan campur tangan pihak berkuasa dalam aktiviti ekonomi. Ini merangkumi aspek-aspek pengurusan, perancangan, dan agihan. Adalah menjadi kewajipan pihak pemerintah kerajaan Islam melaksanakan ekonomi Islam dan membanteras segala penyelewengan. Bidang kuasa pemerintah adalah bidang-bidang di luar kemampuan individu untuk melaksanakannya.
Agihan pendapatan :
o    Islam melarang berlakunya perbezaan pendapatan yang besar di kalangan penduduk bagi mengelakkan permusuhan.
Jaminan persamaan peluang :
o    Islam memberikan peluang seluas-luasnya dalam sesuatu perkara kepada yang berhak, menempatkan seseorang pada tempatnya, yakni sesuai dengan kebolehannya.
Memerangi riba, rasuah dan monopoli :
o    Islam menganggap ketiga-tiga amalan ini sebagai jenayah paling buruk dan tidak berperikemanusiaan. Perbuatan ini boleh memutuskan hubungan dan menghapuskan sangka baik antara golongan kaya dengan golongan miskin dan menghancurkan konsep keadilan rakyat.
Polisi kerja dan upah buruh :
o    Islam mengkehendaki golongan buruh dilindungi dan dibela nasib mereka. Mereka perlu diberi hak asasi, mendapat tangga gaji minima, disediakan kemudahan hidup dan sebagainya.
Kesimpulan :
Kesimpulannya, pembangunan ekonomi Islam adalah berbeza dengan pembangunan ekonomi barat. Pembangunan ekonomi Islam adalah sebahagian daripada keseluruhan system hidup Islam merangkumi aspek kebajikan individu, masyarakat dan negara, membela nasib golongan susah, menjaga hak golongan berada, mengawal aktiviti majikan, menjaga nasib pekerja, tidak terpisah daripada aspek akidah, syariah dan akhlak serta suatu gabungan yang menyeluruh dan bersepadu.

Jumaat, 13 Julai 2012

Faktor Kemunculan Mazhab Dalam Islam


Latar belakang kemunculan  mazhab :
o    Mazhab merupakan aliran pemikiran dalam Islam.
o    Kemunculan mazhab bermula, selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W.
o    Kelahiran mazhab telah membawa pelbagai kesan positif dan negatif.

Aliran-aliran mazhab yang penting :
o    Antara Mazhab yang muncul ialah Khawarij, Syiah, Murji’ah, Muktazilah dan Ahli Al-Sunnah Wal-Jamaah.

Isi :

o    Perbezaan  ilmu pengetahuan, kebolehan dan pengalaman dalam kalangan mereka. Di samping itu tidak semua umat Islam yang hidup  sezaman dengan Nabi Muhammad s.a.w dapat bertemu baginda dan mendengar semua hadis daripada baginda. Hal ini telah menimbulkan  perbezaan pendapat antara mereka, khususnya penduduk luar Madinah yang tidak pernah bertemu dengan Rasulullah. Apabila semakin jauh daripada zaman Rasulullah maka perselisihan dan perbezaan itu  semakin ketara.
o    Pengaruh Politik. Berlaku perselisihan di antara Bani Hasyim dan Bani Umaiyah telah sampai ke kemuncaknya sehingga berlaku pergeseran politik dalam kalangan penyokong Khalifah Uthman dan Saidina Ali. Kesannya ialah berlakunya Perang Jamal dan Perang Siffin yang membawa kepada kelahiran mazhab Khawarij dan mazhab Syiah.
o     Pengaruh Ideologi dan Budaya Asing berlaku semasa zaman Khalifah al-Ma’mum, al-Mu’tazim dan al-Watia, aktiviti penterjemahan  buku-buku falsafah Yunani begitu giat dijalankan. Tujuan asalnya adalah untuk menimba ilmu pengetahuan sesuai tuntutan agama Islam. Tetapi akhirnya falsafah Yunani yang banyak menggunakan akal fikiran menyebabkan kelahiran mazhab Muktazilah yang  juga menggunakan akal fikiran dalam mengintrestasi  hukum dan akidah Islam.
