Lahir, berkembang dan merosot yang menjadi fitrah
tamadun manusia tidak sukar difahami kerana tamadun itu sendiri adalah rakaman
perjalanan hidup manusia. Manusia yang sentiasa memerhatikan perjalanan dirinya
akan segera dapat memahami usia tidak pernah bertahan pada suatu peringkat
biologi.
Pembinaan, Perkembangan dan Kemorosotan Tamadun
Munif Zariruddin Fikri Nordin Apakah yang wujud di dalam sesebuah tamadun, dan
apakah kandungan dan pengisian tamadun itu? Inilah antara persoalan penting
yang sering kali didebatkan dalam wacana tamadun semenjak daripada zaman Ibn
Khaldun menerusi karya agungnya Muqaddimah sehingga hari ini. Sesungguhnya
penelitian pada apa yang wujud dan apa yang terkandung di dalam sesebuah
tamadun adalah penelitian pada pembinaan, perkembangan dan kemerosotan tamadun
kerana bangun dan jatuhnya sesuatu tamadun itu sangat dipengaruhi oleh asas dan
sumber yang mendasari pembinaannya, hubungan-hubungan yang menghasilkan
pembangunan itu, serta aspek-aspek yang diberi penekanan dalam perkembangan dan
juga kemerosotannya. Lahir, berkembang dan merosot yang menjadi fitrah tamadun
manusia tidak sukar difahami kerana tamadun itu sendiri adalah rakaman
perjalanan hidup manusia. Manusia yang sentiasa memerhatikan perjalanan dirinya
akan segera dapat memahami usia tidak pernah bertahan pada suatu peringkat
biologi. Manusia bertukar daripada peringkat bayi kepada peringkat kanak-kanak,
peringkat remaja, peringkat dewasa sehinggalah ke peringkat tua. Apa yang
berlaku kepada manusia sebenarnya menggambarkan apa yang berlaku kepada
tamadun. Tamadun mengalami saat kelahiran, saat perkembangan, saat
kecemerlangan dan diakhiri dengan saat kemerosotan sama seperti apa yang
dialami oleh manusia. Analogi ini menjadi lebih ironi lagi kerana yang
melahirkan tamadun itu ialah manusia, yang mengembangkan tamadun juga manusia,
malah yang membawa kepada kemerosotan tamadun juga manusia. Tepat sekali
pandangan Ibn Khaldun (2000) manusia adalah agen tamadun serta pandangan Malek
Bennabi (1992) yang menganggap manusialah yang menjadi unsur terpenting bagi
tamadun. Watak-watak yang ditonjolkan oleh manusia adalah watak-watak yang
dengan sendirinya menentukan pembinaan, perkembangan dan kemerosotan tamadun.
Model-Model Tamadun Perbincangan dan penilaian yang objektif tentang bangun dan
jatuh sesebuah tamadun manusia sangat bergantung kepada kerangka model atau
teori perkembangan tamadun. Oleh yang demikian, dalam bahagian ini, empat model
perkembangan tamadun akan dikemukakan. Model pertama ialah model tiga tahap
perkembangan kerajaan atau organisasi sosial yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun
(1332-1406) iaitu (Wan Hashim 1997: 75-76: a. Tahap awal atau kelahiran yang
dicirikan oleh perasaan kekitaan atau asabiyah bagi memenuhi keperluan asas,
dan kemudiannya diperkukuhkan oleh peranan agama. b. Tahap kehidupan menetap
atau bertamadun yang dicirikan oleh kelahiran sistem pemerintahan yang membawa
kepada pertumbuhan bandar dan memberi kesan kepada stratifikasi sosial. c.
Tahap lemah atau kejatuhan yang dicirikan oleh konflik politik dan krisis
ekonomi sehingga membawa kesan kepada stratifikasi sosial dengan peningkatan
kemewahan dan kelunturan semangat kekitaan. Model Ibn Khaldun ini yang dikenali
juga sebagai ‘teori kitaran’ kemudiannya dikembangkan pula oleh Arnold Toynbee
(1889-1979) dalam bukunya A Study of History. Toynbee sependapat dengan Ibn
Khaldun bahawa agama dan stratifikasi sosial memainkan peranan penting dalam
melanjutkan hayat sesuatu tamadun. Toynbee juga membuat penambahan apabila
secara khusus memperincikan lagi tahap ketiga model ini dengan membahagikannya
kepada tiga subfasa iaitu (Wan Hashim 1997: 77: -Keretakan -Perpecahan -Kejatuhan
Model ketiga ialah model yang diketengahkan oleh Malik Bennabi (1905-1973).