o    Semangat Assabiyah  Yang Masih Wujud. Nabi Muhammad s.a.w telah menggantikan semangat assabiyah dengan semangat akidah untuk menyatukan umat Islam Walau bagaimanapun semangat assabiyah timbul semula ketika perlantikan pengganti Rasulullah sebagai pemimpin umat Islam. Perselisihan berlaku di antara golongan Ansar, Muhajirin dan penyokong Ali. Pada zaman Khalifah Uthman pula, api assabiyah semakin menyala yang menyebabkan berlaku perpecahan dan perselisihan di antara Bani Umaiyah dan Bani Hasyim.
o     Pengaruh Daripada Penganut Agama Lain Yang memeluk Islam. Selepas pembukaan jajahan baru oleh orang Islam, ramai penganut agama lain memeluk agama Islam yang terdiri daripada Yunan, Nasrani dan Majusi. Mereka memeluk agama Islam dengan membawa ajaran dan amalan keagamaan mereka. Antaranya mereka memasukkan dalam akidah Islam perbahasan ilmu Kalam tentang konsep  ikhtiar, al-Jabr dan sifat-sifat Allah.
o     Membincangkan Persoalan di Luar Jangkaan Akalsetelah tersebarnya pemikiran falsafah dalam kalangan umat Islam dalam pengajian akidah telah menjerumuskan mereka dalam perbahasan persoalan-persoalan yang berada di luar jangkaan akal manusia seperti masalah mengikhtibatkann sifat-sifat Allah dan menafikannya persoalan kekuatan hamba di samping kekuatan Tuhan. Dengan membahaskan persoalan yang seumpama ini telah membuka pintu perselisihan yang luas kepada ummah.
o    Perebutan jawatan Khalifah yang merupakan sebab perselisihan  ummah daripada segi politik. Kaum Ansar dan Muhajirin pada mulanya masing-masing berasa berhak menggantikan kepimpinan Rasulullah selepas kewafatan Baginda. Dalam hal ini umat Islam juga berselisih faham tentang siapa yang lebih  berhak menjadi khalifah
o     Ayat-ayat Mutasyabihat  yang telah membawa kepada perselisihan ulamak dalam mentafsirkannya. Perselisihan terhadap ayat-ayat ini memuncak hingga tahap kafir menkafirkan antara satu sama lain.
 Kesimpulan :

o    Kemunculan pelbagai mazhab ini juga telah memberikan kesan positif dan negatif terhadap perkembangan Islam secara keseluruhannya.
o    Kelahiran pelbagai mazhab telah menimbulkan pelbagai idea dan interpretasi baharu mengenai isu-isu agama.
o    Kelahiran pelbagai mazhab telah membuka ruang ke arah perkembangan ilmu pengetahuan.
Dari sudut negatif, kelahiran pelbagai mazhab telah membentuk pengikut yang taksub kepada satu-satu mazhab dan menimbulkan perbalahan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam

Perkembangan Institusi Pendidikan Tamadun Islam


Institusi Pendidikan Arab :
1.     Masjid – untuk beribadat, berdakwah, dan pusat pembelajaran.  Contoh Masjid Jami’al Manshur dan Masjid Jami’ah Amru b’ Ash -  subjek fekah. al-Quran, Hadis dan bahasa Arab.
2.     Madrasah – mengambil alih peranan masjid sebagai pusat pelajaran kerana berlaku pertambahan pelajar.  Contoh madrasah terawal didirikan oleh Nizam al-Muluk di Baghadad  dikenali sebagai Madrasah Nizhamiah.  Contoh imam yang mengajar ialah imam al-Ghazali, Baha al-Din, dan Salah al-Din.
3.     Rumah ulama – rumah Arqam ibn Arqam digunakan pada zaman awal perkembangan Islam.  Rumah Nabi Muhamad SAW dan rumah ulama seperti Ibnu Sina dan iman al-Ghazali digunakan untuk pembelajaran.
4.     Istana – pada zaman khalifah Muawiyah digunakan untuk pembelajaran syair Islam.  Dikenali sebagai Shalunatul Adabiah.  Zaman Abbasiyah tempat tersebut digunakan sebagai tempat pertemuan para ulama.
5.     Perpustakaan – didirikan pada zaman Abbasiyah.  Terdapat 20 perpustakaan di Spanyol yang terkenal antaranya perpustakaan Cordova yang memiliki 600,000 jilid buku pada abad ke-10.  Perpustakaan Darul Hikmah di Kaherah dan perpustakaan Tripoli yang berperanan meminjam buku ,penerbitan, penulisan,penterjemahan, dan pendidikan karya ilmiah
6.     Sekolah – berperanan menjalankan peyelidikan dan penemuan sains.  Ahli akademik meluaskan pembelajaran ilmu silam yang diwarisi tamadun Yunani.
7.     Universiti – contoh Nizamiah, Munstansiriah, al-Azhar,Rasyidiah, dan al- Zaitouna menyebarkan ilmu pengetahuan. Di Spanyol universiti Cordova, Servilla, Madaga, dan Granada menjadi tumpuan pelajar-pelajar dari seluruh Eropah.

Pembinaan, Perkembangan dan Kemerosotan Tamadun


Lahir, berkembang dan merosot yang menjadi fitrah tamadun manusia tidak sukar difahami kerana tamadun itu sendiri adalah rakaman perjalanan hidup manusia. Manusia yang sentiasa memerhatikan perjalanan dirinya akan segera dapat memahami usia tidak pernah bertahan pada suatu peringkat biologi.

Pembinaan, Perkembangan dan Kemorosotan Tamadun Munif Zariruddin Fikri Nordin Apakah yang wujud di dalam sesebuah tamadun, dan apakah kandungan dan pengisian tamadun itu? Inilah antara persoalan penting yang sering kali didebatkan dalam wacana tamadun semenjak daripada zaman Ibn Khaldun menerusi karya agungnya Muqaddimah sehingga hari ini. Sesungguhnya penelitian pada apa yang wujud dan apa yang terkandung di dalam sesebuah tamadun adalah penelitian pada pembinaan, perkembangan dan kemerosotan tamadun kerana bangun dan jatuhnya sesuatu tamadun itu sangat dipengaruhi oleh asas dan sumber yang mendasari pembinaannya, hubungan-hubungan yang menghasilkan pembangunan itu, serta aspek-aspek yang diberi penekanan dalam perkembangan dan juga kemerosotannya. Lahir, berkembang dan merosot yang menjadi fitrah tamadun manusia tidak sukar difahami kerana tamadun itu sendiri adalah rakaman perjalanan hidup manusia. Manusia yang sentiasa memerhatikan perjalanan dirinya akan segera dapat memahami usia tidak pernah bertahan pada suatu peringkat biologi. Manusia bertukar daripada peringkat bayi kepada peringkat kanak-kanak, peringkat remaja, peringkat dewasa sehinggalah ke peringkat tua. Apa yang berlaku kepada manusia sebenarnya menggambarkan apa yang berlaku kepada tamadun. Tamadun mengalami saat kelahiran, saat perkembangan, saat kecemerlangan dan diakhiri dengan saat kemerosotan sama seperti apa yang dialami oleh manusia. Analogi ini menjadi lebih ironi lagi kerana yang melahirkan tamadun itu ialah manusia, yang mengembangkan tamadun juga manusia, malah yang membawa kepada kemerosotan tamadun juga manusia. Tepat sekali pandangan Ibn Khaldun (2000) manusia adalah agen tamadun serta pandangan Malek Bennabi (1992) yang menganggap manusialah yang menjadi unsur terpenting bagi tamadun. Watak-watak yang ditonjolkan oleh manusia adalah watak-watak yang dengan sendirinya menentukan pembinaan, perkembangan dan kemerosotan tamadun. Model-Model Tamadun Perbincangan dan penilaian yang objektif tentang bangun dan jatuh sesebuah tamadun manusia sangat bergantung kepada kerangka model atau teori perkembangan tamadun. Oleh yang demikian, dalam bahagian ini, empat model perkembangan tamadun akan dikemukakan. Model pertama ialah model tiga tahap perkembangan kerajaan atau organisasi sosial yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun (1332-1406) iaitu (Wan Hashim 1997: 75-76: a. Tahap awal atau kelahiran yang dicirikan oleh perasaan kekitaan atau asabiyah bagi memenuhi