Menurut Wan Hashim (1997: 78), Malik juga dapat dianggap terpengaruh dengan
teori kitaran Ibn Khaldun. Walau bagaimanapun, beliau berjaya membentuk
skemanya yang tersendiri yang berbeza dengan Ibn Khaldun hasil penelitiannya
terhadap tahap-tahap perkembangan sejarah tamadun Islam. Justeru, Malik
membahagikan teorinya juga kepada tiga tahap iaitu: a.Tahap masyarakat
pra-tamadun (Mujtama‘ qabl al-hadari) iaitu pandangan yang belum mantap
terhadap aspek-aspek kebendaan, idea dan kemanusiaan. Ciri-cirinya ialah
seperti penyembahan berhala, semangat kabilah yang kuat, diskriminasi gender
dan keterbatasan interaksi sosial seperti yang wujud dalam kehidupan jahiliah
pra-Islam. b.Masyarakat bertamadun (Al-Mujtama‘ al-mutahaddir) iaitu kelahiran
peringkat awal budaya baru berteraskan Islam. Ciri-cirinya ialah seperti
perluasan hubungan silaturahim, kerjasama dan interaksi sosial, cetusan
idea-idea intelek, sistem politik, ekonomi dan sosial seperti yang ditonjolkan
dalam kehidupan pasca-hijrah Muhajirin dan Ansar. c. Masyarakat pasca-tamadun
(Mujtama‘ ba‘d al-hadari) iaitu peringkat kejatuhan setelah meniti kejayaan
cemerlang. Ciri-cirinya ialah kebekuan idea, pemusatan kuasa dan kepentingan,
penyelewengan agama serta kecintaan terhadap kekayaan material dan kemewahan.
Model keempat ialah model Ali Shariati (1933-1977). Menurut Ali Shariati
(1979), ada dua perkara yang penting dalam perkembangan tamadun, dan kedua-dua
perkara tersebut berada dalam diri manusia. Pertama ialah penghijrahan manusia
dari tempat asal ke tempat baru. Dalam sejarah dua puluh tujuh tamadun manusia,
tidak ada tamadun yang lahir dan berkembang di kalangan masyarakat primitif
yang tidak pernah berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. (Ali
1979: 44) Kedua, peranan manusia dalam menentukan nasib dan masa depan
hidupnya. Dengan akal fikiran dan tenaga, manusia bertanggungjawab menguruskan
diri dan masyarakat, mengubah keadaan yang tidak baik kepada baik berpandu
bimbingan daripada asas dan sumber Islam. (Ali 1979: 48-9) Keempat-empat model
yang dikemukakan ini masing-masing meneliti dengan mendalam ciri-ciri yang
wujud dalam setiap tahap tamadun. Ciri-ciri yang dimaksudkan itu mencakupi
kandungan tamadun, hubungan-hubungan dalam tamadun serta faktor-faktor yang
mempengaruhi bangun dan jatuhnya sesebuah tamadun manusia yang akan
dibincangkan di dalam bahagian-bahagian seterusnya. Kandungan Tamadun Menurut
Ali Abdul Halim Mahmud (1994:19) seorang ulama al-Azhar kontemporari, Ibn
Khaldun menyediakan suatu mekanisme penting untuk menilai kandungan apa yang
dikatakan tamadun, iaitu sesuatu pencapaian hanya akan dianggap sebagai tamadun
apabila perkara-perkara yang berkaitan dengan asas (daruriyyah) dan keperluan
(hajiah) telah disempurnakan. Ini bermakna tamadun ialah suatu peringkat
penyempurnaan (tahsinat) yang melengkapkan segala perkara yang diperlukan oleh
manusia. Oleh yang demikian, isu utama yang dibincangkan dalam wacana tamadun
oleh para pemikir daripada pelbagai disiplin sains sosial sejak peringkat awal
manusia mengenali ‘pengajian tamadun’ ialah perkara-perkara yang diperlukan