keperluan asas, dan kemudiannya diperkukuhkan oleh peranan agama. b. Tahap kehidupan menetap atau bertamadun yang dicirikan oleh kelahiran sistem pemerintahan yang membawa kepada pertumbuhan bandar dan memberi kesan kepada stratifikasi sosial. c. Tahap lemah atau kejatuhan yang dicirikan oleh konflik politik dan krisis ekonomi sehingga membawa kesan kepada stratifikasi sosial dengan peningkatan kemewahan dan kelunturan semangat kekitaan. Model Ibn Khaldun ini yang dikenali juga sebagai ‘teori kitaran’ kemudiannya dikembangkan pula oleh Arnold Toynbee (1889-1979) dalam bukunya A Study of History. Toynbee sependapat dengan Ibn Khaldun bahawa agama dan stratifikasi sosial memainkan peranan penting dalam melanjutkan hayat sesuatu tamadun. Toynbee juga membuat penambahan apabila secara khusus memperincikan lagi tahap ketiga model ini dengan membahagikannya kepada tiga subfasa iaitu (Wan Hashim 1997: 77: -Keretakan -Perpecahan -Kejatuhan Model ketiga ialah model yang diketengahkan oleh Malik Bennabi (1905-1973). Menurut Wan Hashim (1997: 78), Malik juga dapat dianggap terpengaruh dengan teori kitaran Ibn Khaldun. Walau bagaimanapun, beliau berjaya membentuk skemanya yang tersendiri yang berbeza dengan Ibn Khaldun hasil penelitiannya terhadap tahap-tahap perkembangan sejarah tamadun Islam. Justeru, Malik membahagikan teorinya juga kepada tiga tahap iaitu: a.Tahap masyarakat pra-tamadun (Mujtama‘ qabl al-hadari) iaitu pandangan yang belum mantap terhadap aspek-aspek kebendaan, idea dan kemanusiaan. Ciri-cirinya ialah seperti penyembahan berhala, semangat kabilah yang kuat, diskriminasi gender dan keterbatasan interaksi sosial seperti yang wujud dalam kehidupan jahiliah pra-Islam. b.Masyarakat bertamadun (Al-Mujtama‘ al-mutahaddir) iaitu kelahiran peringkat awal budaya baru berteraskan Islam. Ciri-cirinya ialah seperti perluasan hubungan silaturahim, kerjasama dan interaksi sosial, cetusan idea-idea intelek, sistem politik, ekonomi dan sosial seperti yang ditonjolkan dalam kehidupan pasca-hijrah Muhajirin dan Ansar. c. Masyarakat pasca-tamadun (Mujtama‘ ba‘d al-hadari) iaitu peringkat kejatuhan setelah meniti kejayaan cemerlang. Ciri-cirinya ialah kebekuan idea, pemusatan kuasa dan kepentingan, penyelewengan agama serta kecintaan terhadap kekayaan material dan kemewahan. Model keempat ialah model Ali Shariati (1933-1977). Menurut Ali Shariati (1979), ada dua perkara yang penting dalam perkembangan tamadun, dan kedua-dua perkara tersebut berada dalam diri manusia. Pertama ialah penghijrahan manusia dari tempat asal ke tempat baru. Dalam sejarah dua puluh tujuh tamadun manusia, tidak ada tamadun yang lahir dan berkembang di kalangan masyarakat primitif yang tidak pernah berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. (Ali 1979: 44) Kedua, peranan manusia dalam menentukan nasib dan masa depan hidupnya. Dengan akal fikiran dan tenaga, manusia bertanggungjawab menguruskan diri dan masyarakat, mengubah keadaan yang tidak baik kepada baik berpandu bimbingan daripada asas dan sumber Islam. (Ali 1979: 48-9) Keempat-empat model yang dikemukakan ini masing-masing meneliti dengan mendalam ciri-ciri yang wujud dalam setiap tahap tamadun. Ciri-ciri yang dimaksudkan itu mencakupi kandungan tamadun, hubungan-hubungan dalam tamadun serta faktor-faktor yang mempengaruhi bangun dan jatuhnya sesebuah tamadun manusia yang akan dibincangkan di dalam bahagian-bahagian seterusnya. Kandungan Tamadun Menurut Ali Abdul Halim Mahmud (1994:19) seorang ulama al-Azhar kontemporari, Ibn Khaldun menyediakan suatu mekanisme penting untuk menilai kandungan apa yang dikatakan tamadun, iaitu sesuatu pencapaian hanya akan dianggap sebagai tamadun apabila perkara-perkara yang berkaitan dengan asas (daruriyyah) dan keperluan (hajiah) telah disempurnakan. Ini bermakna tamadun ialah suatu peringkat penyempurnaan (tahsinat) yang melengkapkan segala perkara yang diperlukan oleh manusia. Oleh yang demikian, isu utama yang dibincangkan dalam wacana tamadun oleh para pemikir daripada pelbagai disiplin sains sosial sejak peringkat awal manusia mengenali ‘pengajian tamadun’ ialah perkara-perkara yang diperlukan oleh manusia pada tahap-tahap tamadunnya yang tertentu. Trend ini dapat ditelusuri melalui karya-karya yang ditulis baik oleh Ibn Khaldun sendiri sehinggalah ke hari ini. Malahan pertembungan tamadun yang digembar-gemburkan sebagai kemuncak kepada sejarah dunia pada penghujung abad kedua puluh jika benar-benar berlaku adalah merujuk kepada perbezaan yang wujud antara sebuah tamadun dengan tamadun yang lain. Pada prinsipnya, seperti yang telah dibincangkan di dalam Pelajaran 1 sebelum ini iaitu sekalipun terdapat perbezaan takrif dan konsep tamadun di antara perspektif Islam dan perspektif Barat dalam memberi penekanan terhadap aspek kebendaan dan kerohanian, namun secara umum, terdapat persamaan antara kedua-dua perspektif ini. Yang dimaksudkan persamaan di sini ialah pengiktirafan tamadun sebagai pencapaian yang tinggi bagi aspek tertentu dalam kehidupan yang merangkumi aspek agama, moral, sastera, estetika dan juga pencapaian sains dan teknologi. Dengan demikian, dapat dikatakan keseluruhan pengkajian tamadun berkisar tentang rangkaian fenomena masyarakat manusia seumpama negara, bandar, sistem sosial, huruf, seni, seni bina, bangunan, agama, undang-undang dan rangka dasar politik. Fenomena-fenomena ini daripada sudut pembahagiannya terdiri daripada dua bentuk iaitu fenomena material dan fenomena spirituil. Pada tahap paling minimum, kandungan tamadun sekurang-kurangnya terdiri daripada enam ciri asas (Wan Hashim 1997: 88-9) iaitu: a. Mempunyai kehidupan di bandar. b. Mempunyai sistem pemerintahan dan kerajaan. c. Mempunyai bahasa dan tulisan. d. Mempunyai sistem perundangan. e. Mempunyai agama dan sistem kepercayaan. f. Mempunyai pengkhususan dalam pekerjaan. Hubungan-Hubungan dalam Tamadun Yang dimaksudkan dengan hubungan-hubungan dalam tamadun ialah kekuatan-kekuatan yang terbentuk di sebalik elemen-elemen penting dalam tamadun. Di antara banyak hubungan, hubungan yang paling dominan ialah agama, ketenteraan dan pasaran. (Shaharom 2000) Ciri setiap hubungan ini berbeza antara satu sama lain, dan masing-masing mempunyai kekuatan dan keistimewaannya yang tersendiri. Daripada sudut pemerkasaan tamadun (empowerment of civilizations), hubungan-hubungan ini sangat berpengaruh dan relatif sehingga dapat dianggap sebagai ‘kuasa’ yang memberi kekuatan kepada tamadun. Hubungan-hubungan tamadun ini juga dalam keadaan-keadaan tertentu dapat mencetuskan persaingan sengit antara tamadun-tamadun manusia. Agama dan Tamadun Dalam pengertian yang lazim difahami, agama ialah kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya (Kamus Dewan 1998). Secara fitrahnya, agama dan kepercayaan bukan hanya merupakan perkara asas yang wujud dalam diri setiap manusia, tetapi juga sudah menjadi keperluan kepada manusia. Faktor-faktor yang mendorong manusia beragama adalah faktor-faktor semula jadi yang bersumberkan diri manusia sendiri iaitu seperti rasa takut yang membawa kepada kecenderungan untuk mendapatkan keselamatan dan perlindungan daripada Tuhan. Dalam hubungan agama