oleh manusia pada tahap-tahap tamadunnya yang tertentu. Trend ini dapat
ditelusuri melalui karya-karya yang ditulis baik oleh Ibn Khaldun sendiri
sehinggalah ke hari ini. Malahan pertembungan tamadun yang digembar-gemburkan
sebagai kemuncak kepada sejarah dunia pada penghujung abad kedua puluh jika
benar-benar berlaku adalah merujuk kepada perbezaan yang wujud antara sebuah
tamadun dengan tamadun yang lain. Pada prinsipnya, seperti yang telah
dibincangkan di dalam Pelajaran 1 sebelum ini iaitu sekalipun terdapat
perbezaan takrif dan konsep tamadun di antara perspektif Islam dan perspektif
Barat dalam memberi penekanan terhadap aspek kebendaan dan kerohanian, namun
secara umum, terdapat persamaan antara kedua-dua perspektif ini. Yang
dimaksudkan persamaan di sini ialah pengiktirafan tamadun sebagai pencapaian
yang tinggi bagi aspek tertentu dalam kehidupan yang merangkumi aspek agama, moral,
sastera, estetika dan juga pencapaian sains dan teknologi. Dengan demikian,
dapat dikatakan keseluruhan pengkajian tamadun berkisar tentang rangkaian
fenomena masyarakat manusia seumpama negara, bandar, sistem sosial, huruf,
seni, seni bina, bangunan, agama, undang-undang dan rangka dasar politik.
Fenomena-fenomena ini daripada sudut pembahagiannya terdiri daripada dua bentuk
iaitu fenomena material dan fenomena spirituil. Pada tahap paling minimum,
kandungan tamadun sekurang-kurangnya terdiri daripada enam ciri asas (Wan
Hashim 1997: 88-9) iaitu: a. Mempunyai kehidupan di bandar. b. Mempunyai sistem
pemerintahan dan kerajaan. c. Mempunyai bahasa dan tulisan. d. Mempunyai sistem
perundangan. e. Mempunyai agama dan sistem kepercayaan. f. Mempunyai pengkhususan
dalam pekerjaan. Hubungan-Hubungan dalam Tamadun Yang dimaksudkan dengan
hubungan-hubungan dalam tamadun ialah kekuatan-kekuatan yang terbentuk di
sebalik elemen-elemen penting dalam tamadun. Di antara banyak hubungan,
hubungan yang paling dominan ialah agama, ketenteraan dan pasaran. (Shaharom
2000) Ciri setiap hubungan ini berbeza antara satu sama lain, dan masing-masing
mempunyai kekuatan dan keistimewaannya yang tersendiri. Daripada sudut
pemerkasaan tamadun (empowerment of civilizations), hubungan-hubungan ini
sangat berpengaruh dan relatif sehingga dapat dianggap sebagai ‘kuasa’ yang
memberi kekuatan kepada tamadun. Hubungan-hubungan tamadun ini juga dalam
keadaan-keadaan tertentu dapat mencetuskan persaingan sengit antara
tamadun-tamadun manusia. Agama dan Tamadun Dalam pengertian yang lazim
difahami, agama ialah kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan
Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya (Kamus Dewan 1998). Secara
fitrahnya, agama dan kepercayaan bukan hanya merupakan perkara asas yang wujud
dalam diri setiap manusia, tetapi juga sudah menjadi keperluan kepada manusia.
Faktor-faktor yang mendorong manusia beragama adalah faktor-faktor semula jadi
yang bersumberkan diri manusia sendiri iaitu seperti rasa takut yang membawa kepada
kecenderungan untuk mendapatkan keselamatan dan perlindungan daripada Tuhan.