dan tamadun, jatuh bangunnya sesebuah tamadun atau kerajaan adalah selari dengan jatuh bangunnya sesuatu agama. Menurut Ismail Yusoff (2001: 147) yang memetik pandangan Smith (1927) dalam In the Beginning: The Origin of Civilization, kepelbagaian nasib politik adalah dimanifestasikan oleh kepelbagaian perkembangan agama. Contohnya, tamadun Barat dipengaruhi oleh agama Kristian, tamadun Timur Tengah, Rusia dan China kebanyakannya dipengaruhi oleh agama Islam dan tamadun Asia Tengah oleh pengaruh Hindu dan Budha. Agama juga mempunyai hubungan fungsi dengan unsur tamadun yang lain seperti moral, etika, ekonomi, undang-undang estetika dan sains. Lazimnya, agama mengajar manusia melaksanakan perkara-perkara yang positif dalam kehidupan seperti berusaha, amanah, sabar dan sebagainya yang dapat melahirkan tamadun manusia. (Ismail 2001: 147) Secara perbandingan antara perspektif tamadun Islam dan Barat, terdapat persamaan dalam menilai hubungan agama dan tamadun. Bagi tamadun Islam, agama menjadi asas yang melambangkan citra tamadun itu sendiri, atau dengan kata lain, tamadun Islam ialah tamadun agama dan bukannya tamadun bangsa atau tamadun wilayah. Tamadun Barat juga menganggap agama sebagai satu daripada unsur utama tamadun manusia seperti yang ditegaskan oleh Samuel P. Huntington (1996) yang cukup kontroversi dengan teori pertembungan tamadun Islam dan Barat. Ketenteraan dan Tamadun Hubungan ketenteraan dan tamadun bukanlah suatu hubungan yang baru dalam sejarah tamadun manusia. Menurut Wan Abdul Rahman Latif (1996: 22), keterbatasan keupayaan dan ketiadaan kepakaran yang tinggi mendorong manusia menggunakan kekerasan bagi mencapai kemahuannya. Kekuatan fizikal dan keberanian banyak mempengaruhi seseorang itu menggunakan kekerasan terhadap orang lain. Dalam budaya Melayu, kekuatan baik bersifat fizikal, emosi dan material memang pernah menjadi mekanisme penguasaan antara sesama manusia. Ini terbukti dengan kewujudan ungkapan seperti ‘siapa kuat dialah kudrat’. Penggunaan ketenteraan atau militer pada peringkat yang lebih besar semakin ketara apabila berlakunya persaingan dan perebutan kuasa pada peringkat intratamadun dan antara tamadun. Persaingan antara negara-negara Eropah yang melibatkan Portugis, Sepanyol, Perancis, Itali, Belanda dan Inggeris dalam gerakan imperialisme dan kolonialisme dapat disifatkan sebagai persaingan intratamadun. Manakala persaingan antara tamadun Barat dan tamadun Islam dalam siri Perang Salib pula dapat dianggap sebagai persaingan antara tamadun. Daripada sudut kesan hubungan kuasa ketenteraan dan perkembangan tamadun, ketenteraan lebih banyak meninggalkan nilai-nilai negatif berbanding nilai-nilai positif. Hakikat ini tidak dapat dinafikan lagi apabila kuasa ketenteraan sering kali membawa kepada peperangan, dan balas dendam akibat daripada penggunaan elemen-elemen pembunuhan, penyeksaan, penindasan, penganiayaan, kekejaman dan paksaan dalam interaksi ketenteraan. Dalam sejarah dunia moden, Perang Dingin antara Amerika dan Rusia sebagai contoh meninggalkan kesan moral dan kemanusiaan yang kekotorannya terpalit bukan sahaja di bumi kedua-dua negara tersebut, tetapi juga di negara-negara lain sehingga wujud blok demokrasi dan blok komunis. Perang saudara yang sering kali meletus di negara-negara dunia ketiga seperti Afghanistan dan Ethiopia juga tidak menjadi penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh negara-negara keadaan. Justeru, pada prinsipnya, sebagai tamadun yang mengutamakan nilai-nilai kesejahteraan, tamadun Islam tidak menggunakan ketenteraan sebagai kuasa