Dalam hubungan agama dan tamadun, jatuh bangunnya sesebuah tamadun atau
kerajaan adalah selari dengan jatuh bangunnya sesuatu agama. Menurut Ismail
Yusoff (2001: 147) yang memetik pandangan Smith (1927) dalam In the Beginning:
The Origin of Civilization, kepelbagaian nasib politik adalah dimanifestasikan
oleh kepelbagaian perkembangan agama. Contohnya, tamadun Barat dipengaruhi oleh
agama Kristian, tamadun Timur Tengah, Rusia dan China kebanyakannya dipengaruhi
oleh agama Islam dan tamadun Asia Tengah oleh pengaruh Hindu dan Budha. Agama
juga mempunyai hubungan fungsi dengan unsur tamadun yang lain seperti moral,
etika, ekonomi, undang-undang estetika dan sains. Lazimnya, agama mengajar
manusia melaksanakan perkara-perkara yang positif dalam kehidupan seperti
berusaha, amanah, sabar dan sebagainya yang dapat melahirkan tamadun manusia.
(Ismail 2001: 147) Secara perbandingan antara perspektif tamadun Islam dan
Barat, terdapat persamaan dalam menilai hubungan agama dan tamadun. Bagi
tamadun Islam, agama menjadi asas yang melambangkan citra tamadun itu sendiri,
atau dengan kata lain, tamadun Islam ialah tamadun agama dan bukannya tamadun
bangsa atau tamadun wilayah. Tamadun Barat juga menganggap agama sebagai satu
daripada unsur utama tamadun manusia seperti yang ditegaskan oleh Samuel P.
Huntington (1996) yang cukup kontroversi dengan teori pertembungan tamadun
Islam dan Barat. Ketenteraan dan Tamadun Hubungan ketenteraan dan tamadun
bukanlah suatu hubungan yang baru dalam sejarah tamadun manusia. Menurut Wan
Abdul Rahman Latif (1996: 22), keterbatasan keupayaan dan ketiadaan kepakaran
yang tinggi mendorong manusia menggunakan kekerasan bagi mencapai kemahuannya.
Kekuatan fizikal dan keberanian banyak mempengaruhi seseorang itu menggunakan
kekerasan terhadap orang lain. Dalam budaya Melayu, kekuatan baik bersifat
fizikal, emosi dan material memang pernah menjadi mekanisme penguasaan antara
sesama manusia. Ini terbukti dengan kewujudan ungkapan seperti ‘siapa kuat
dialah kudrat’. Penggunaan ketenteraan atau militer pada peringkat yang lebih
besar semakin ketara apabila berlakunya persaingan dan perebutan kuasa pada
peringkat intratamadun dan antara tamadun. Persaingan antara negara-negara
Eropah yang melibatkan Portugis, Sepanyol, Perancis, Itali, Belanda dan
Inggeris dalam gerakan imperialisme dan kolonialisme dapat disifatkan sebagai
persaingan intratamadun. Manakala persaingan antara tamadun Barat dan tamadun
Islam dalam siri Perang Salib pula dapat dianggap sebagai persaingan antara
tamadun. Daripada sudut kesan hubungan kuasa ketenteraan dan perkembangan
tamadun, ketenteraan lebih banyak meninggalkan nilai-nilai negatif berbanding
nilai-nilai positif. Hakikat ini tidak dapat dinafikan lagi apabila kuasa
ketenteraan sering kali membawa kepada peperangan, dan balas dendam akibat
daripada penggunaan elemen-elemen pembunuhan, penyeksaan, penindasan,
penganiayaan, kekejaman dan paksaan dalam interaksi ketenteraan. Dalam sejarah
dunia moden, Perang Dingin antara Amerika dan Rusia sebagai contoh meninggalkan
kesan moral dan kemanusiaan yang kekotorannya terpalit bukan sahaja di bumi
kedua-dua negara tersebut, tetapi juga di negara-negara lain sehingga wujud
blok demokrasi dan blok komunis. Perang saudara yang sering kali meletus di
negara-negara dunia ketiga seperti Afghanistan dan Ethiopia juga tidak menjadi
penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh negara-negara keadaan.