utama dalam perluasan wilayahnya. Penggunaan ketenteraan dalam tamadun Islam adalah untuk tujuan mempertahankan diri, dan peperangan seboleh-bolehnya cuba dielakkan melalui rundingan dan perdamaian. Perluasan tamadun Islam dari Tanah Arab ke Mesir pada zaman kerajaan Umayyah yang diketuai oleh Amru bin al-‘As sebagai panglima bukan bererti perluasan menggunakan mata pedang tetapi disifatkan sebagai ‘pembukaan’ yang berlaku dengan penuh keharmonian dan penghormatan terhadap nilai-nilai kemanusiaan. Pasaran dan Tamadun Kegiatan ekonomi menjadi sebahagian daripada kegiatan dalam interaksi manusia dengan alam. Kegiatan ekonomi mengiringi pertumbuhan bandar, pertambahan penduduk, penempatan, stratifikasi sosial, sistem politik, sistem sosial dan sebagainya dalam kerangka tamadun. Dalam tamadun klasik, pasaran dalam perdagangan lebih bersifat memenuhi keperluan-keperluan tempatan. Tetapi perkembangan demi perkembangan yang dicapai oleh manusia khususnya yang berasaskan teori-teori ekonomi Barat sama ada ekonomi konvensional atau ekonomi moden, telah mengubah peranan pasaran sehingga menjadi kuasa dalam tamadun. Dengan kata lain, transformasi telah berlaku dalam peranan pasaran sehingga pasaran dapat menentukan jatuh bangunnya tamadun serta dapat menentukan pengaruh dan sumbangan sesuatu tamadun terhadap tamadun yang lain. Namun begitu, kuasa pasaran sendiri sekalipun berjaya menyatukan ideologi politik manusia yang berbeza seperti yang cuba dicapai melalui globalisasi (Mittelman 1999), tetapi sebenarnya didasari oleh kebebasan nilai yang relatif sifatnya. Sebagai contoh norma kedaulatan pengguna Barat menafikan apa-apa campur tangan agama untuk mengenakan sekatan terhadap penggunaan sesetengah barangan. Pasaran Barat juga menggunakan metode objektif dengan tidak menerima mana-mana dalil metafizik dan menyingkirkan pertimbangan nilai dengan menganggapnya sebagai tidak saintifik dan tidak dapat disahkan. (Abd. Mumin 1993: 138-9) Akibat daripada penekanan yang berlebihan terhadap ‘consumerism’ dan langsung mengabaikan nilai-nilai moral, manusia yang dibentuk oleh pasaran Barat tidak menerima hakikat manusia mempunyai keperluan material dan spirituil bagi mencapai kepuasan pasaran sebenar. Pasaran Barat menganggap seseorang itu pada asasnya memang individualistik secara semula jadi dan tidak perlu mempedulikan orang lain. (Abd. Mumin 1993: 1-36) Penilaian terhadap hubungan-hubungan tadi dengan jelas menunjukkan agama adalah elemen yang paling sejahtera kerana membawa kepada kerahmatan kepada manusia berbanding hubungan-hubungan lain. Agama menjadi elemen induk yang menaungi hubungan-hubungan lain termasuk budaya. Kuasa agama dalam tamadun mampu menyatukan bangsa-bangsa di dunia dengan penuh kedamaian berbanding kuasa ketenteraan yang lebih banyak menyaksikan peperangan, kematian dan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh manusia, serta kuasa pasaran yang lebih menonjolkan ciri-ciri persaingan individualistik dan materialistik. Faktor Pembinaan, Perkembangan dan Kemerosotan Tamadun Manusia Berdasarkan kajian mengenai model dan teori kerangka tamadun yang diketengahkan oleh beberapa orang tokoh pemikir dalam ilmu sejarah dan sosiologi abad ke-20 dan sebelumnya, beberapa rumusan tentang perkembangan dan kemerosotan tamadun manusia dapat disenaraikan seperti yang berikut: Pegangan kepada Agama Faktor ini amat signifikan dengan tamadun Islam yang memang merupakan tamadun agama. Rasulullah SAW sendiri pernah menyebutkan hal ini secara terang dan nyata di dalam hadis baginda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekali-kali kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah nabi-Nya.” - riwayat Malik. Semangat Kerjasama yang Tinggi dan Rasa Kekitaan (asabiyyah) Bagi tamadun Islam, faktor ini diasaskan kepada akidah, syariah dan akhlak dengan bersumberkan al-Quran dan sunah. Bagi tamadun Barat pula, ideologi dan doktrin menjadi asas kepada faktor ini dengan bersumberkan nilai dan norma budaya tempatan. Keselesaan Hidup dan Kemewahan Dalam banyak keadaan, faktor ini menanamkan di dalam jiwa manusia sifat-sifat negatif seperti lalai, ego, materialistik dan individualistik tanpa mengambil kira kepentingan manusia lain. Dalam mengawal keselesaan hidup dan kemewahan daripada menyeleweng, tamadun Islam mewujudkan institusi zakat supaya wujud tanggungjawab keselesaan dan kemewahan merupakan hak yang tidak kekal dan mesti dikongsi bersama dengan orang lain. Kepimpinan dan Politik Faktor ini merujuk kepada personaliti dan ketokohan pemimpin serta bentuk pemerintahan yang digunakan. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam perkara ini sehingga membawa kepada kelahiran dan perkembangan tamadun Islam. Bentuk pemerintahan yang berasaskan agama mampu bertahan lama berbanding bentuk pemerintahan yang berasaskan pengalaman dan pengkajian manusia seperti komunisme dan sosialisme. Ekonomi Faktor ini sangat mempengaruhi perkembangan sosial dan politik. Ekonomi yang diasaskan di atas asas dan prinsip yang baik mampu membangunkan tamadun serta memberi kesejahteraan kepada hidup manusia. Sistem ekonomi yang dapat mengimbangi kemajuan dari sudut material dan spirituil adalah sistem ekonomi yang wujud dalam kerangka tamadun Islam. Hijrah Dalam pengertian objektif hijrah ialah perpindahan secara fizikal daripada suatu tempat ke suatu tempat yang lain. Dari sudut subjektif, hijrah ialah transformasi sikap, cara hidup, budaya, amalan, prinsip dan sebagainya yang tidak membawa kemajuan kepada yang membawa kemajuan. Dalam hal ini, muhasabah menggunakan mekanisme agama sangat-sangat penting. Penutup Model-model yang dikemukakan di dalam pelajaran ini bukanlah bersifat teoretikal semata-mata. Berpandukan nas-nas al-Quran dan hadis, jelas sekali faktor-faktor yang membawa kepada kelahiran, perkembangan dan kemerosotan tamadun seperti yang dibincangkan di dalam pelajaran ini adalah faktor-faktor yang sama yang dipaparkan oleh kedua-dua sumber tersebut melalui perjalanan sejarah tamadun umat silam. Latar belakang dan perjalanan sejarah tamadun umat silam sebenarnya menjadi sebahagian daripada inti sari penting kandungan al-Quran. Oleh itu, apa yang berlaku dalam ruang lingkup kosmologi tamadun umat silam kesemuanya bersifat fungsional iaitu menjadi rujukan dan pengajaran kepada umat Nabi Muhammad SAW dalam rangka memperkukuhkan sifat ‘ubudiyyah atau perhambaan kepada Allah SWT. (Abdul Rahman 2000: 217) Dari perspektif ini, falsafah al-Quran ternyata mengajak manusia menjadikan sejarah sebagai rujukan paling baik dalam menilai perjalanan tamadunnya. Pegangan agama ternyata menjadi faktor paling penting yang menentukan pembinaan, perkembangan dan kemerosotan tamadun manusia. Pada umumnya, agama bukan hanya membekalkan kepada manusia nilai-nilai ketuhanan, tetapi turut membekalkan peraturan-peraturan sebagai panduan kepada manusia dalam konteks hubungan kemanusiaan. Di samping itu, agama juga menyediakan bimbingan kerohanian dan pengisian emosi supaya manusia dapat menjalankan fungsinya sebagai khalifah dengan sebaik-baiknya, dan seterusnya menepati ciri-ciri madani yang secara fitrah telah sedia wujud dalam dirinya.