Justeru, pada prinsipnya, sebagai tamadun yang mengutamakan nilai-nilai
kesejahteraan, tamadun Islam tidak menggunakan ketenteraan sebagai kuasa utama
dalam perluasan wilayahnya. Penggunaan ketenteraan dalam tamadun Islam adalah
untuk tujuan mempertahankan diri, dan peperangan seboleh-bolehnya cuba
dielakkan melalui rundingan dan perdamaian. Perluasan tamadun Islam dari Tanah
Arab ke Mesir pada zaman kerajaan Umayyah yang diketuai oleh Amru bin al-‘As
sebagai panglima bukan bererti perluasan menggunakan mata pedang tetapi
disifatkan sebagai ‘pembukaan’ yang berlaku dengan penuh keharmonian dan
penghormatan terhadap nilai-nilai kemanusiaan. Pasaran dan Tamadun Kegiatan
ekonomi menjadi sebahagian daripada kegiatan dalam interaksi manusia dengan
alam. Kegiatan ekonomi mengiringi pertumbuhan bandar, pertambahan penduduk,
penempatan, stratifikasi sosial, sistem politik, sistem sosial dan sebagainya
dalam kerangka tamadun. Dalam tamadun klasik, pasaran dalam perdagangan lebih
bersifat memenuhi keperluan-keperluan tempatan. Tetapi perkembangan demi
perkembangan yang dicapai oleh manusia khususnya yang berasaskan teori-teori
ekonomi Barat sama ada ekonomi konvensional atau ekonomi moden, telah mengubah
peranan pasaran sehingga menjadi kuasa dalam tamadun. Dengan kata lain,
transformasi telah berlaku dalam peranan pasaran sehingga pasaran dapat
menentukan jatuh bangunnya tamadun serta dapat menentukan pengaruh dan
sumbangan sesuatu tamadun terhadap tamadun yang lain. Namun begitu, kuasa
pasaran sendiri sekalipun berjaya menyatukan ideologi politik manusia yang
berbeza seperti yang cuba dicapai melalui globalisasi (Mittelman 1999), tetapi
sebenarnya didasari oleh kebebasan nilai yang relatif sifatnya. Sebagai contoh
norma kedaulatan pengguna Barat menafikan apa-apa campur tangan agama untuk
mengenakan sekatan terhadap penggunaan sesetengah barangan. Pasaran Barat juga
menggunakan metode objektif dengan tidak menerima mana-mana dalil metafizik dan
menyingkirkan pertimbangan nilai dengan menganggapnya sebagai tidak saintifik
dan tidak dapat disahkan. (Abd. Mumin 1993: 138-9) Akibat daripada penekanan
yang berlebihan terhadap ‘consumerism’ dan langsung mengabaikan nilai-nilai
moral, manusia yang dibentuk oleh pasaran Barat tidak menerima hakikat manusia
mempunyai keperluan material dan spirituil bagi mencapai kepuasan pasaran sebenar.
Pasaran Barat menganggap seseorang itu pada asasnya memang individualistik
secara semula jadi dan tidak perlu mempedulikan orang lain. (Abd. Mumin 1993:
1-36) Penilaian terhadap hubungan-hubungan tadi dengan jelas menunjukkan agama
adalah elemen yang paling sejahtera kerana membawa kepada kerahmatan kepada
manusia berbanding hubungan-hubungan lain. Agama menjadi elemen induk yang
menaungi hubungan-hubungan lain termasuk budaya. Kuasa agama dalam tamadun
mampu menyatukan bangsa-bangsa di dunia dengan penuh kedamaian berbanding kuasa
ketenteraan yang lebih banyak menyaksikan peperangan, kematian dan penderitaan
yang terpaksa ditanggung oleh manusia, serta kuasa pasaran yang lebih
menonjolkan ciri-ciri persaingan individualistik dan materialistik. Faktor Pembinaan,
Perkembangan dan Kemerosotan Tamadun Manusia Berdasarkan kajian mengenai model
dan teori kerangka tamadun yang diketengahkan oleh beberapa orang tokoh pemikir
dalam ilmu sejarah dan sosiologi abad ke-20 dan sebelumnya, beberapa rumusan
tentang perkembangan dan kemerosotan tamadun manusia dapat disenaraikan seperti
yang berikut: Pegangan kepada Agama Faktor ini amat signifikan dengan tamadun
Islam yang memang merupakan tamadun agama. Rasulullah SAW sendiri pernah
menyebutkan hal ini secara terang dan nyata di dalam hadis baginda: “Aku
tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekali-kali kamu tidak akan sesat
selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah
nabi-Nya.” - riwayat Malik. Semangat Kerjasama yang Tinggi dan Rasa Kekitaan
(asabiyyah) Bagi tamadun Islam, faktor ini diasaskan kepada akidah, syariah dan
akhlak dengan bersumberkan al-Quran dan sunah. Bagi tamadun Barat pula,
ideologi dan doktrin menjadi asas kepada faktor ini dengan bersumberkan nilai
dan norma budaya tempatan. Keselesaan Hidup dan Kemewahan Dalam banyak keadaan,
faktor ini menanamkan di dalam jiwa manusia sifat-sifat negatif seperti lalai,
ego, materialistik dan individualistik tanpa mengambil kira kepentingan manusia
lain. Dalam mengawal keselesaan hidup dan kemewahan daripada menyeleweng,
tamadun Islam mewujudkan institusi zakat supaya wujud tanggungjawab keselesaan
dan kemewahan merupakan hak yang tidak kekal dan mesti dikongsi bersama dengan
orang lain. Kepimpinan dan Politik Faktor ini merujuk kepada personaliti dan
ketokohan pemimpin serta bentuk pemerintahan yang digunakan. Rasulullah SAW
adalah contoh terbaik dalam perkara ini sehingga membawa kepada kelahiran dan
perkembangan tamadun Islam. Bentuk pemerintahan yang berasaskan agama mampu
bertahan lama berbanding bentuk pemerintahan yang berasaskan pengalaman dan
pengkajian manusia seperti komunisme dan sosialisme. Ekonomi Faktor ini sangat
mempengaruhi perkembangan sosial dan politik. Ekonomi yang diasaskan di atas
asas dan prinsip yang baik mampu membangunkan tamadun serta memberi
kesejahteraan kepada hidup manusia. Sistem ekonomi yang dapat mengimbangi
kemajuan dari sudut material dan spirituil adalah sistem ekonomi yang wujud
dalam kerangka tamadun Islam. Hijrah Dalam pengertian objektif hijrah ialah
perpindahan secara fizikal daripada suatu tempat ke suatu tempat yang lain.
Dari sudut subjektif, hijrah ialah transformasi sikap, cara hidup, budaya,
amalan, prinsip dan sebagainya yang tidak membawa kemajuan kepada yang membawa
kemajuan. Dalam hal ini, muhasabah menggunakan mekanisme agama sangat-sangat
penting. Penutup Model-model yang dikemukakan di dalam pelajaran ini bukanlah
bersifat teoretikal semata-mata. Berpandukan nas-nas al-Quran dan hadis, jelas
sekali faktor-faktor yang membawa kepada kelahiran, perkembangan dan
kemerosotan tamadun seperti yang dibincangkan di dalam pelajaran ini adalah
faktor-faktor yang sama yang dipaparkan oleh kedua-dua sumber tersebut melalui
perjalanan sejarah tamadun umat silam. Latar belakang dan perjalanan sejarah tamadun
umat silam sebenarnya menjadi sebahagian daripada inti sari penting kandungan
al-Quran. Oleh itu, apa yang berlaku dalam ruang lingkup kosmologi tamadun umat
silam kesemuanya bersifat fungsional iaitu menjadi rujukan dan pengajaran
kepada umat Nabi Muhammad SAW dalam rangka memperkukuhkan sifat ‘ubudiyyah atau
perhambaan kepada Allah SWT. (Abdul Rahman 2000: 217) Dari perspektif ini,
falsafah al-Quran ternyata mengajak manusia menjadikan sejarah sebagai rujukan
paling baik dalam menilai perjalanan tamadunnya. Pegangan agama ternyata
menjadi faktor paling penting yang menentukan pembinaan, perkembangan dan
kemerosotan tamadun manusia. Pada umumnya, agama bukan hanya membekalkan kepada
manusia nilai-nilai ketuhanan, tetapi turut membekalkan peraturan-peraturan
sebagai panduan kepada manusia dalam konteks hubungan kemanusiaan. Di samping
itu, agama juga menyediakan bimbingan kerohanian dan pengisian emosi supaya
manusia dapat menjalankan fungsinya sebagai khalifah dengan sebaik-baiknya, dan
seterusnya menepati ciri-ciri madani yang secara fitrah telah sedia wujud dalam
dirinya.